MALAYSIA sebuah negara yang aneka ragam, rencam dan majmuk sifatnya merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kepelbagaian pasti membawa cabaran tetapi waktu yang sama, banyak titik persamaan atas nama perpaduan dan hubungan keinsanan.
Kesinambungan kepimpinan sentiasa memastikan agar perpaduan tidak terjejas dalam proses pembangunan, industrialisasi dan pemodenan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.
Konsep itu pasti membaik pulih titian yang menghubungkan kita dan merobohkan dinding penghalang ke atas perpaduan agar titik keseimbangan antara semua kelompok etnik dan agama terpelihara.
Ia juga penting untuk sentiasa menghalusi apa yang sedia ada supaya tidak terpadam dek pertembungan antara mereka yang tidak bertanggungjawab.
Belajar hidup bersama adalah masa depan Keluarga Malaysia. Nilai keterangkuman dan kebersamaan menjadi telapak kepada nadi perkembangan serta pencapaian matlamat Keluarga Malaysia. ‘Satu Negara, Satu Matlamat’ barangkali memberi deskriptif menyeluruh menunjangi nilai tersebut.
Konsep Keluarga Malaysia telah menjadi penggerak ketika krisis nasional dan keadaan politik tidak menentu serta tidak memadam nilai kesepaduan antara masyarakat. Jelas, ia mempertahankan keyakinan dan pengiktirafan pada demografi serta geografi tanah air.
Ia lahir untuk menanam nilai kemanusiaan kerana bukan manifestasi kepercayaan baharu. Prinsip kesaksamaan sosial, penerimaan dan kewarganegaraan juga signifikan.
Takrifan ‘keluarga’ tidak mengira latar belakang agama, etnik, ritual, kepercayaan, gender dan fahaman politik. Begitu juga dengan merapatkan jurang inter-etnik, intra-etnik, umur dan jurang kelas, ekonomi, pendidikan, gender serta sempadan.
Nilai kemanusiaan yang dikongsi dalam keluarga masing-masing adalah jawapannya. Karakter nasional yang berpegang kepada nilai faham, hormat dan terima menjadi asasnya. Cabarannya adalah usaha berterusan untuk memahami, menerap dan menjadikan setiap norma sebagai amalan seharian serta darah daging kita.
Ia bergantung kepada keyakinan dan keikhlasan untuk menjadi agenda rakyat yang sama-sama bangga dengan nama Keluarga Malaysia.
Keluarga Malaysia adalah misi ‘kerajaan untuk semua’. Beberapa ejen sosialisasi boleh membantu membawa lonjakan ke atas konsep ini. Segalanya bermula daripada pemupukan dan asuhan di rumah, didikan di sekolah dan universiti, peranan guru-guru dan pentadbir sekolah, penceritaan media, rakan sebaya dan inisiatif diri sendiri serta pemimpin yang boleh dijadikan teladan atas nama Keluarga Malaysia.
Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Kementerian Perpaduan Negara sedang memainkan fungsi itu secara berterusan dan mempamer apa yang perlu diteladani pemimpin lain.
Keluarga Malaysia adalah pelengkap kepada Wawasan 2020 dan Satu Malaysia. Ia menjadi jambatan pembentukan negara yang makmur, maju dan rukun. Perlembagaan dan Rukun Negara tidak dikompromi serta menjadi perisai kepada bucu-bucu Keluarga Malaysia.
Keluarga Malaysia berjiwa ‘Malaysia’. Ia bermakna tidak ada yang terkebelakang dengan turut mendapat sokongan sistem jaringan sosial di bawah kesaksamaan sosial untuk semua. Kaya atau miskin seseorang bukan lagi atas garis keetnikan. Hubungan emosi perpaduan Keluarga Malaysia walau latarnya adalah Melayu atau bukan Melayu, titik-titik persamaan perlu diterokai untuk memastikan hasrat masa depan bersama tercapai.
Jika matlamat konsep Keluarga Malaysia dapat direalisasikan oleh generasi hari ini dan akan datang, nescaya kita akan dapat melihat generasi yang mempamerkan kekuatan ke atas muafakat, makmur dan negara yang ampuh di sebalik pemimpin berjiwa Malaysia. Kejujuran dicari sebagai ‘pelindung’ kepada Keluarga Malaysia.
Marilah kita membina warga ‘kelas satu’ di sebuah negara ‘kelas pertama’. Negara kelas pertama ada kemudahan dan prasarana negara maju sifatnya tetapi dihuni warga kelas satu yang ada ilmu, kemahiran serta kebolehan yang diselaputi dengan nilai karakter mulia Keluarga Malaysia.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca