SHAH ALAM - Setelah Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada 31 Ogos lalu, negara itu masih tidak bebas sepenuhnya daripada tekanan Barat kerana beranggapan Taliban tidak berkonsepkan liberal sekularisme.
Duta Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejak pengunduran itu, para mujahidin Taliban dan semua kumpulan yang bersamanya sedang merancang untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang bukan seperti yang diharapkan oleh AS.
"Sebuah pemerintahan yang berkonsepkan syura dengan melibatkan rakyat melalui para ulama dan para pemimpin qabilah yang diberikan kepercayaan oleh rakyat atau secara demokratik mengikut istilah politik Barat.
"Namun begitu, pihak Barat tetap tidak boleh menerimanya kerana kerajaan tersebut tidak berkonsepkan liberal sekularisme yang menolak peranan agama seperti mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Ramai dalam kalangan pemimpin Barat tidak dapat menyembunyikan Islamofobia yang masih menghantui pemikiran mereka secara terbuka.
Bukan sahaja para pemimpin di Amerika Syarikat (AS) yang terpukul dengan kekalahan, bahkan juga para pemimpin Eropah yang menjadi sekutunya turut meluahkan perasaan kesal terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mengundurkan tenteranya dari bumi Afghanistan.
Tindakan yang diambil oleh Biden itu dianggap sebagai strategi yang salah, sekali gus menjadikan pihak Barat mengalami kekalahan yang teruk dalam arena politik antarabangsa.
Antara yang menunjukkan kekesalan terhadap AS yang ditugaskan memikul tanggungjawab mereka di Afghanistan ialah Setiausaha Agung Kesatuan Eropah (EU), Presiden dan Perdana Menteri beberapa negara Eropah.
"Jenama Islam kepada sesebuah negara menjadi alergi bagi mereka, menandakan betapa permusuhan Peperangan Salib dan dendam mereka terhadap Islam masih lagi belum padam.
"Sekalipun peristiwa tersebut sudah berlalu beberapa abad lamanya dan kejadian yang berlaku sudah berada dalam lipatan sejarah,” kata Presiden Pas itu.
Selain itu katanya, Barat kali ini kembali menimbulkan isu kebebasan dan hak wanita di Afghanistan yang dibimbangi tidak tertunai.
Malah katanya, mereka juga membesar-besarkan berita yang telah ditokok tambah, kononnya wanita tidak akan dibenarkan bersekolah dalam keadaan diketahui akan ketidakbenaran dakwaan tersebut.
"Ini kerana, hukum menuntut ilmu dalam Islam adalah fardhu ‘ain (wajib ke atas tiap-tiap individu Muslim, baik lelaki mahupun wanita). Manakala, menuntut ilmu yang menjadi keperluan hidup pula adalah fardhu kifayah seperti memenuhi tugas-tugas para doktor dan jururawat wanita, serta kalangan pegawai kerajaan dan guru-guru wanita.
"Pernah berlaku apabila seorang wartawan wanita dari United Kingdom, Yvone Ridley memeluk Islam setelah dibebaskan oleh Taliban daripada tawanan mereka.
"Perkara tersebut berlaku selepas beliau menyaksikan perkara yang sebenar dan pembohongan yang digembar-gemburkan oleh media di Barat,” katanya.
Bagi dunia Barat katanya, kebebasan yang diinginkan ialah supaya wanita Islam tidak menutup aurat, penganut Islam boleh meminum arak dan wujud pergaulan bebas tanpa batas moral sepertimana mereka.
"Walaupun hukum Islam tidak pernah menghalang penganut bukan Islam dalam negara dan masyarakatnya untuk melakukan perkara-perkara yang dibenarkan oleh agama mereka dan sesama mereka, tetapi mereka pula tidak senang jika penganut Islam patuh kepada ajaran agamanya.
"Apakah ini bentuk kebebasan yang mereka mahukan?” Katanya.
Selain itu Abdul Hadi berkata, Barat juga tidak senang dengan sikap Taliban yang menentang perniagaan candu dan dadah, suatu kegiatan yang tidak bermoral serta tidak sesuai dengan masyarakat Islam Afghanistan.
Tegas Hadi, Gulbuddin Hekmatyar, salah seorang pemimpin kumpulan Mujahidin yang bergabung bersama kumpulan Taliban membuat satu kenyataan, katanya:
"Bahawa penentangan terkini yang berlaku di Lembah Panjshir mengumpulkan para pemimpin rejim boneka Barat dahulu, dan terdapat tanda adanya ejen-ejen Barat yang menyertai pemberontakan di sana.” Katanya, kenyataan yang dibuat oleh Hekmatyar itu menandakan terdapat usaha bagi menghalang wujudnya negara Islam di Afghanistan yang dijanjikan oleh Taliban.
"Kebimbangan sekarang ialah mewujudkan perang proksi berlaku di Afghanistan, walaupun media Barat membuat laporan kebimbangan berlakunya perang saudara di Afghanistan. Sememangnya laporan tersebut merupakan tindakan yang tidak ikhlas, laksana lempar batu sembunyi tangan.
"Media tidak boleh menipu rakyat Afghanistan yang tidak pernah mampu dijajah oleh mana-mana penjajah kuasa besar dunia, bermula daripada British sehinggalah Soviet dan AS.
"Sehingga keadaan tersebut menyebabkan bumi Afghanistan digelar sebagai perkuburan bagi kuasa besar dunia.
Katanya, rakyat Afghanistan diyakini akan berjaya mengalahkan semua kuasa besar yang berani menceroboh negara mereka dan akan berjaya mengalahkan segala tindakan golongan pengecut itu.
Klik di sini untuk terus membaca