PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik atau Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) juga dikenali sebagai TPP11 atau TPP-11 adalah perjanjian perdagangan melibatkan 11... Klik di sini untuk terus membaca

PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik atau Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) juga dikenali sebagai TPP11 atau TPP-11 adalah perjanjian perdagangan melibatkan 11 negara – Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam.

Ia berkembang hasil Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang tidak menjadi realiti akibat penarikan diri Amerika Syarikat (AS).

Asalnya TPP telah ditandatangani pada 4 Februari 2016, namun ia tidak menjadi kenyataan kerana AS telah menarik diri sejurus Presiden Donald Trump menolaknya, walaupun AS merupakan pelopor TPP ketika pentadbiran Presiden Barak Obama.

Bagaimanapun, negara-negara yang telah menandatangani TPP bersetuju meneruskan rancangan. Justeru, pada Mei 2017 mereka telah menggesa Jepun memainkan peranan yang telah ditinggalkan AS.

Pada Januari 2018, CPTPP dibuat sebagai perjanjian yang berjaya, mengekalkan kebanyakan isu yang telah dipersetujui ketika rundingan awal dijalankan. CPTPP ditandatangani secara rasmi pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chile.

Ekonomi CPTPP mewakili 13.4 peratus daripada produk domestik kasar global, menjadikan CPTPP salah satu kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Disebabkan kejayaan yang dicapai CPTPP dalam tempoh singkat, kini sudah ada permohonan untuk menyertainya termasuklah China, United Kingdom (UK), Taiwan, Filipina, Korea Selatan, malah AS telah melahirkan hasratnya untuk menyertai CPTPP walaupun Trump telah menolak TPP.

Pengembangan CPTPP bukan mudah kerana terpaksa berdepan polemik tersendiri. Pada Mei 2020, China telah melahirkan hasratnya menyertai CPTPP, maka pada 16 September 2021, China secara rasmi telah memohon untuk menyertai CPTPP.

Bagaimanapun, Jepun melalui Menteri Luarnya, Toshimitsu Motegi tidak yakin kemampuan China untuk memenuhi syarat-syarat CPTPP yang tinggi.

Penyertaan China turut mendapat reaksi negatif dari Australia, malah dijangka mendapat tentangan dari Mexico dan Kanada yang dipengaruhi oleh AS.

Amat jelas, reaksi negatif terhadap penyertaan China datang daripada sekutu AS di rantau Indo-Pasifik. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali tidak mahu diheret dalam persaingan kuasa-kuasa besar. Oleh itu, Malaysia tidak menentang penyertaan China.

Sebaliknya, China telah menentang permohonan penyertaan Taiwan. Sebenarnya Taiwan telah memohon menyertai TPP seawal 2016 lagi. Pada 22 September 2021 sehari selepas permohonan China, Taiwan dengan rasmi telah memohon untuk menyertai CPTPP.

Taiwan merupakan salah satu gergasi ekonomi. International Monetary Fund (IMF) telah mengkategorikan Taiwan sebagai ekonomi ketujuh terbesar di Asia dan ke-20 terbesar di dunia dengan kuasa beli yang membolehkan Taiwan dimasukkan dalam kumpulan ekonomi maju.

Oleh demikian, adalah rasional Taiwan menyertai CPTPP. Selain itu, Taiwan mempunyai industri semikonduktor, teknologi komunikasi, robotik dan pertanian moden yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua anggota CPTPP termasuk Malaysia.

Pada masa sama, Taiwan juga adalah rakan dagang utama Malaysia. Pada 2020, perdagangan Malaysia dengan Taiwan telah mencecah RM91.51 bilion (AS$21.80 bilion). Eksport utama Malaysia adalah produk elektrik dan elektronik, peralatan optik dan saintifik, pembuatan logam, produk kimia serta produk petroleum, manakala import dari Taiwan adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia, besi serta keluli.

Pada 2020, Taiwan merupakan rakan dagang kelima terbesar kepada Malaysia dan Malaysia adalah rakan dagang ketujuh terbesar bagi Taiwan.

Negara-negara sekutu AS telah menyatakan pendirian untuk menyokong permohonan Taiwan dalam CPTPP berbanding China. Keanggotaan kepada organisasi perdagangan yang bersifat fungsional dan mampu membawa manfaat kepada semua harus bebas daripada polemik dan politik.

Ada peribahasa Cina yang berbunyi: "Jangan memaksa kepada orang lain apa yang tidak akan anda pilih sendiri.”

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca