PENGOPERASIAN semua tadika swasta di negeri Fasa 1 dan 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah dibenarkan mulai 17 September lalu untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.
Pembukaan semula sesi persekolahan untuk murid prasekolah itu nyata melegakan ibu bapa terutama yang bekerja dan pada masa sama memberi sinar baharu kepada golongan pendidik untuk kembali menjana pendapatan yang terhenti akibat pandemik Covid-19.
Akhbar harian Tamil Malar melaporkan kira-kira 500 guru India yang berkhidmat di 220 tadika swasta seluruh negara telah mengalami situasi sukar apabila kehilangan punca pendapatan dan mengalami ‘kesengsaraan’ untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Semua guru itu juga adalah dalam kalangan kumpulan B40 yang berpendapatan rendah dan mereka berdepan kesusahan untuk menampung kos sara hidup sejak 10 bulan lalu.
Menurut Tamil Malar, guru-guru yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memerlukan bantuan bagi memulihkan kedudukan kewangan.
Pelaksanaan variasi fasa PKP secara berterusan sejak Januari lalu menyebabkan sektor pendidikan tempatan agak terjejas dan kebanyakan sekolah tadika swasta terpaksa menutup operasi masing-masing.
Operasi tadika swasta itu juga dikendalikan dengan sistem pembelajaran dan pengajaran dari rumah.
Berikutan itu, pihak pentadbiran tadika swasta kehilangan punca pendapatan mereka dalam bentuk yuran disebabkan ibu bapa tidak mahu membuat pembayaran penuh.
Ironinya, ada yang membuat keputusan untuk menghentikan pembelajaran anak mereka di institusi prasekolah itu.Senario tersebut telah menyebabkan pihak pengurusan sekolah tadika swasta berkenaan tidak dapat membayar gaji kepada para pendidik terlibat.
Tamil Malar berkata, menyedari nasib malang yang menimpa mereka, semua guru tadika swasta itu telah tampil membuat permohonan bantuan kewangan kepada Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).
MITRA merupakan sebuah unit khas diterajui Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab melaksanakan program-program meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat India di Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar B40.
Unit khas berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta saban tahun bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan inklusif untuk masyarakat India di Malaysia.
Tamil Malar menjelaskan, pada Januari lalu, guru yang tiada pendapatan bulanan itu telah membuat permohonan secara dalam talian kepada MITRA tetapi belum mendapat sebarang jawapan daripada unit tersebut.
Sehubungan itu, ibu bapa dan masyarakat India meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap MITRA.
Akhbar harian itu juga menyuarakan bahawa peruntukan diwartakan kepada MITRA adalah hak masyarakat India dan ia perlu digunakan secara baik untuk kebaikan bersama kaum minoriti India.
Penubuhan MITRA dan peruntukan yang digazetkan itu adalah untuk satu misi nasional melibatkan pembangunan golongan B40 masyarakat India dan mentransformasikan masa depan seluruh kaum India di Malaysia.
Bagaimanapun, kekurangan keberkesanan dan respons MITRA terhadap isu masyarakat terutama melibatkan masalah bantuan kewangan kepada guru-guru terbabit memberi impak negatif terhadap imej agensi tersebut dan mencabar kredibilitinya.
Tamil Malar meminta agar pihak MITRA segera mengambil langkah proaktif dan memberi respons positif kepada guru tadika swasta berkenaan, sekali gus berusaha membela kebajikan golongan berpendapatan rendah itu.
MITRA yang diwujudkan berlandaskan tujuan cukup murni diharap dapat menunaikan janji dan tanggungjawab dengan jujur demi kemakmuran masyarakat India.
* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca