[MUKADIMAH] Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari bumi Afghanistan pada bulan Ogos lalu menandakan bermula era baharu pentadbiran Taliban yang sebelum ini pernah menguasai negara itu sekitar tahun 1996 hingga 2001.
Kembalinya kerajaan digelar Taliban 2.0 itu menerima reaksi pelbagai daripada komuniti dunia, ada yang bersikap terbuka namun tidak kurang juga yang masih skeptikal berikutan imej kumpulan tersebut yang sering diuar-uarkan media Barat terutamanya sebagai pengganas.
Berada di tampuk pemerintahan bukan bererti segalanya mudah. Taliban perlu segera menyelesaikan beberapa isu kritikal yang membelenggu negara itu sejak berpuluh tahun. Paling utama, Taliban perlu memenangi kembali hati rakyatnya yang sekian lama hidup dalam situasi peperangan.
Pengarang Berita Sinar Premium, Zamri Rambli dan wartawan, Liza Mokhtar berkesempatan menemu bual Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar yang berkongsi pandangan beliau tentang masa depan Afghanistan dan rakyatnya di bawah Taliban 2.0.
SINAR PREMIUM: Boleh Tuan terangkan status terkini kedutaan Afghanistan di Malaysia?
DR MOHEB RAHMAN: Operasi Kedutaan Afghanistan masih berjalan seperti biasa, malah semua diplomat di luar negara dihubungi dan diminta oleh Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund agar meneruskan tugas tanpa rasa bimbang.
Pada ketika ini juga, kerajaan Malaysia masih belum mengiktiraf kerajaan baharu Taliban, namun kami akan terus menjalankan tugas sebagai Kedutaan Afghanistan.
- Apakah perkara pertama terlintas di fikiran Tuan selepas mendapat tahu Kabul dikuasai Taliban?
Ketika itu, semua orang berdepan situasi baharu yang menyaksikan pejuang Taliban kembali menjadi pemerintah.
Timbul banyak kebimbangan, antaranya adakah kerajaan baharu ini akan membalas dendam terhadap musuh mereka.
Bagaimana reaksi Taliban terhadap rakyat dan bagaimana rakyat menerima Taliban juga merupakan persoalan utama. Namun sehingga kini, alhamdulillah tidak terdapat sebarang kesulitan besar.
- Adakah Tuan melihat perbezaan signifikan antara kerajaan baharu dan pemerintahan Taliban pada tahun 1996- 2001?
Ada perubahan signifikan berbanding era kerajaan Taliban terdahulu. Sebagai contoh, Taliban dulu tidak membenarkan rakyat menonton televisyen dan menggunakan telefon bimbit secara bebas, namun pentadbiran baharu ini dilihat sangat aktif menggunakan pelbagai instrumen media sosial untuk kempen mereka.
Selain itu, kerajaan baharu Taliban ini juga perlu mendepani banyak cabaran untuk memperbaiki pelbagai sektor kritikal demi memajukan kembali negara yang sekian lama berada dalam situasi perang.
- Seperti diketahui, tiada penglibatan wanita dalam komposisi kabinet Taliban, apa komen Tuan tentang perkara tersebut?
Kebimbangan utama ramai rakyat Afghanistan dan juga dunia adalah bagaimana cara kerajaan baharu Taliban akan menangani isu hak wanita di negara itu.
Seperti kita tahu, ramai yang tidak berpuas hati dengan isu berkenaan, malah isu hak wanita menjadi antara syarat sebahagian besar negara di dunia terutamanya negara Barat untuk Taliban diiktiraf sebagai kerajaan baharu Afghanistan.
Pentadbiran Taliban berdepan banyak kritikan berhubung isu hak wanita di negara itu dan antara perkara yang boleh mereka lakukan adalah menyediakan kondisi baharu untuk wanita (pelajar khususnya) bagi membolehkan mereka pergi dan balik dengan selamat ke sekolah dan tempat pengajian.
Tanpa mempolitikkan isu hak wanita, ia merupakan satu aspek besar yang perlu diberi tumpuan oleh pentadbiran baharu Taliban.
- Adakah dengan tertubuhnya kerajaan baharu Taliban akan menjejaskan hubungan dua hala dengan Malaysia?
Berhubung hubungan dua hala antara Afghanistan dan Malaysia, saya berpendapat Malaysia sangat proaktif. Banyak mesyuarat telah diadakan oleh pelbagai organisasi dan ia merupakan langkah penting normalisasi hubungan.
Kebanyakan komuniti dunia meletakkan beberapa syarat bagi mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan, antaranya termasuklah mempertahankan hak wanita dan hak kemanusiaan di negara itu.
Namun, Malaysia sering tampil menghulurkan bantuan dan hubungan antara kedua-dua negara boleh disifatkan sebagai hubungan yang baik serta ramah.
- Apakah bentuk bantuan dan sokongan yang boleh dihulurkan oleh Malaysia serta masyarakat dunia kepada Afghanistan?
Pada waktu ini, Afghanistan memerlukan sokongan pelbagai pihak demi memajukan negara terutamanya dalam bidang seperti pendidikan, ekonomi, sistem perbankan dan teknologi.
Selain itu, Afghanistan juga boleh mengambil contoh bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara majmuk bertoleransi antara pelbagai kaum dan agama.
Saya percaya Malaysia boleh memainkan peranan besar untuk masa depan Afghanistan dan kedua-dua pihak sedang berada di landasan betul bagi meneroka lebih banyak peluang bersama.
- Apakah antara cabaran kerajaan baharu Taliban demi memenangi hati rakyat Afghanistan dan menjamin masa depan lebih baik untuk mereka?
Komuniti dunia seperti ‘membiarkan’ dan tidak mempedulikan Taliban serta rakyat Afghanistan dalam menentukan nasib sendiri.
Barat misalnya, banyak membawa keluar sumber manusia (golongan berpendidikan) Afghanistan ke negara mereka.
Keduanya, banyak deposit dan sumber kewangan milik Afghanistan di negara Barat turut dibekukan.
Selain menjaga keperluan rakyat Afghanistan, paling utama adalah kerajaan baharu Taliban harus memastikan isu hak wanita di negara itu diperbaiki segera.
Tiada satu keluarga pun akan berasa gembira sekiranya anak perempuan atau saudara perempuan mereka dinafikan peluang pendidikan.
- Adakah Tuan berasakan kerajaan baharu ini mampu menjadikan Afghanistan negara yang lebih baik?
Terdapat beberapa isu utama yang perlu terlebih dahulu diselesaikan kerajaan Taliban, antaranya bagaimana menangani isu hak wanita, hak golongan minoriti, isu pekerjaan dan juga isu serantau melibatkan negara jiran seperti China, Rusia, Pakistan dan lain-lain yang menerima kerajaan itu.
Bagaimanapun, saya yakin Afghanistan mampu muncul sebagai negara yang lebih baik. Afghanistan bukanlah negara yang miskin, sebaliknya memiliki banyak kekayaan semula jadi.
- Apakah harapan Tuan terhadap kerajaan baharu Taliban dan juga Afghanistan?
Afghanistan dan rakyatnya telah menderita peperangan selama lebih empat dekad, berdepan dua penjajahan (Soviet dan AS) dan rakyatnya kini berhak untuk mendapat masa depan lebih baik dan selamat.
Saya optimistik sekiranya kerajaan baharu ini dapat menyelesaikan isu ketidaksamaan hak wanita dan lelaki serta lain-lain isu berbangkit. Afghanistan mampu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Klik di sini untuk terus membaca