SHAH ALAM - Gambaran UMNO bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti dilihat seolah-solah parti itu tidak berpijak atas realiti politik semasa, khususnya politik Melayu di negara ini. Penganalisis politik daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gambaran UMNO bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti dilihat seolah-solah parti itu tidak berpijak atas realiti politik semasa, khususnya politik Melayu di negara ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk mengadakan PRN Melaka, UMNO akan berhadapan dengan satu laluan yang sukar.

"Jika UMNO meletakkan pendirian sedemikian, ini merupakan satu kesukaran kepada mereka sendiri untuk kembali mentadbir Melaka, apatah lagi akan muncul pertandingan lebih daripada dua penjuru.

"Pakatan Harapan (PH) akan masuk untuk bertanding. Sudah pasti jika tidak ada Muafakat Nasional (MN) atas gabungan yang ditetapkan sebelum ini, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan masuk untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO.

"Maka, saya lihat apa yang dinyatakan (Datuk Seri) Ahmad Zahid (Hamidi) sebenarnya tidak relevan dan tidak rasional kepada perkembangan situasi politik di Melaka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam satu program bual bicara pada Rabu, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO memberi gambaran bahawa kerjasama dalam MN mungkin tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka sekiranya diadakan.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, situasi itu akan mengakibatkan kerugian kepada orang Melayu sendiri apabila politik kaum tersebut berpecah menjadi lebih daripada satu parti.

Menurutnya, UMNO mungkin akan sekali lagi terlepas untuk mentadbir Melaka dan menyebabkan kerugian besar untuk kembali menjadi kerajaan.

"Ia bukan sahaja memberi kesan kepada politik UMNO, tetapi situasi ini akan dilihat sebagai cerminan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan lebih menyukarkan kerjasama yang boleh dibentuk dan dibangunkan semula bersama parti Melayu lain.

"Keadaan tersebut akan menyebabkan hubungan antara parti-parti, misalnya Pas dan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri akan menjadi lebih dingin kerana mereka telah berulang kali menyatakan bahawa perlu ada kerjasama politik.

"Kedegilan Presiden UMNO akan mengundang kegagalan sekali lagi bukan sahaja kepada parti tersebut tetapi juga BN dan MN,” jelas Mohammad Tawfik.

Tambah beliau, sekiranya UMNO berkeras untuk bergerak secara sendiri, parti itu perlu menunjukkan rekod prestasi yang lebih baik daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika mahu mendapat sokongan dan perhatian rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca