SHAH ALAM - Selepas Amerika Syarikat (AS) ditunjukkan jalan keluar dari Afghanistan, Taliban kembali mentadbir Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Kemenangan itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas Amerika Syarikat (AS) ditunjukkan jalan keluar dari Afghanistan, Taliban kembali mentadbir Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kemenangan itu menghidupkan kembali Taliban yang kini dikenali sebagai Taliban 2.0 dengan imej baharu dan lebih kesederhanaan.

Taliban 2.0 ini dilihat jauh berbeza dengan imej kejam, perjuangan jihad yang kental dan ultra-radikal pada pemerintahan kumpulan itu bermula 1996 hingga 2001.

Di sisi lain, penganalisis anti-keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman berkata, mungkin kejayaan Taliban itu telah memberi nafas baharu kepada kumpulan-kumpulan militan di Asia Tengara.

"Tidak semua tetapi kebangkitan Taliban ini memberi nafas baharu kepada kumpulan militan daripada segi berjaya mengalahkan AS, seperti slogan Kick America Out daripada Afghanistan. ini merupakan satu kejayaan sebab AS adalah kuasa besar dunia.

"Daripada segi nafas baharu kumpulan-kumpulan militan, contohnya Jemaah Islamiah versi lama, kalangan anggotanya masih ada. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan di Indonesia seperti Jamaah Ansharut Tauhid dan juga di Filipina, ada Abu Sayyaf.

"Jadi mereka baca, bila Taliban bangkit, pertama ia merupakan kemenangan bagi kumpulan Taliban menentang AS. Itu konsisten. IS, al-Qaeda, kumpulan militan di Indonesia juga sama.

"Banyak yang membuat kenyataan serupa seperti kemenangan rakyat Afghanistan terhadap AS. Itu satu naratifnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun kumpulan militan yang ada di Asia Tenggara ini menyokong Taliban, Ahmad yakin Taliban tidak akan membenarkan kumpulan-kumpulan itu mengambil kesempatan atau mendapat manfaat terhadap apa yang telah berlaku.

Ini kerana tegas Ahmad El-Muhammady, Taliban mempunyai komitmen yang tinggi untuk memastikan Afghanistan bebas daripada digunakan oleh mana-mana kumpulan pengganas di dunia.

Ahmad El-Muhammady

Ini kerana katanya, melalui Perjanjian Doha pada 2020, AS mengenakan syarat kepada Taliban untuk memutuskan hubungannya dengan kumpulan pengganas.

"Apa yang berlaku pada 2001? Kejatuhan Taliban. Kenapa? Taliban tidak bersalah. Yang menyerang AS adalah Al-Qaeda.

"Salah Taliban adalah tidak mahu menyerahkan Osama Bin Laden kepada AS. Itu sahaja salah Taliban. Tetapi dia menjadi mangsa eksklusif selama 20 tahun. Taliban tidak akan lupa peristiwa itu,” katanya.

Malah katanya, Taliban pada hari ini merupakan sebuah kumpulan yang bercirikan kesederhanaan dan cepat belajar serta dalam perangkaan untuk menjalinkan hubungan dengan dunia luar.

"Kalau dulu hanya tiga negara yang mengiktiraf Taliban iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan dan Arab Saudi. Kini mereka bersedia untuk berunding secara terbuka dengan negara lain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca