SHAH ALAM - Kerajaan Taliban yang kembali menguasai Kabul selepas perang di Afghanistan bermula 7 Oktober 2001 berdepan empat cabaran besar untuk memulihkan imej kumpulan itu.
Penganalisis anti-keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman berkata, cabaran pertama adalah untuk memulihkan semula imej kesederhanaan Taliban.
"Ia susah nak ubah. Orang kata Taliban ini pengganas. Taliban ini ekstremis. Taliban ini seperti satu jenama iaitu jenama ekstremis dan pengganas.
"Tetapi mereka tidak kisah. Orang boleh kata apa sahaja terhadap mereka. Taliban akan buat kerja mereka sahaja,” katanya.
Beliau berkata, keduanya adalah mewujudkan semula keamanan di Afganistan seperti pemerintahan pada 1996 hingga 2001.
"Semasa pemerintahan Taliban selama lebih empat tahun iaitu pada tahun 1996 hingga 2001, Taliban berjaya wujudkan keamanan. Tidak berlaku pembunuhan, rompakan.
"Namun masalah yang akan dihadapi oleh Taliban adalah dengan adanya kumpulan militan seperti Daesh-Khorasan, Northern Alliance dan al-Qaeda yang mampu menggugat keamanan dan ketenteraman Afghanistan.
"Bagaimana Taliban nak urus kumpulan dalaman ini? Sudah tentunya pendekatan baharu yang diambil seperti membuat rundingan dengan kumpulan itu,” katanya.
Faktor seterusnya kata Ahmad El-Muhammady adalah memulihkan ekonomi dan hubungan dengan negara lain.
INFO Empat fasa sejarah Taliban
Fasa pertama: 1993 - 1996
Ini adalah permulaan sejarah awal Taliban yang dipanggil sebagai Taliban asal.
Peringkat awal Taliban asal ialah terdiri daripada sekitar 50 pelajar madrasah yang belajar tentang agama semasa muda.
Pada peringkat awal mereka berperang dengan warlord di mana dalam dua hingga tiga tahun, mereka dapat menguasai Afghanistan.
Fasa kedua: 1996 - 2001
Pemerintahan ini adalah berdasarkan kepada apa yang mereka faham pada saat itu yang perlu dibuat untuk Afghanistan.
Kerajaan Taliban pada fasa ini banyak melakukan percubaan dalam pentadbiran.
Taliban putuskan hubungan dengan negara lain. Tiga negara sahaja yang ikhtiraf Taliban pada masa itu iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan dan Arab Saudi.
Taliban banyak melakukan kesilapan dari segi kebebasan dan hak wanita.
Banyak dipengaruhi oleh ideologi garis keras yang dibawa oleh pejuang-pejuang Arab yang datang berperang di Afghanistan pada era 80-an.
Fasa ketiga: 2001-2021
Fasa pembelajaran dan juga refleksi semula pendekatan serta dalam masa sama fasa menentang Amerika Syarikat (AS).
Bermulanya keterbukaan hubungan dengan dunia luar.
Fasa keempat: Bermula September 2021Perubahan daripada fasa satu hingga tiga membentuk Taliban pada hari ini.
Taliban versi 2021 adalah bentuk berbeza dengan sebelum ini kerana ia membawa perubahan dan pembaharuan dari segi pemikiran politik.
Membentuk pemikiran politik kesederhanaan.
Taliban hari ini terbuka dengan dunia luar dan boleh secara terbuka dengan negara-negara lain.
Keterbukaan seperti ini memperlihatkan polisi dalam negara yang bersifat sederhana, seimbang antara keterbukaan dan mengekalkan nilai-nilai Islam dalam polisi.
*** Sumber: Penganalisis anti-keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman
Klik di sini untuk terus membaca