SHAH ALAM - Kerugian akibat penerokaan dan pencerobohan hutan simpan kekal di Selangor bernilai RM19.2 juta sehektar. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, berdasarkan kajian yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerugian akibat penerokaan dan pencerobohan hutan simpan kekal di Selangor bernilai RM19.2 juta sehektar.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Sungai Seputeh, Kuala Lumpur oleh pihak Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services Sdn Bhd pada tahun 2015, nilai ekonomi hutan adalah berjumlah RM19,188,747 sehektar.

"Kajian ini dijalankan dengan mengambil kira 22 kategori perkhidmatan ekosistem yang diperkenalkan oleh The Economic of Ecosystems and Biodiversity (TEEB).

"Oleh itu, kerugian akibat penerokaaan atau pencerobohan hutan simpanan kekal boleh dianggarkan sekitar RM19.2 juta sehektar,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ahmad Fadzil berkata, kajian dijalankan di Hutan Simpan Sungai Seputeh itu boleh dijadikan rujukan asas nilai hutan.

FOTO: SINAR HARIAN/ HALIM WAHID

Tambahnya, ia kerana kajian ini mengambil kira kesemua 22 kategori perkhidmatan ekosistem dalam hutan simpanan kekal.

Pada Selasa, Sinar Harian menerusi laporan eksklusifnya mendedahkan keluasan hutan simpan kekal di Selangor yang ada dianggarkan kira-kira 253,000 hektar yang digazetkan di bawah Akta Perhutanan Negara.

Kata beliau, warta yang ada di dalam Negeri Selangor ini telah bermula sejak tahun 1920 dan itu rekod terawal berkenaan pewartaan hutan simpanan kekal dan sehingga kini baki yang ada merangkumi 31 peratus daripada keluasan tanah di Selangor.

Dalam pada itu Ahmad Fadzil memaklumkan, kawasan seperti di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Bukit Lagong antara lokasi panas yang sering diceroboh.

Justeru, beliau mengingatkan kepada mana-mana pihak atau individu yang melakukan pencerobohan dan menawarkan imbuhan kepada pegawai dan kakitangan JPNS khususnya akan diambil tindakan agar perkara ini dapat dikekang dan tidak merebak.

Klik di sini untuk terus membaca