BEIJING - Program angkasa lepas China semakin pesat berkembang sejak Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan negara itu melancarkan roket Long March 1 untuk menghantar sebuah satelit mengelilingi bumi pada tahun 1970.
Ketika itu misi negara berkenaan ke angkasa lepas masih ketinggalan dari Amerika Syarikat (AS) yang sudah menempa sejarah apabila berjaya menghantar dua angkasawan ke bulan pada Julai 1969.
Kini, tiga angkasawan China termasuk seorang wanita telah tiba di Stesen Angkasa Lepas yang dibina Beijing.
Trio angkasawan itu atau 'taikonaut' iaitu gelaran untuk angkasawan tersebut terdiri daripada Zhai Zhigang, 55 yang merupakan ketua misi bersama Wang Yaping dan Ye Guangfu, masing-masing berusia 41 tahun akan tinggal selama 183 hari atau kira-kira enam bulan di Stesen Angkasa Tiangong tersebut iaitu tempoh yang paling lama buat angkasawan China setakat ini.
Mereka berlepas ke stesen tersebut yang terletak kira-kira 340 hingga 450 kilometer (km) dari bumi dengan menaiki kapal angkasa Shenzhou-13 yang berpisah dari roket Long March 2F yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Gurun Gobi, Inner Mongolia pada awal pagi Sabtu dan perjalanan tersebut mengambil masa selama kira-kira enam jam.
Bahagian pertama atau modul stesen itu dihantar pada April lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.
Ia akan menjadi satu-satunya kemudahan yang masih lagi beroperasi selepas Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang pertama kali menempatkan angkasawan pada 2000 tidak lagi digunakan menjelang 2024.
Pada 2011, AS pernah melarang China daripada menggunakan stesen ISS atas sebab keselamatan dan hak asasi manusia.
Apabila siap sepenuhnya, saiz stesen Tiangong yang akan juga digunakan untuk tujuan penyelidikan itu adalah lebih kecil berbanding ISS yang seberat 450 tan.
China yang merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia telah membelanjakan berbilion dolar untuk memajukan program angkasa lepas mereka selain bercita-cita untuk memastikan angkasawan negara itu dapat menjejakkan kaki di bulan.
Impian besar Beijing untuk menyaingi AS dan Rusia meneroka angkasa lepas akhirnya tercapai pada Oktober 2003 apabila angkasawan negara itu menjadi rakyat pertama dari China mengelilingi bumi dengan kapal angkasa, Shenzhou 5.
Kejayaan itu menyebabkan negara tersebut mencipta sejarah menjadi negara ketiga di dunia selepas AS dan Rusia yang berjaya menghantar manusia ke angkasa lepas.
Ia juga telah berjaya menghantar sebuah kapal angkasa lepas, Tianwen-1 yang membawa kenderaan robotik Zhurong ke permukaan Marikh pada Mei lalu.
Sebelum ini, hanya AS sahaja yang berjaya mendaratkan kenderaan robotik di Marikh pada 2012 dan Februari 2021 selepas sebuah kapal angkasa Kesatuan Soviet tanpa juruterbang mendarat di planet tersebut pada 1971.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya negara Arab dan Islam yang menghantar misi ke Marikh dan menjadi negara kelima tiba di planet merah itu sekali gus sebaris dengan Barat dan India dalam menyertai perlumbaan ke angkasa lepas.
Info
>Pada Disember 2020, China pernah berjaya mendaratkan sebuah kenderaan robotik di permukaan bulan.
>Pada 1980-an, misi angkasa lepas China menghantar satelit televisyen negara itu ke angkasa lepas dengan menggunakan roket Long March.
>Pada era 1990-an, roket Long March juga digunakan untuk menghantar satelit komunikasi Hong Kong dan satelit cuaca Beijing.
>Pada 1990-an, ada sebahagian misi pelancaran roket China ke angkasa lepas menemui kegagalan.
Klik di sini untuk terus membaca