SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya terdapat enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang memposisikan Pas sebagai 'kingmaker' bagi menentukan kemenangan calon UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka sekiranya diputuskan diadakan dalam masa terdekat.
Tanpa menamakan keenam-enam kerusi DUN itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Misbahul Munir Masduki secara peribadi berpandangan UMNO seharusnya berfikir dua kali sebelum memuktamadkan sebarang keputusan menamatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas berdasarkan senario politik terkini.
Tegasnya, walaupun Pas mendapat jumlah perolehan undi sebanyak 2,000 atau kurang di enam kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi undi parti itu sangat penting bagi membolehkan mana-mana calon daripada UMNO mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merampasnya kembali dari tangan Pakatan Harapan (PH).
"Sebenarnya ada sekurang-kurangnya enam kerusi DUN yang memposisikan Pas sebagai penentu kepada kemenangan calon UMNO pada PRN Melaka kelak meskipun Pas hanya peroleh 2,000 undi atau kurang pada PRU14.
"Justeru, UMNO kena fikir dua kali sebelum mahu mengenepikan Pas pada PRN Melaka kerana jika Pas bersikap berkecuali atau berlaku pertembungan tiga penjuru pada enam kerusi DUN berkenaan, PH akan meraih kelebihan itu.
"Justeru, UMNO kena fikir masak-masak kesan sekiranya parti itu bertekad untuk memutuskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) kerana yang rugi nanti adalah orang Melayu dan Islam sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada PRN Melaka yang akan datang.
Pendirian itu dikemukakan Ahmad Zahid dalam sebuah program bual bicara pada malam Rabu bersama pengacara Rafi Awang Kechik susulan moderator itu menanyakan sama ada MN bakal bertanding pada pilihan raya negeri itu kelak.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau tidak nampak ada 'cahaya terang' untuk kerjasama MN bersama Pas direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) terdahulu susulan MN itu tidak pernah didaftarkan.
Pada 4 Oktober lalu, tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan diketuai ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyebabkan kerajaan Melaka jatuh dengan DUN negeri itu kemudiannya terbubar.
Sebelum terbubarnya DUN Melaka, komposisi kerusi DUN bagi blok kerajaan diketuai bersama antara UMNO dan Bersatu adalah 13 kerusi, manakala blok pembangkang diterajui DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebanyak 11 kerusi.Sebelum ini, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusof mendedahkan terdapat enam daripada 15 kerusi DUN yang dimenangi oleh PH dalam PRU14 lalu mampu dimenangi semula MN sekiranya undi Barisan Nasional (BN) dan Pas digabungkan.
Enam kerusi DUN berkenaan adalah Gadek dimenangi calon DAP, Durian Tunggal dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah), Kelebang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Duyong (DAP), Telok Mas (Bersatu kini jadi calon bebas) dan Bemban (DAP).
Berikutan itu, Misbahul yang juga Ketua Penerangan Pas Perak mengakui Pas masih mahukan semua parti Melayu bersatu supaya episod pertembungan tiga penjuru yang merugikan pengundi Melayu dan Islam tidak berlaku.
Jelas beliau, mana-mana parti Melayu yang merasakan mereka boleh bergerak secara solo perlu membuang sifat mendabik dada, sebaliknya kena belajar daripada pengalaman kekalahan parti masing-masing pada PRU14.
"Secara peribadi,saya berpandangan kalau UMNO menganggap PRN Melaka sebagai satu percubaan untuk menguji pengaruh parti itu, mereka dipersilakan untuk berbuat demikian tetapi jangan sampai gadai kepentingan orang Melayu.
"Kalau masing-masing masih berhasrat untuk mengembalikan kuasa politik orang Melayu, saya percaya peluang kerjasama masih ada dengan Pas tidak akan berhenti untuk terus berunding ke arah memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Misbahul Munir turut percaya peluang untuk UMNO dan Pas bekerjasama masih ada dengan masing-masing berkemungkinan menggunakan logo parti sendiri untuk bertanding, tetapi persefahaman tiada pertembungan sesama sendiri mampu dicapai secara tidak formal.
"Pandangan Presiden UMNO juga belum lagi dimuktamadkan sebagai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu lagi.
"Justeru, saya berpendapat masih ada peluang untuk UMNO memikirkan semula peluang kerjasama MN diteruskan pada PRN Melaka kelak," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca