ORANG lelaki yang bekerja di kedai emas, pajak gadai atau yang sewaktu dengannya mungkin pakar selok-belok barang perhiasan yang menjadi kegilaan wanita.
Saya dan ramai lelaki lain mungkin tak faham sangat apa yang menarik tentang barang kemas, melainkan amat bernilai waktu kecemasan.
Bab bentuk, jenis-jenis sama ada 999, 916 ataupun ketulenan memang di luar kemampuan untuk menilainya. Hanya golongan wanita yang pakar bab itu.
Kadang-kadang apabila menemani isteri ke kedai emas, saya nampak ada pelanggan lain yang hadir dengan rantai tangan yang boleh diibaratkan sebesar tali kapal.
Bukan nak menyibuk tetapi berdasarkan kiraan saya, bukan orang biasa-biasa mampu pakai rantai tangan sebesar itu.
Hanya orang yang duit berkepuk di bank ataupun isteri tauke-tauke besar sahaja berani untuk menggayakan perhiasan yang lebarnya berinci-inci.
Benarlah apa dikata, manusia ini cita rasanya berbeza, sebab itu bumi ini penuh dengan kepelbagaian. Ada yang suka rantai tangan besar tapi ringan, tidak kurang juga suka yang kecil tapi padu.
Ada macam-macam nama untuk perhiasan itu, misalnya pulut dakap, lipan, biskut tawar, coco dan banyak lagi.
Jika isteri memujuk dan merayu mahukan pulut dakap atau biskut tawar sempena hadiah hari jadi, maka ingatlah ia bukan makanan.
Rantai tangan juga ada trend-trend tertentu dan reka bentuknya akan disesuaikan dengan kehendak semasa. Saya masih ingat sewaktu rantai tangan ala Pandora menjadi kegilaan ramai wanita termasuk isteri saya.
Hari-hari asyik sebut Pandora dan setelah membuat carian di internet, baru saya faham Pandora adalah jenama gelang fleksibel yang boleh ditambah dan dikurangkan charms dan beads. Ada macam-macam jenis charms mengikut tema seperti tema vaksin, pekerjaan, buah-buahan (durian pun ada), beg tangan, kasut dan sebagainya.
Oleh sebab Pandora adalah jenama, kedai emas lain menjual rantai tangan ala Pandora dengan menggunakan nama lain seperti Emasdora, Fdora, Edora dan macam-macam lagi.
Bagi yang gemar mengumpulnya untuk pelbagai koleksi, banyak wang yang perlu dilaburkan kerana setiap satu ribuan harganya.
Dan baru-baru ini apabila meletup mengenai isu Kertas Pandora, isteri saya excited mahukan penjelasan saya, adakah ia benda yang sama.
AKAUN PESISIR
Ternyata, amat jauh jurangnya. Perbezaan ketara rantai tangan ala Pandora dibeli oleh si pemakai untuk menggayakannya tanpa berselindung, manakala Kertas Pandora mendedahkan kekayaan yang cuba disorokkan.
Seperti dilaporkan Sinar Premium, Kertas Pandora merupakan pendedahan terkini berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan offshore.
Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar, mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks diwujudkan merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan dalam bentuk wang serta aset.
Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa mendedahkan, ratusan pemimpin dunia, ahli politik berpengaruh, bilionair, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah telah menyembunyikan kekayaan mereka sejak 25 tahun lalu.
Setakat ini, dua nama pemimpin di Malaysia yang dikaitkan dalam pendedahan itu telah menjelaskan dakwaan yang disiarkan Kertas Pandora iaitu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Maka, adalah lebih molek, pemimpin lain yang nama mereka dikaitkan dalam Kertas Pandora mengikut langkah Tengku Zafrul dan Ahmad Zahid memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan supaya tidak timbul lagi sebarang salah faham.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca