PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak mengambil iktibar atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan beberapa minggu lalu.
Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti, Seri Paduka Baginda memberi kesempatan kepada mana-mana pihak membuktikan mereka ada sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Saya percaya faktor yang menjadi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ialah Parlimen negara masih belum mencapai tempoh wajib mengadakan pilihan raya umum (PRU) dan pandemik masih berleluasa.
Kita tidak perlu mengadakan PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila seseorang Perdana Menteri atau Ketua Menteri/Menteri Besar hilang sokongan majoriti kerana sistem demokrasi kita tidak melihat parti mewakili rakyat.
Dalam sistem demokrasi, parti tidak mempunyai hak dan tanggungjawab dari segi perundangan dalam menentukan ketua pentadbiran negeri serta negara.
Kesemua Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan mengangkat wakil rakyat sebagai orang yang bertanggungjawab menentukan siapa akan menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar/Ketua Menteri.
Justeru, mengadakan pilihan raya kerana seseorang itu hilang sokongan majoriti kerana lompat parti adalah pilihan terakhir, bukannya pilihan pertama.
Bagaimanapun, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sama seperti Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin melihat fungsi mereka dengan cara yang berbeza.
Mereka memilih membubarkan DUN sebelum tempoh penggal tamat tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak membuktikan mereka ada sokongan majoriti untuk menjadi Ketua Menteri.
Dalam keadaan kita baru saja mahu memulihkan negara ini, kita hanya mampu berdoa agar peristiwa gelombang Covid-19 pasca PRN Sabah tidak berulang pada PRN Melaka.
Oleh sebab DUN Melaka telah dibubarkan, maka semua mata tertumpu kepada pertembungan tiga pakatan politik terbesar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Walaupun ada saranan dalam kalangan pemikir Melayu agar BN dan PN mengadakan kerjasama bagi mengelak perpecahan undi Melayu, namun ia sukar dilaksanakan.
Pertama, UMNO sendiri telah meluluskan usul menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang. Oleh sebab Pas dan Bersatu dalam PN, maka mustahil untuk UMNO mengadakan kerjasama dengan Pas tetapi menentang Bersatu. Kedua, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri menyatakan Pas telah beberapa kali mengkhianati UMNO dan pelbagai pihak lain.
Tuduhan Pas mengkhianati UMNO diucap dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita. Ia kemudian disahkan oleh catatan penjelasan Ahmad Zahid sewaktu mendakwa jawapannya diputar belit oleh media.
Ahmad Zahid menulis: "Kemudian saya menjawab soalan, adakah saya kecewa dengan MN yang pernah dimeterai pada 2019. Saya cakap tidak pernah kecewa sebagai ahli politik tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.
"Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula.” Walaupun tidak jelas kepada rakyat biasa apakah pengkhianatan yang dimaksudkan Ahmad Zahid, namun jika itulah perasaan kepimpinan UMNO terhadap Pas, maka sewajarnya sebagai sebuah parti yang besar, UMNO berpegang teguh untuk bertanding tanpa berunding dengan parti di luar BN.
UMNO tidak perlu khuatir untuk kalah kerana ini hanyalah PRN. Medan terbesar buat UMNO dan BN adalah PRU15.
Walau apa pun pandangan orang terhadap Ahmad Zahid, membuat keputusan bertanding semua kerusi di DUN Melaka adalah satu keputusan wajar, rasional dan strategis.
Ia membolehkan parti mengukur tahap sokongan rakyat dan membuat perubahan dasar sebelum PRU sekiranya strategi itu tidak menjadi pada PRN Melaka. Adalah lebih baik UMNO mengambil risiko ini dan melihat hasilnya daripada terus menjual mimpi dan akhirnya PRU15 hanya mengulangi tragedi PRU14.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca