MAHU tidak mahu, 6 dan 7 November ini, Belalang akan berangkat ke Kuala Terengganu - bukan untuk bercuti, bukan juga untuk bersantai atau berkelah, tetapi untuk menghadiri Muktamar Agung Pas yang ke-67.
Apa yang menarik dan mencuri perhatian ramai ialah tarikh berlangsungnya muktamar tahunan ini dibuat sinonim dengan muktamarnya yang ke-67. Cakap orang nombornya sangat cantik - 6767. Moga ia juga turut membawa tuah kepada Pas dan juga muktamar tersebut.
Sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) dibentuk di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein ekoran tragedi 13 Mei 1969, itulah pertama kalinya Pas membentuk kerajaan Pusat bersama UMNO dan parti-parti komponen yang lain.
Tetapi kerajaan pusat Pas yang pertama itu tidak dapat menyaingi kerajaan Pusat Pas di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat masa kini.
Di bawah Abdul Hadi, walaupun beliau sendiri tidak menjadi sebahagian daripada anggota kabinet, tetapi partinya diwakili tiga menteri, lima timbalan menteri malah di peringkat negeri diwakili tiga menteri besar.
Jika dari sudut kejayaan ini diambil kira sebagai kayu ukur kecemerlangan, maka Pas di bawah Abdul Hadi adalah Pas yang paling berjaya setakat ini.
Maka muktamar yang ke-67 tahun ini adalah muktamar yang meraikan kecemerlangan Pas di bawah Abdul Hadi.
Cuma yang sedikit ‘mengganggu’ kemeriahan itu ialah kesihatan Abdul Hadi yang tidak memberangsangkan dengan beliau berhadapan dengan isu sakit jantung dan diabetik.
Sejak dua tahun kebelakangan ini beliau kerap keluar masuk hospital kerana komplikasi jantung dan diabetik. Kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang berpanjangan untuk menghadiri muktamar ke-67 kali ini tanpa gangguan.
Muktamar kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan untuk mengisi kepimpinan bagi penggal baharu pucuk pimpinan Pas. Bagaimanapun untuk dua jawatan teratas iaitu presiden dan timbalan presiden, kedua-duanya menang tanpa bertanding. Namun untuk kerusi tiga jawatan naib presiden bakal menjadi tumpuan dan perhatian ramai.
Ketiga-tiga penyandang kerusi iaitu Menteri Agama, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mempertahankan kerusi mereka manakala pencabar pula ialah bekas menteri, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali atau lebih popular dengan panggilan Khairuddin At-Takiri.
Masalahnya sekarang ialah terdapat dua orang pencabar besar dari Terengganu iaitu Dr Khairuddin dan Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu.
Di antara kedua-dua pemimpin ini ada kemungkinan para perwakilan hanya akan memilih seorang sahaja dari negeri yang sama. Siapa yang akan ‘dikorbankan’ adalah menarik untuk dilihat.
Yang turut akan menjadi perhatian umum ialah sejauh manakah para perwakilan akan membahaskan isu-isu sensitif misalnya kerjasama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) - satu melibatkan UMNO dan satu lagi melibatkan Bersatu.
Akan adakah desakan agar Pas mengambil pendirian yang lebih tegas dengan memilih rakan kongsi yang jelas, bukan sepertimana sekarang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Kepada para perwakilan, ini adalah satu isu yang sangat penting kerana merekalah yang akan menggerakkan jentera di peringkat akar umbi kelak ketika PRU nanti.
Baik keputusan yang dibuat, baiklah untuk mereka dan buruk keputusan yang dibuat maka buruklah padahnya.
Kerana merekalah yang akan bekerja bertungkus lumus untuk memenangkan calon ketika PRU.
Sementara itu, muktamar kali ini juga akan berlangsung secara hibrid yang mana kita semua bakal menyaksikan cuma ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat, ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya Pas Negeri sahaja yang akan hadir secara fizikal manakala perwakilan negeri dan kawasan tidak akan hadir.
Belalang - Sentiasa bersiap siaga...
Klik di sini untuk terus membaca