SEPANJANG minggu ini lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Sudirman bergema di segenap pelosok seluruh negara. Penulis tidak terkecuali menerima berpuluh WhatsApp menyelitkan lagu ‘Balik Kampung’ daripada teman dan taulan. Ada... Klik di sini untuk terus membaca

SEPANJANG minggu ini lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Sudirman bergema di segenap pelosok seluruh negara. Penulis tidak terkecuali menerima berpuluh WhatsApp menyelitkan lagu ‘Balik Kampung’ daripada teman dan taulan.

Ada juga yang menghantar gambar menunggu detik 12.01 tengah malam tanggal 11 Oktober lalu untuk balik kampung. Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri tanpa surat polis, ramai mengambil keputusan pulang bercuti di kampung sekali pun negara masih bergelut menentang Covid-19.

Selamatkah kita merentas negeri sekarang? Sehingga kini, penulis belum melihat angka terkini HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) atau Pengenalpastian Titik Panas untuk Penglibatan Dinamik. Itulah realiti yang kita hadapi ketika ini.

Adakah kita telah menggunakan teknologi kejuruteraan masa depan seperti big data (data raya) atau artificial intellegent (kecerdasan buatan) dalam mengukur pengurusan risiko?

Persoalan ini penulis ingin lontarkan selepas menerima emel artikel The Economist keluaran 2 Oktober lalu bertajuk ‘China’s New Reality is Rife with Danger’ atau ‘Realiti Baharu China Penuh dengan Bahaya’.

Realitinya, adakah Malaysia sudah bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19. Adakah Malaysia sudah memasuki era endemik, bukannya pandemik yang benar-benar menghantui gaya kehidupan rakyat negara ini.

GELOMBANG

Pada 14 Mei lalu, penulis mengupas tentang HIDE, bertujuan mengenal pasti lokasi titik panas penularan Covid-19 atau premis berisiko tinggi.

HIDE adalah sebahagian teras Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Ia mengandungi aplikasi analisis big data dan dikendalikan bersama sistem kecerdasan buatan (AI) untuk meramal premis MySejahtera berisiko tinggi sebagai titik panas Covid-19 selama tujuh hari pusingan siang dan malam berturut-turut.

Sistem itu berasaskan pendaftaran masuk MySejahtera dan pangkalan data penjagaan kesihatan lain yang mampu meramal kemungkinan jangkitan virus berpotensi paling tinggi.

Penulis difahamkan, bilangan kenderaan mencecah lebih 1.5 juta sehari sepanjang laluan lebuh raya hujung minggu ini. Adakah majoriti pengguna akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika singgah di hentian rehat lebuh raya?

Penulis kerap menerima WhatsApp tular memaparkan pengguna melanggar SOP termasuk tidak mengimbas suhu dan aplikasi MySejahtera ketika memasuki sesebuah premis. Adakah masyarakat akan patuh melakukan ujian Covid-19 sebelum pulang ke kampung?

Dengan peningkatan angka luar biasa kenderaan pulang ke kampung khususnya esok, penulis bimbang akan berlaku pelanggaran SOP secara serius. Penulis menyarankan kerajaan agar mengguna teknologi kejuruteraan masa depan seperti big data dan artificial intelligent untuk memantau pelanggaran SOP serta mengukur pengurusan risiko.

Gelombang Covid-19 akan lebih dahsyat sekiranya SOP tidak dipatuhi. Artikel The Economist keluaran 2 Oktober lalu menyebut tentang pelantikan jawatan Presiden China yang akan ditentukan oleh kempen menentang ‘kapitalisme keterlaluan’ dan ‘pemerintahan komunisme’.

Apa yang ingin dipecahkan oleh artikel itu adalah kebolehan memikirkan realiti sebenar dalam menentang Covid-19. Penurunan kes pada kadar antara 7,000 dan 8,000 tidak boleh dijadikan pedoman terbaik untuk menghalalkan kebenaran rentas negeri.

Ia juga memaparkan realiti sebenar China yang telah jauh meninggalkan konsep pasaran ‘kapitalisme ekonomi’ dan amalan ‘pemerintahan komunisme’.

China membuka pelaburan asing kepada Amerika Syarikat, Jepun, India dan Korea Selatan. Banyak syarikat China seperti Huawei dan Alibaba bersaing serta melabur di peringkat antarabangsa.

Senario sebenarnya telah disebut dalam surah Taha ayat (20:99) bermaksud: "Demikianlah Kami ceritakan kepada mu (wahai Muhammad) sebahagian daripada khabar-khabar (umat) yang telah lewat dan sesungguhnya Kami telah berikan kepada mu daripada sisi Kami sebuah peringatan.”

Kesimpulannya, kerajaan Malaysia perlu menyemak realiti sebenar di negara ini. Adakah kerajaan membuat keputusan bijak atau terlalu awal benarkan rentas negeri tanpa surat kebenaran polis.

Kerajaan perlu memanfaatkan kejuruteraan masa depan untuk mencanai daya kehidupan lebih hebat.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca