SHAH ALAM – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron membidas pihak yang melaporkan dakwaan salah laku beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka. Laporan SPRM itu dipercayai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron membidas pihak yang melaporkan dakwaan salah laku beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka.

Laporan SPRM itu dipercayai berhubung isu pemberian status freehold (pegangan bebas) bagi sebidang tanah untuk projek tambakan laut sekitar tahun 2014 dan 2015 yang tular di media sosial sebelum ini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, pihak berkenaan dianggap tidak bijak kerana tidak mengkaji dahulu perkara itu terlebih dahulu sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Tambahnya lagi, dakwaan beliau meluluskan sebidang tanah berkeluasan 609 ekar bertaraf hak milik pegangan bebas sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka sekitar tahun 2014 dan 2015 berserta pendedahan satu dokumen kerajaan sebenarnya tidak tepat.

"Saya sudah maklumkan isu ini pernah tular dalam media sosial dan saya menjawabnya dengan mudah.

"Itu (dokumen tular) bukan merupakan surat kelulusan kerajaan negeri, sebaliknya surat sokongan kepada cadangan menaik taraf status hak milik sebidang tanah daripada pajakan 99 tahun menjadi pegangan bebas (freehold).

"Yang meluluskan naik taraf status tanah berkenaan adalah Majlis Tanah Negara (MTN) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Ini bukan satu proses mudah dan jangan kata saya salah guna kuasa dengan meluluskan naik taraf status hak milik tanah berkenaan.

"Saya tidak ada kuasa,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang ahli perniagaan yang membuat laporan kepada SPRM mengenai salah laku beliau sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum ini.

Laporan itu telah dibuat Mansor Shah Golbat Shah terhadap Idris yang didakwa memberikan status hak milik pegangan bebas kepada sebuah syarikat bagi projek tambakan pasir.

Menurut Mansor Shah, bagi projek penambakan laut, Syarikat KAJ Development Sdn Bhd telah mendapatkan keistimewaan luar biasa bagi Projek Penambakan Laut Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Idris menegaskan projek pembangunan di tanah berkenaan adalah berlaku sejak pentadbiran kerajaan negeri sebelum pentadbiran beliau sebagai Ketua Menteri.

Ujarnya, apabila sampai ke peringkat beliau menjadi Ketua Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju untuk mengangkat urusan tanah berkenaan kepada status hak milik pegangan bebas bagi menarik kehadiran pelabur.

"Bagi menarik kehadiran pelabur, kerajaan negeri perlu meletakkan objektif menjadikan tanah berkenaan sebagai pemacu pertumbuhan kegiatan ekonomi negeri Melaka sebagaimana Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Iskandar Malaysia.

"Ketika itu, kami berpandangan Melaka juga mesti mempunyai satu wilayah penjana ekonomi bagi menarik pelabur,” katanya.

Jelas Idris lagi, surat yang tular di media sosial juga sebenarnya menyatakan kerajaan negeri yang memberi sokongan agar MTN menaik taraf status hak milik tanah berkenaan dan bukan atas kuasa beliau selaku Ketua Menteri.

Selain itu, beliau menegaskan MTN pun boleh menarik balik status hak milik pegangan bebas tanah berkenaan sekiranya tiada sebarang pergerakan dibuat oleh kerajaan negeri dan syarikat yang bertanggungjawab.

"Saya difahamkan kerajaan negeri telah pun menarik balik kerjasama dengan Melaka Gateaway (syarikat yang diberikan konsesi melaksanakan pembangunan pada tanah berkenaan), jadi mungkin status pegangan bebas akan ditarik semula.

"Tetapi saya dengar pula ada ura-ura kerajaan negeri mahu meneruskan semula kerjasama dengan Melaka Gateaway, justeru saya fikir perkara itu bagus demi kepentingan rakyat Melaka.

"Cuma saya minta pihak membuat laporan SPRM terhadap saya supaya mengkaji dahulu sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Jangan jadi tidak bijak,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca