ISU kesihatan mental semakin dipandang serius oleh masyarakat dunia. Justeru, pada setiap 10 Oktober akan diadakan sambutan ‘Hari Kesihatan Mental Sedunia’ secara bersama seluruh dunia.
Tahun ini, sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia bertema ‘Menuju Kesaksamaan Kesihatan Mental’. Selain meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia di peringkat Malaysia, sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan juga dilaksanakan pada bulan yang sama.
Sebetulnya, isu kesihatan mental sudah pun berada pada tahap krisis kerana kes-kes berkaitan masalah itu semakin meningkat. Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di Malaysia antara Januari hingga Julai bagi tahun 2021. Kes berkenaan meningkat sebanyak 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, menurut tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, hampir setengah juta rakyat mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
Malah, menerusi ucaptama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada program 'Training Day in Psychiatry’ sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 baru-baru ini, nisbah seorang ahli psikiatri di Malaysia adalah 1:100,000 orang berbanding unjuran nisbah yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu 1:10,000 orang.
Maknanya, kita perlu belajar meningkatkan kemahiran menguruskan kesihatan mental dengan ikhtiar sendiri kerana rujukan pakar terlalu sedikit.
Selain itu, impak pendemik Covid-19 telah menjadi pemangkin krisis kesihatan mental. Menerusi jawapan bertulis Menteri Kesihatan di Parlimen pada 12 Oktober lalu, kematian rakyat Malaysia akibat Covid-19 pada 2020 adalah seramai 391 orang dan meningkat kepada 22,907 orang sehingga 03 Oktober lalu.
MINDA DAN JIWA
Dengan peningkatan jumlah kematian melebihi 5,000 peratus berbanding tahun lalu, sudah tentu akan menjejaskan pemikiran dan emosi mereka yang berkenaan, dan secara langsung menambahkan lagi krisis kesihatan mental di Malaysia.
Sesungguhnya, menangani krisis kesihatan mental perlu dilakukan secara bersama dan bersepadu antara pihak kerajaan dan rakyat. Kesanggupan pihak kerajaan baru-baru ini untuk memberikan komitmen tinggi bagi membuat pindaan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan berkaitan percubaan membunuh diri yang dianggap kesalahan jenayah amat dialu-alukan. Ini kerana mereka yang cuba membunuh diri perlu diberikan rawatan dan bukannya dijatuhkan hukuman.
Selain itu, Akta 514 (Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994) perlu dibuat pindaan agar takrifan maksud ‘kesihatan’ juga membawa maksud kesihatan mental agar selaras dengan tujuan Akta Bahagian (C) iaitu untuk menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan bagi orang yang sedang bekerja yang disesuaikan dengan keperluan fisiologi dan psikologi mereka.
Yang penting, hak pekerja untuk mendapat akses rawatan kesihatan mental perlu dipertimbang dengan adil dan saksama sejajar dengan penyakit-penyakit lain.
Bagi individu pula, minda dan jiwa perlu diuruskan dengan baik sepanjang masa. Berkaitan hal itu, Pak Hamka telah mengupas isu kesihatan minda dan jiwa dengan cukup jelas menerusi bukunya, Akhlaqul Karimah.
Menurutnya, setiap manusia mempunyai kekuatan tersendiri. Kekuatan minda sangat menentukan kehidupan manusia. Pun begitu, pembentukan minda semestinya dengan akal budi kerana walaupun banyak ilmu, mereka tetap boleh melakukan kerosakan.
Selain itu, kita perlu menjaga perasaan agar tidak terpengaruh dengan syahwat, cemburu dan hasad. Kita perlu mendidik perasaan berkasih sayang dan menghormati diri sendiri dengan berpaksikan kebenaran.
Ingatlah, asal kejadian kita adalah kuat dan hebat. Semoga kita kembali mengadap ALLAH SWT dengan kuat dan hebat. Pun begitu, perlu berusaha untuk tenang, kuat dan hebat.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca