KUALA LUMPUR - Teka-teki sama ada kerjasama UMNO dan Pas akan diteruskan di bawah panji Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka masih belum diputuskan pada mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khamis malam.
Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan isu itu serta kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru yang turut membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diputuskan dalam satu mesyuarat MKT yang lain.
Buat masa ini, Ahmad menjelaskan antara keputusan mesyuarat MKT yang dicapai adalah dengan mengarahkan jentera parti di setiap peringkat di Melaka supaya bersiap-sedia menghadapi kemungkinan PRN Melaka dalam masa terdekat.
Tambah beliau, persiapan rapi jentera parti juga perlu menuruti prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Selain itu, mesyuarat bulanan MKT pada malam ini (Khamis) turut mengesahkan pengguguran keahlian parti Datuk Seri Idris Haron (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (ADUN Pantai Kundor) yang sebelum itu adalah ahli UMNO Bahagian Tangga Batu.
"Mengenai isu kerjasama MN dan persediaan menghadapi pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka, satu mesyuarat (MKT) lain akan membincangkan perkara berkenaan," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis malam.
Mengulas lanjut, Ahmad turut menjelaskan satu pembentangan mengenai persiapan PRN Melaka telah dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Melaka dan beliau sendiri menerusi mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang dan mesyuarat MKT pada sebelah malam.
Jelas beliau, MKT telah meneliti setiap laporan pembentangan yang dikemukakan dan pastinya ada beberapa perkara telah dibincangkan.
"Tetapi pada malam ini, kita hanya meminta jentera parti di setiap peringkat supaya membuat persiapan rapi bagi memenangkan parti pada PRN Melaka nantu.
"Mengenai isu lain termasuk pengagihan kerusi pilihan raya, tidak diputuskan (MKT) pada malam ini (Khamis)," katanya.
Berkenaan status PRN Melaka sama ada akan dilaksanakan SPR atau tidak yang akan diumumkan Isnin hadapan, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengakui UMNO menanti keputusan berkenaan dengan penuh debaran.
"Namun apa jua keputusan SPR, jentera parti masih perlu mempersiapkan portfolio masing-masing dengan rapi.
"Persoalan sama ada PRN akan diadakan dalam masa terdekat atau ditangguhkan, PRN Melaka macam mana sekalipun tetap diadakan," katanya.
Isu kerjasama MN menjadi tanda-tanya dalam kalangan rakyat susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membayangkan persefahaman politik antara UMNO dan Pas mungkin tidak diteruskan pada PRN Melaka.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau tidak nampak ada 'cahaya terang' untuk kerjasama MN bersama Pas direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) terdahulu susulan MN itu tidak pernah didaftarkan.
Klik di sini untuk terus membaca