KUALA LUMPUR - Kerajaan Taliban era baharu kini menyaksikan perubahan corak pentadbiran yang lebih terbuka berbanding pemerintahannya dua dekad lalu. Demikian pengakuan Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar ketika... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kerajaan Taliban era baharu kini menyaksikan perubahan corak pentadbiran yang lebih terbuka berbanding pemerintahannya dua dekad lalu.

Demikian pengakuan Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar ketika menggambarkan kerajaan baharu Taliban yang kini dipimpin Pemangku Perdana Menteri, Mullah Mohammad Hassan Akhund.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium, Moheb Rahman mendedahkan, menteri luar negeri di bawah kerajaan Taliban telah menghubungi semua diplomat Afghanistan di luar negara supaya meneruskan tugas tanpa rasa bimbang.

Katanya, berbanding kerajaan Taliban yang lama, pentadbiran Taliban kini menunjukkan perubahan signifikan dan turut aktif dengan penggunaan media sosial dalam kempen serta pentadbiran mereka.

Taliban sebelum ini pernah memerintah Afghanistan antara tahun 1996 hingga 2001. Ini merupakan kali kedua pergerakan itu kembali menguasai pemerintahan negara tersebut.

"Dahulu rakyat tidak dibenarkan menonton televisyen dan menggunakan telefon bimbit secara bebas tetapi pentadbiran baharu dilihat sangat aktif menggunakan pelbagai instrumen media sosial untuk kempen mereka,” katanya yang merupakan diplomat di bawah kerajaan lama pimpinan Presiden Ashraf Ghani Ahmadzai.

Moheb Rahman yang sudah dua tahun di Malaysia berkata, sedikit masa perlu diberikan kepada kerajaan baharu Taliban untuk cuba memperbaiki keadaan dan imej mereka dengan kapasiti yang ada.

"Afghanistan bukanlah negara miskin sebaliknya memiliki banyak kekayaan semula jadi.

"Selain menjadi gerbang utama untuk aktiviti ekonomi negara Asia Tengah, banyak kelebihan lain yang boleh kami tawarkan kepada dunia,” katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah menyalurkan maklumat pentadbiran Taliban2.0 di Twitter.

Namun, beliau mengakui salah satu kunci utama yang perlu diselesaikan kerajaan Taliban ketika ini adalah isu hak asasi wanita.

Katanya, isu kontroversi melibatkan hak wanita bukan sahaja ‘menyakiti’ komuniti antarabangsa tetapi juga golongan wanita Afghanistan yang selayaknya mendapat kebebasan dalam menjalani kehidupan masing-masing.

"Seperti kita tahu, ramai tidak berpuas hati, malah isu hak wanita menjadi antara syarat sebahagian besar negara di dunia terutama negara Barat untuk Taliban diiktiraf sebagai kerajaan baharu Afghanistan.

"Ia adalah satu aspek besar yang perlu diberi tumpuan oleh pentadbiran baharu Taliban,” ujar Moheb Rahman.

Beliau berkata, pentadbiran Taliban berdepan banyak kritikan berhubung isu hak wanita di Afghanistan dan antara perkara yang boleh mereka lakukan adalah menyediakan kondisi baharu untuk wanita (pelajar khususnya) bagi membolehkan mereka pergi dan balik dengan selamat ke sekolah serta tempat pengajian.

"Tiada satu keluarga pun akan berasa gembira sekiranya anak perempuan atau saudara perempuan mereka dinafikan peluang pendidikan,” katanya.

Selain isu hak wanita, kerajaan Taliban juga berdepan tugas sukar untuk kembali memenangi hati rakyat Afghanistan yang hidup berpuluh tahun dalam situasi perang.

Jelas beliau, banyak sumber kewangan milik negara itu di negara luar telah dibekukan, sekali gus menyulitkan usaha membantu rakyat Afghanistan yang menderita.

"Bagaimana Taliban mahu memenangi hati rakyat Afghanistan yang mahukan makanan di atas meja sedangkan kerajaan tidak mempunyai akses kepada sumber kewangan sendiri?” ujar Moheb Rahman.

Malaysia boleh bantu masa depan Afghanistan

KUALA LUMPUR - Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang mampu membantu dalam pembangunan masa depan Afghanistan yang kini berada di bawah pentadbiran kerajaan baharu Taliban.

Duta Afghanistan, Dr Moheb Rahman Spinghar berkata, walaupun kerajaan Malaysia belum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan, namun hubungan dua hala dan diplomatik kedua-dua negara masih seperti biasa dan berada dalam keadaan baik.

Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar berulang kali menyatakan isu membabitkan hak wanita terutama dalam bidang pendidikan diberi perhatian serius oleh pentadbiran baharu Taliban.

Ketika banyak negara terutamanya Barat berasa kurang senang dengan penampilan semula Taliban sebagai kerajaan sementara, Malaysia sentiasa mempamerkan keramahan dan sedia membantu rakyat Afghanistan.

"Malaysia sering tampil menghulurkan bantuan dan hubungan antara kedua-dua negara boleh disifatkan sebagai hubungan yang baik serta dan ramah,” katanya.

Jelas beliau lagi, Afghanistan kini memerlukan sokongan pelbagai pihak demi memajukan kembali negara terutamanya dalam bidang kritikal seperti pendidikan, ekonomi, sistem perbankan, teknologi dan lain-lain lagi.

"Afghanistan juga boleh mengambil contoh bagaimana Malaysia sebagai sebagai sebuah negara majmuk bertoleransi antara pelbagai kaum dan agama.

"Saya percaya Malaysia boleh memainkan peranan besar untuk masa depan Afghanistan dan kedua-dua pihak sedang berada di landasan yang betul untuk meneroka lebih banyak peluang bersama,” ujarnya.

Moheb Rahman turut optimis rakyat Afghanistan berhak mendapat kehidupan yang lebih baik dan selamat setelah sekian lama menderita akibat peperangan serta penjajahan.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui setakat ini Malaysia belum mengiktiraf secara rasmi pentadbiran baharu Taliban 2.0 yang menguasai Kabul pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, Malaysia sedia menghulurkan sumbangan kewangan sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM417,000) untuk membantu rakyat Afghanistan dalam masa terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca