BARU-baru ini ketika sedang meronda sekitar Yan mencari kedai untuk bersarapan, isteri beritahu dia terasa hendak makan lain daripada kebiasaan. Katanya, tidak mahu makan nasi lemak dan roti canai. "Kalau begitu awak nak sarapan apa?”... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini ketika sedang meronda sekitar Yan mencari kedai untuk bersarapan, isteri beritahu dia terasa hendak makan lain daripada kebiasaan. Katanya, tidak mahu makan nasi lemak dan roti canai.

"Kalau begitu awak nak sarapan apa?” tanya saya.

"Kalau kita sarapan roti telur goyang boleh juga,” cadang isteri saya.

"Kalau begitu kita ke Pantai Murni,” cadang saya pula. Kebetulan memang di Pantai Murni ada dua kedai yang menyediakan roti telur goyang, selain nasi lemak dan roti canai.

Ketika sedang menikmati sarapan, saya tertarik dengan kedai sebelah yang menjual char kuetiau. Yang menariknya, di kedai tersebut ada tersusun rak yang dipenuhi dengan buku.

Tanpa berlengah, selesai sarapan, saya terus ke kedai tersebut untuk membelek-belek buku yang ada. Ada buku yang memang untuk dijual dan ada juga buku untuk dibaca sahaja.

Saya tertarik dengan buku Hamka bertajuk ‘Tasauf Perkembangan dan Pemurniannya’. Sambil membeleknya, saya bertanya sama ada buku itu hendak dijual walaupun saya tahu buku tersebut dilabelkan hanya untuk dibaca.

"Oh tak jual bang. Baca sahaja di sini,” kata tuan kedai.

"Kenapa tak jual?” tanya saya memaksa.

"Buku ini susah hendak dapat. Buku langka,” katanya lagi.

Saya berusaha memujuknya tetapi beliau tetap dengan pendirian menyuruh saya membaca sahaja di situ. Saya berbisik di hati, mana mungkin hendak membaca di kedai dengan buku setebal 250 muka surat itu.

Namun, saya membeli juga beberapa buku, antaranya buku Hamka yang belum saya miliki bertajuk Falsafah Ketuhanan dan beberapa buku untuk anak-anak. Saya terus menghulurkan buku-buku itu kepada isteri.

"Tolong bayar,” kata saya sambil tersengih.

Sampai di rumah, saya melayari internet untuk mencari buku langka Hamka tersebut dan saya bernasib baik, rupanya buku yang dikatakan langka itu sudah tidak langka kerana ada terbitan baharu.

Tajuknya sahaja berubah dari segi ejaan dan susunan. Saya terus memesan buku tersebut dengan tajuknya kini - 'Perkembangan dan Pemurniaan Tasawuf’.

MASYARAKAT MEMBACA

Saya membeli buku itu untuk mengetahui pandangan Hamka tentang tasawuf. Di media sosial sekarang sedang hangat berbalah. Ada golongan agak skeptikal dengan golongan tasawuf yang katanya golongan batiniah.

Seperti biasa umat Islam terutama di Malaysia akan terbahagi kepada dua pengikut. Pengikut yang mengatakan golongan tasawuf batiniah ini sesat dan satu golongan lagi, mereka adalah golongan di jalan yang benar.

Golongan dijalan yang benar akan memberi hujahnya, manakala golongan di jalan yang sesat akan mempertahankannya dengan menyuruh golongan di jalan yang benar pergi belajar lagi tentang ilmu yang ada.

Seperti kata Hamka: "Kadang-kadang tasawuf menjadi tempat pulang daripada orang yang payah berjalan, tempat lari daripada orang telah sangat terdesak. Tetapi tasawuf menjadi tempat penguat peribadi bagi orang yang lemah.

Dalam artikel ini, tidaklah saya hendak mengulas tentang buku tersebut, cuma saya hanya hendak berkongsi tentang kedai makan yang tidak hanya menjual makanan tetapi juga buku.

Mungkin di bandar-bandar besar sudah ada kedai begini tetapi di kampung seperti Yan, amat menarik jika ada. Saya tidak tahu berapa banyak buku yang telah dijual. Kalau banyak, mungkin konsep begini perlu diperluaskan lagi.

Yang penting kita hendaklah lahirkan masyarakat yang suka membaca walau di mana sahaja. Membaca akan menambah ilmu pengetahuan dan seperti kata Hamka: "Kita memang hanya akan dipertemukan dengan apa-apa yang kita cari.”

"Awak ada ambil resit tak hari tu masa beli buku Hamka?” tiba-tiba isteri bertanya ketika saya sedang membelek buku yang baru sampai.

"Tak ambil. Bukan ke awak yang membayarnya?” kata saya lagi.

"Alahai, nanti awak kena pergi semula ambil resit di kedai Pantai Murni tu,” katanya lagi.

"Kenapa pula?” tanya saya.

"Pelepasan cukailah!” jerit isteri saya.

*Penulis ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca