DI sebuah bazar menjual barangan kemas di Mumbai, seorang wanita, Kavita Jogani meletakkan gelang-gelang perkahwinannya di atas alat penimbang emas, baru-baru ini. Dia merupakan salah seorang daripada ribuan penduduk negara itu yang sanggup... Klik di sini untuk terus membaca

DI sebuah bazar menjual barangan kemas di Mumbai, seorang wanita, Kavita Jogani meletakkan gelang-gelang perkahwinannya di atas alat penimbang emas, baru-baru ini.

Dia merupakan salah seorang daripada ribuan penduduk negara itu yang sanggup menjual semula barangan kemas yang dimilikinya.

Namun, tindakan itu bukannya satu keputusan yang mudah buatnya.

Ini adalah kerana kehidupannya berada dalam keadaan yang sukar selepas perniagaan pakaian yang diusahakannya terjejas akibat perintah 'lockdown' yang dilaksanakan berulang kali disebabkan Covid-19.

Keadaan sukar itu menyebabkannya sukar baginya melunaskan bil-bil dan bayaran gaji 15 kakitangannya.

Ekonomi ketiga terbesar India itu kini sedang kembali ke landasan pemulihan selepas terjejas akibat Covid-19 tetapi masalah kewangan bagi ramai penduduk di negara itu masih belum selesai lagi.

"Saya tidak lagi mempunyai pilihan lain lagi selain daripada menjual emas," kata Jogani kepada AFP ketika dia menunggu dengan penuh debaran terhadap tawarannya untuk menjual barangan kemas miliknya.

Menurut wanita berusia 45 tahun itu, gelang-gelang emas itu dibelinya ketika dia melangsungkan perkahwinannya 23 tahun lalu.

Jogani yang memiliki perniagaan pakaian di Mumbai mampu 'bernafas' semula dengan menjual barangan kemasnya.

Sebagai pertukaran dengan lapan gelang emasnya, seutas rantai leher kecil dan beberapa cincin, dia berjaya memperoleh wang tunai sebanyak AS$2,695 (RM11,211).

"Pada awalnya, saya mungkin mengabaikan barangan (emas) ini tetapi ibu saya pernah memberitahu bahawa saya perlu menyimpan emas," katanya kepada AFP.

CAGAR EMAS

Lebih 230 penduduk India terjerumus ke dalam kancah kemiskinan pada tahun lalu berikutan penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

Angka itu diperoleh hasil kajian daripada Universiti Azim Premji yang menyebabkan ramai penduduk India sukar untuk menjelaskan bayaran sewa, yuran sekolah dan bil-bil hospital.

Tambahan pula, kenaikan kadar harga elektrik, minyak dan pelbagai barangan lagi sejak beberapa minggu lau menyukarkan lagi kehidupan ramai penduduk India.

Disebabkan untuk mendapatkan wang tunai dengan segera, ramai keluarga dan perniagaan kecil mencagarkan emas yang mereka miliki sebagai pilihan terakhir untuk mendapatkan pinjaman bagi tempoh jangka pendek.

Barang kemas yang diperbuat daripada emas merupakan antara tradisi masyarakat di India sejak sekian lama. - Foto AFP

Bank-bank memberikan pinjaman bernilai AS$64 bilion (RM266.64 bilion) selepas emas-emas itu dicagarkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Angka itu meningkat 74 peratus dari tahun ke tahun, menurut angka yang dikeluarkan oleh Bank Pusat India.

Kebanyakan daripada pinjaman itu tidak mampu untuk dibayar balik menyebabkan emas-emas yang dicagar sebagai 'bayaran pendahuluan' pinjaman tersebut terpaksa dilelong.

Akhbar-akhbar di negara tersebut juga turut menyiarkan banyak notis jualan emas yang telah dicagarkan itu.

Emas telah berakar umbi dalam kebudayaan masyarakat India.

Ia dianggap sebagai barangan penting pada majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun kelahiran dan majlis-majlis keagamaan selain menjadi aset selamat yang boleh diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya.

India membeli 315.9 tan barangan kemas berasaskan emas pada tahun 2020 iaitu satu jumlah yang lebih banyak berbanding di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Timur Tengah, menurut Majlis Emas Dunia.

Penduduk di India dianggarkan memiliki kira-kira 24,000 tan emas bernilai AS$1.5 trilion (RM6.24 trilion) dalam bentuk syiling, jongkong dan barangan kemas.

"Ia (emas) dianggap satu-satunya bentuk keselamatan sosial untuk golongan wanita atau seisi rumah kerana tidak ada program keselamatan sosial daripada kerajaan," kata Pengarah Majlis Barangan Kemas dan Permata Domestik India, Dinesh Jain seperti dilaporkan oleh AFP.

"Emas umpama satu bentuk aset tunai. Anda boleh menukarkannya pada bila-bila masa," ujarnya.

Dalam pada itu, Kumar Jain, 63, yang mana keluarganya memiliki sebuah kedai emas di Bazar Zaveri Bazaar, Mumbai selama 106 tahun berkata, dia tidak pernah melihat sebegitu ramai orang menjual emas.

"Keadaan sebegini tidak berlaku sebelum pandemik," katanya.

Jain berkata, para pelanggannya terutama wanita telah menjual sejumlah besar barangan kemas milik mereka dalam tempoh beberapa bulan lalu termasuk gelang-gelang emas, cincin emas, rantai leher emas dan subang emas.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkannya ialah golongan wanita yang sudah berkahwin menjual rantai emas yang dikenali sebagai mangalsutra.

Rantai leher itu adalah sebagai tanda bahawa seseorang wanita itu sudah berkahwin.

"Anda akan menangis apabila melihat seorang wanita (yang sudah berkahwin) memberikan 'mangalsutra' yang dipakai dari leher dan menyatakan, berikan saya untuk ini (rantai leher emas itu). Ia merupakan satu senario yang menyedihkan," katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca