DILABEL sebagai pengkhianat dan gila kuasa hendak kembali menjadi Ketua Menteri sudah menjadi 'makanan ruji' bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron saban hari sejak dua minggu lalu. Semuanya gara-gara tindakan nekad bekas Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

DILABEL sebagai pengkhianat dan gila kuasa hendak kembali menjadi Ketua Menteri sudah menjadi 'makanan ruji' bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron saban hari sejak dua minggu lalu.

Semuanya gara-gara tindakan nekad bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bersama tiga bekas ADUN lain menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri, yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober lalu.

Idris sebelum ini mempertahankan tindakan itu dan katanya adalah demi kepentingan rakyat susulan dakwaan Sulaiman menjadi boneka kepada pemimpin berpengaruh di negeri itu.

Bahkan analogi perbandingan 'dua singa tidak boleh berada di gunung yang sama' yang dibangkitkan Idris bagi menggambarkan senario kemelut politik yang berlaku di Melaka juga menarik perhatian ramai pihak.

Natijahnya, kesan tindakan nekad itu bukan sahaja menyebabkan Idris kini dianggap watak antagonis dalam drama politik negeri Melaka, bahkan mengorbankan keahlian politik beliau di dalam UMNO.

Di sebalik kegusaran berlaku, beliau meluahkan segala yang terbuku dalam hati kepada wartawan Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan HISYAMMUDDIN AYOB semasa wawancara yang diadakan di Melaka pada Rabu lalu.

SINAR HARIAN: Bagaimana perasaan Datuk Seri susulan insiden politik yang sangat sukar di Melaka ketika ini?

IDRIS:
Couldn't be better. Alhamdulillah. Cuma jadual agak sibuk sikit rentetan pelbagai peristiwa politik yang berlaku di Melaka ketika ini. Ada yang terperanjat, ada yang panik tetapi syukur ALLAH SWT bagi kelebihan untuk meneruskan kehidupan hingga hari ini.

Boleh Datuk Seri ulas pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini susulan dakwaan isu konsesi projek pasir membabitkan kerajaan negeri?

Oleh kerana perkara ini sudah menjadi kepentingan awam dan pada masa sama, saya pun telah ditemuramah oleh anggota SPRM. Ia telah menjadi satu ingatan bahawa perkara ini tidak boleh dibincangkan secara terperinci dalam khalayak ramai.

Tetapi SPRM dengan kepakaran dan kewibawaan yang ada, mereka telah faham konteks sebenar menjadi penyebab kehilangan wang awam bernilai ratusan juta ringgit. Jadi perkara ini merupakan amanah yang diletakkan kepada saya oleh pihak berkuasa supaya tidak dedahkan mana-mana agensi kerajaan terlibat kepada awam.

Idris meluahkan segala yang terbuku dalam hati selepas episod beliau bersama tiga ADUN yang lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri sehingga menyaksikan DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober lalu.

Ia mungkin boleh menyebabkan gangguan kepada proses penyiasatan yang profesional dan telus lagi berintegriti. Jadi saya akur dengan perintah itu dan mengambil ruang untuk tidak membicarakannya secara terperinci supaya tidak mengganggu siasatan.

Mengapa sekarang baru Datuk Seri mahu membongkar isu yang berlaku dalam kerajaan negeri?

Cerita ini sebenarnya mula dibangkitkan oleh bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka (Adly Zahari) dalam sidang DUN. Ini adalah public domain dan tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Ini kerana persidangan DUN disiarkan secara langsung melalui media sosial.

Apabila Adly yang juga bekas Ketua Menteri mempunyai kefahaman mendalam tentang tadbir urus negeri, beliau memang faham bagaimana proses penganugerahan projek melalui penswastaan dan sebagainya.

Beliau memang faham ada bidang kuasa kerajaan yang termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Tetapi pembentangan di dalam DUN tempoh hari telah mencetuskan tanda tanya tentang bagaimana kelulusan pemberian tanah seluas 1,190 ekar kepada sebuah syarikat Singapura yang bermodalkan hanya 100 dolar Singapura (RM309), dibuat kerajaan negeri.

Mungkin ahli lembaga pengarah syarikat itu dikenali pihak kerajaan atau tidak. Tetapi persoalannya, bagaimana sebidang tanah yang besar boleh diluluskan dengan hanya sedemikian rupa. Namun apabila rakyat memohon tanah untuk membina rumah 10,000 kaki persegi, 5,000 kaki persegi, tuntutan itu ditolak.

Ini yang menjadi persoalan yang tercetus dalam sidang DUN dan kemudiannya berlaku peristiwa yang menceritakan kepincangan dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri. Sehinggalah tindakan empat ADUN menarik sokongan dan membawa kepada pembubaran DUN.

Tindakan pembubaran DUN itu juga menjadi tanda tanya sama ada prosesnya sah dan kemudiannya ke arah permohonan darurat dan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, seolah-olah dilaksanakan secara tergesa-gesa. Keputusan itu juga seolah-olah ada penafian kepada sokongan majoriti yang diperoleh oleh pihak tertentu.

Justeru pada perspektif pihak kerajaan negeri, pembubaran itu berlaku sebelum Ketua Menteri Melaka (Sulaiman) hilang majoriti. Maka pada masa itu ada beberapa Exco Kerajaan Negeri seperti Datuk Norhizam Hassan Baktee berpendapat sekiranya perspektif pembubaran DUN berlaku sebelum Ketua Menteri hilang majoriti, jadi status Exco mereka tidak hilang.

Tetapi kenapa pula taraf Exco mereka dianggap hilang setelah keputusan peletakan jawatan dibuat? Sedangkan kerajaan negeri menganggap pembubaran DUN sudah berlaku sebelum mereka meletak jawatan.

Jadi, ceritanya kemelut itu sudah dibawa satu pihak ke mahkamah untuk menentukan keabsahan pembubaran DUN dan sebagainya. Perkara ini saya serahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan terbaik.

Tetapi perkara paling penting, punca penarikan sokongan itu adalah ketidakpuasan kami terhadap tadbir urus kerajaan negeri di mana ada campur tangan pihak ketiga selain keputusan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Saya terima pelbagai sekular kerajaan negeri mengatakan saya boleh dituduh di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan pihak sana pula membuat cabaran seolah- olah untuk timbulkan kebencian rakyat dan kemarahan ahli UMNO kepada saya.

Apabila cabaran mendesak saya membuktikan dakwaan penyelewengan dibuat pihak sebelah sana, saya terpaksa untuk memberikan butiran dokumen terperinci seperti menyebut kertas apa, (doket) nombor berapa dan kelulusan pada tarikh bila dan tindakan itu adalah termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan.

Kalau perkara itu berlaku, saya percaya saya akan ditangkap, dituduh dan disiasat dan sebagainya. Kita bercakap dengan atas dasar semangat (membanteras penyelewengan) dan takkanlah perkara-perkara yang dibincangkan secara terperinci seperti kertas apa, dokumen nombor berapa perlu didedahkan kepada umum.

Sepatutnya kalau kita bercakap dalam bentuk 'semangat' contohnya Exco isteri berapa, nikah berapa kali, takkanlah perkara sebegitu dianggap Akta Rahsia Rasmi 1972? Saya tidak anggap sebegitu sebagai Akta Rahsia Rasmi.

Justeru, saya tahu perkara mana yang sepatutnya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan perkara mana yang tidak melanggar akta berkenaan.

Kita sekadar menyebut pendedahan isu penyelewengan dalam bentuk semangat pada isu yang dibincangkan dalam DUN, Akta Rahsia Rasmi 1972 telah dijangkaui oleh terma kepentingan awam sebaik sahaja Ketua Menteri Melaka mengadakan sesi Facebook ketika sidang DUN.

Kalaupun ada perkara sensitif seperti menyebut kepentingan sesuatu kaum dan sebagainya, perkara itu dibangkitkan atas dasar 'semangat' dan mestilah melindungi kepentingan semua kaum yang ada di Melaka. Kalau ada perkara melanggari semangat itu, ia sudah menjadi public domain dengan kita perlu bersama-sama membetulkannya.

Apa beza pendedahan Datuk Seri terhadap kes konsesi pasir oleh kerajaan negeri dengan isu pendedahan surat sokongan kerajaan menaik taraf status tanah pajakan 99 tahun kepada hak milik pegangan bebas diberikan Datuk Seri sewaktu menjadi Ketua Menteri?

Kalau berkaitan pembongkaran isu dibangkitkan saya, saya tidak nampak ia perlu dibongkarkan kalau pelaksanaannya mengikut tadbir urus ditetapkan undang-undang kerajaan negeri.

Kalau ia mengikut tadbir urus secara sempurna, berintegriti, saya tidak ada masalah.

Tetapi tiba-tiba lulus 1,000 ekar dan penambahan keluasan tanah dilulus kerap berlaku, kita pun tidak nampak di mana pematuhan kepada tadbir urus kerajaan melainkan ia bertujuan untuk 'membela' kepentingan seseorang, itu menjadi masalah kepada saya.

Saya jadi Ketua Menteri Melaka selama lima tahun, Alhamdulillah. Di awal waktu saya pegang jawatan penting berkenaan, saya mengingatkan kepada semua ahli keluarga dan antara syaratnya adalah jangan ada mana-mana saudara saya yang cuba memohon tanah kerajaan selama saya menjadi Ketua Menteri.

Ini adalah satu polisi yang sangat tidak popular terhadap saya dan saya minta Ketua Menteri Sementara supaya siasat ada tak mana-mana ahli keluarga Idris Haron yang memohon walau seinci tanah kerajaan. Saya cabar beliau untuk siasat kerana itu prinsip saya.

Adakah penarikan sokongan terhadap Sulaiman dibuat secara terancang?

Pertamanya saya bersama tiga rakan ADUN terlibat sudah berasa tidak sesuai dan langsung berasa canggung untuk terus berada dalam sebuah kerajaan negeri yang mempunyai masalah tadbir urus.

Saya fikir perkara ini berkaitan isu pengalaman dan kebolehan mentadbir kerajaan dengan setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco, sepatutnya dilaksanakan tanpa ragu-ragu dan segera.

Tetapi ada pelaksanaan keputusan yang lambat dibuat kerana menunggu arahan 'individu tertentu', ini yang saya lihat sebagai kepincangan dalam sebuah kerajaan.

Dengan perasaan demikian, lebih-lebih dengan banyak campur tangan politik, saya tidak nampak kedudukan saya boleh menyumbang ke arah lebih baik untuk kepentingan rakyat Melaka. Jadi lebih baik saya meninggalkan jawatan itu.

Adakah Datuk Seri pernah membincangkan tindakan nekad itu dengan Presiden UMNO atau Perdana Menteri sebelum ia dilaksanakan?

Tiada. Saya tidak berkomunikasi dengan Presiden UMNO sejak satu tarikh tertentu. Ketika itu saya diminta untuk menandatangani satu surat akuan bersumpah (SD) bagi bersetuju dengan keputusan pucuk kepimpinan negeri dan Pusat bagi melantik seseorang pemimpin daripada luar Melaka sebagai Ketua Menteri baharu.

Hal ini susulan berlaku lompatan dalam kalangan ADUN Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Jadi kami kena bersetuju dengan keputusan bekas ADUN PH menyokong kami ketika itu. Namun, ketika itu saya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Itu adalah tarikh terakhir saya berkomunikasi dengan Presiden UMNO, lebih kurang dua tahun lalu. Semenjak itu, saya tidak pernah membuat panggilan telefon atau cuba untuk mendapatkan pandangan beliau. Saya buat gerakan secara berstruktur dan sistematik melalui siaran akhbar. Saya membuat teguran kepada Presiden UMNO, teguran supaya mereka melihat politik UMNO sebagai usang dan tidak relevan lagi. Hal ini kerana kalau UMNO masih bertaut kepada mata tangga ini, kita tidak akan menjadi pilihan rakyat pada masa hadapan.

Laporan Sinar Harian berkaitan kemelut politik Melaka selepas empat bekas ADUN termasuk Idris menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Itu antara perkara saya tegaskan dalam siaran akhbar termasuklah menjelaskan faktor kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), mengapa MCA dan MIC sudah tidak lagi relevan. Hakikatnya UMNO mesti dilihat kuat, barulah parti-parti lain akan kuat di negara kita.

Maksud saya, kaum Melayu mesti kuat, barulah kaum-kaum lain akan menjadi kuat. Hari ini UMNO dilihat lemah, justeru sudah tentu ada satu horizon politik baharu dengan UMNO perlu berubah serta paradigma pemikiran mereka tidak boleh di takuk lama.

Sebagai contoh, kalau saya katakan kaum Cina memberikan sokongan kepada DAP, jadi DAP itu sudah menepati syarat kelayakan untuk menjadi komponen UMNO bagi membentuk koalisi kuat bagi mentadbir kerajaan. Kalau sikap kita masih menganggap DAP cauvinis, perkauman dan ekstremis, pembentukan koalisi utuh tidak boleh berlaku. Itu sebab saya katakan dari satu sudut, MCA juga boleh dianggap parti ekstremis dan cauvinis.

Adakah tindakan nekad ini akan beri kesan besar kepada kerjaya politik Datuk Seri pada masa hadapan?

Dalam perjuangan, sebenarnya ada dua perkara. Ceritanya adalah bila kita ada satu idealisme perjuangan, sebarang kegusaran yang berlaku tidak boleh menjadi alasan idealisme perjuangan kita dikorbankan.

Sebagai contoh, saya dipecat daripada UMNO, saya tidak dicalonkan lagi pada PRN akan datang atau tidak menjadi wakil rakyat. Perjuangan itu tidak semestinya apabila kita berjawatan. Saya percaya kalau saya terkorban pun dalam peperangan ini, itu hanya implikasi kecil berbanding fokus saya untuk hadapi peperangan lebih besar.

Peperangan besar adalah untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti, telus dan transparensi serta bertanggungjawab. Kita tidak mahu ada puak-puak yang beranggapan mereka berkuasa hanya kerana mereka mempunyai kekayaan material.

Saya suka sangat kempen pilihan raya PH sebelum ini yang menolak kerajaan kleptokrasi, kerajaan yang menggunakan kekayaan serta kekuatan material untuk membeli undi dan sebagainya. Dengan tindakan sebegitulah, masa depan negara akan musnah.

Bagaimana Datuk Seri melihat situasi politik terkini negeri Melaka?

Saya okay sahaja. Bila tahu keadaan tidak memihak kepada kami walaupun mempunyai sokongan majoriti untuk mengetuai kerajaan, saya percaya mahkamah akan jalankan tugas yang terbaik. Kekecewaan kita adalah kekhuatiran kemelut politik ini akan membawa kepada krisis perlembagaan dan juga mencemarkan institusi Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Walaupun pada peringkat awal kita lihat ada pihak bersungguh-sungguh mahu mendedahkan salah laku kerajaan negeri iaitu tiga bekas ADUN, jadi sekarang sudah tidak nampak lagi kelibat mereka. Cuma yang ada hanya sidang media daripada pihak kerajaan negeri.

Justeru, saya berasa curiga kenapa kepimpinan kerajaan negeri membubarkan DUN secara tergesa-gesa dan kemudian tergesa-gesa pula meminta supaya proklamasi darurat dilaksanakan. Jadi saya minta supaya kalau sudah tahu tiada sokongan majoriti, pihak kerajaan negeri serahkan pula kepada mereka yang ada majoriti.

'Dengar khabar Idris Haron hendak menjadi Ketua Menteri balik'. Saya kata perkara itu bukan mudah seakan menukar pakaian. Ini kerana PH ada prinsip mereka, ada keterbatasan mereka. Saya pula ketika itu masih lagi ahli UMNO.

Jadi kalau benar mereka ingin mencadangkan saya sebagai Ketua Menteri, bukankah langkah itu kebaikan untuk UMNO? Bukan mudah untuk parti-parti dalam PH menerima orang luar terutama seorang pemimpin UMNO untuk menjadi Ketua Menteri bagi pihak mereka. Ini adalah satu langkah positif kepada UMNO.

Bila ia menjadi luar kawalan, saya dipecat atas alasan mengadakan kerjasama dengan pihak PH atas keputusan mengikut ketetapan 'No Anwar, No DAP'. Tiba-tiba ada pula tokoh UMNO yang mendedahkan parti sudah berbincang dengan DAP untuk selamatkan kerajaan negeri. Perkara ini disebut sendiri oleh pemimpin UMNO bahawa beliau mewakili Ketua Menteri Melaka menawarkan jawatan Exco kepada DAP dan sebagainya.

Jadi di mana keadilan sosial dan hak untuk didengari? Mengapa hukuman ini terpilih kepada saya dan tidak kepada mereka? Hal ini membuka mata rakyat dan sekiranya sikap sebegini diteruskan oleh pemimpin-pemimpin ini untuk mentadbir negara, takut-takut nanti akan berlaku kehancuran. Kalau kita masih berterusan menafikan mandat rakyat dan pihak yang menerima sokongan majoriti, saya percaya rakyat akan menghukum mereka.

Datuk Seri pernah membangkitkan isu dua ekor singa yang berada di atas gunung yang sama. Mengapa tidak bercakap secara berterus terang?

Saya dididik dengan tatacara budaya adab Melayu yang penuh sopan santun. Kalau menikam pun dengan pantun. Perbandingan dibangkitkan itu adalah satu gambaran kepincangan kepimpinan kerajaan negeri yang berlaku di Melaka. Yang saya rasa dukacita adalah kawan-kawan yang ramai di atas yang berkongsi pengalaman ketika kita menjadi kerajaan, hari ini pandang saya begitu sahaja.

Mungkin dalam hati, mereka mendoakan saya. Akan tetapi mulut terpaksa ditutup rapat, takut-takut kalau tidak menjadi calon pilihan raya dan sebagainya. Jadi saya doakan mereka berjaya walaupun berkongsi kebencian, kegusaran dan keresahan ketika kami bersama-sama dalam kerajaan suatu ketika dahulu. Insya-ALLAH pada pilihan raya akan datang, kita akan melihat satu kebenaran yang pasti.

Tiga tahun lepas, Datuk Seri selaku Ketua Pembangkang DUN ketika itu berkelahi dengan Norhizam berhubung isu babi sehingga mendapat perhatian seluruh negara. Namun, Norhizam kini merujuk Datuk Seri sebagai ketua. Bagaimana boleh berubah 360 darjah?

Norhizam merupakan seorang pejuang yang mewarisi kepimpinan arwah bapanya. Beliau pun sebelum ini menganggotai UMNO. Beliau sedar akan permasalahan UMNO lebih awal, lalu meninggalkan parti itu untuk menyertai DAP.

Kita tahu beliau melalui satu zaman agak sukar. Apabila beliau menjadi Exco di bawah kerajaan PH, saya menjadi Ketua Pembangkang DUN. Saya pula sudah mengenali beliau lebih 30 tahun lalu.

Tidak ramai yang tahu karakter Norhizam bagaimana dan individu sebenar yang memulakan provokasi terhadap bekas ADUN Pengkalan Batu itu adalah saya. Jadi bila isu babi dibangkitkan, itu semua menampakkan karakter beliau sebagai seorang pejuang.

Bagi saya, politik adalah politik. Tetapi jangan sampai kita menghina keperibadian dan jasa pemimpin lain. Bagi saya makian itu adalah perkara biasa. Bahkan saya pun mengikut saranan doktor untuk menyerap setiap provokasi dan makian yang dilemparkan kepada saya sepanjang menjadi orang politik. Mungkin atas faktor itu menyebabkan Norhizam kagum dan menganggap saya sebagai sifu beliau.

Klik di sini untuk terus membaca