UMAT Islam ketika ini diasak dengan pelbagai isu yang mencabar agama Islam dan syariahnya. Tentangan itu pula bukan hanya datang daripada bukan Islam, malah dalam kalangan orang mengaku Islam yang ditambat dengan anutan liberalisme, pluralisme dan pelbagai isme lagi.
Dalam kalangan umat Islam yang mahu menegakkan syariat Islam pula tidak mahu menzahirkan contoh teladan yang baik sehinggalah umat Islam sendiri menolaknya.
Natijahnya, Islam tidak dilihat sebagai sebuah model terbaik untuk menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Ajaran Islam diamalkan di negara bukan Islam (walaupun bukan atas nama Islam) tetapi norma yang sama tidak dapat diterapkan dalam kalangan umat Islam di negara Islam sendiri. Ironinya, Islam tidak diamalkan di negara Islam.
Dalam aspek lain, ramai dalam kalangan ilmuwan Islam pada ketika inilah pula konsep-konsep baharu mahu diperkenal dan dikembangkan sehingga orang awam menjadi keliru berkaitan dengan amalan yang sekian lama dilaksanakan mahu diubah sekelip mata.
Penulis bukan mahu mengkritik tetapi sekadar meluahkan pandangan agar segala bentuk konsep sebegini hendaklah terlebih dahulu diputuskan bersama para ilmuwan sebelum sampai kepada masyarakat.
Bukankah salah satu sumber hukum dalam Islam ialah ijma’ ulama? Kenapa ijma’ ulama tidak diperoleh tetapi mahukan ijma’ sekalian umat? Ada juga yang mendakwa memberi pandangan atas prinsip kebebasan bersuara tetapi apabila pandangan mereka disanggah, mulalah mereka melabel pihak yang menyanggah dengan pelbagai gelaran.
Penulis berpandangan sudah sampai masanya umat Islam merangka strategi ampuh menangani segala permasalahan umat. Mendabik dada dialah betul dan orang lain semuanya salah bukanlah pendekatan Islam. Mencari kesilapan orang lain dan menuding jari ke arah itu juga mestilah dihentikan.
Tiada guna menyalahkan orang bukan Islam menentang agama Islam kerana memang kita telah diingatkan dalam al-Quran, orang bukan Islam tidak reda agama Islam sehinggalah kita mengikuti agama mereka. Yang perlu kita salahkan adalah diri sendiri yang masih memikirkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umum, tidak membuka minda dan saling menyalahkan, selain tidak bersatu.
Sebenarnya agak mudah menjejaki perancangan orang bukan Islam yang menentang Islam kerana atas zahirnya mereka bukanlah seorang Islam. Namun perkara yang kadangkala menjadi lebih sukar adalah menangani pola pemikiran baharu berteraskan konsep liberalisme dan pluralisme dalam kalangan orang Islam.
Penulis perhatikan ramai daripada golongan ini sebenarnya bermula dengan kecintaan mereka kepada agama Islam tetapi mungkin kerana tiada dokongan dan panduan, mereka tergelincir dan berasa takjub dengan kemampuan akal berpaksi kepada konsep liberalisme dan pluralisme sehingga sanggup mengetepikan dalil naqli dan mengutamakan dalil aqli. Mereka sanggup mempersoalkan apa sahaja walaupun telah ditetapkan secara definitif oleh hukum syarak.
Usaha ilmuwan Islam membuat ijtihad bagi umat Islam mestilah diberikan penghargaan sewajarnya kerana lapangan ijtihad adalah dalam perkara tiada nas syarak jelas tentang hukumnya, manakala mujtahid pula ialah ahli fiqh yang mencurahkan kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan sesuatu hukum daripada sesuatu dalil terperinci ataupun sumber hukum disepakati seperti al-Quran dan sunnah.
Perkembangan ijtihad dan kelahiran tokoh baharu telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam. Ijtihad merupakan perkara penting dalam pembinaan hukum. Ijtihad sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu, ijtihad adalah suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan syarak.
Namun, perkembangan ijtihad kadangkala disalah tafsir kerana ketidaksediaan masyarakat menerima ijtihad yang begitu drastik mengubah norma kehidupan mereka. Jadi, dalam menggarap sesuatu ijtihad, ilmuwan Islam juga perlu mengambil kira kesediaan dan pemahaman masyarakat.
Sebelum mahu ubah dunia, ubahlah diri kita sendiri. Sebelum menegakkan sebuah negara Islam, tegakkanlah Islam dalam diri kita sendiri.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca