SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan dua pilihan raya negeri (PRN) serentak membabitkan Melaka dan Sarawak dalam masa terdekat adalah tidak sesuai dipraktikkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan cabaran persiapan pilihan raya bagi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan dua pilihan raya negeri (PRN) serentak membabitkan Melaka dan Sarawak dalam masa terdekat adalah tidak sesuai dipraktikkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan cabaran persiapan pilihan raya bagi kedua-dua negeri berkenaan amat berlainan.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, sekalipun cadangan berkenaan hanyalah bersifat spekulasi, realitinya perkara itu amat rumit untuk dilaksanakan SPR.

Tambahnya, hal ini berdasarkan faktor Sarawak memiliki bentuk muka bumi luas dan rumit, memerlukan penggunaan logistik yang banyak selain berkedudukan di luar semenanjung Malaysia berbanding negeri Melaka.

Jelas beliau, keadaan di Melaka pula amat berbeza apabila keluasan geografi negeri itu lebih kecil, tiada keperluan menggunakan kemudahan pengangkutan udara dan sungai sebagaimana negeri Sarawak di samping lebih mudah dipantau petugas SPR.

"Amat rumit untuk SPR melaksanakan PRN Melaka dan Sarawak serentak kerana PRN Sarawak memerlukan persiapan agak berlainan dengan SPR perlu membuat tempahan helikopter yang banyak untuk menghantar petugas ke kawasan pedalaman.

"Selain itu, faktor muka bumi negeri Sarawak yang rumit juga menyebabkan SPR perlu menyediakan kemudahan logistik seperti bot, sampan dan kenderaan pacuan empat roda bagi meredah hutan atau menyelusuri sungai-sungai yang panjang bagi tujuan mengumpulkan peti-peti undi ke pusat pengiraan undi berkelompok.

"Lebih baik SPR fokus mengadakan dua PRN itu secara berasingan kerana PRN Sarawak mengikut pengalaman saya mengendalikannya sebelum ini adalah merupakan satu persiapan mencabar dan tidak boleh dibuat secara terburu-buru," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi bahawa kabinet berhasrat mengadakan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak serentak pada dua minggu lalu.

SPR dijangka akan mengumumkan sama ada PRN Melaka akan diadakan berserentak dengan PRN Sarawak esok.

SPEKULASI

Bagaimanapun spekulasi itu dinafikan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nantha Linggi yang menegaskan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya negeri.

Di sebalik penafian dibuat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, Alexander Nantha mengesahkan pemimpin GPS pada umumnya berpendapat PRN Sarawak perlu diadakan segera sebelum musim tengkujuh melanda negeri itu pada akhir tahun.

Di Melaka, PRN negeri itu mesti diadakan pada 3 Disember hadapan iaitu tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu dengan SPR dijangka akan mengumumkan tarikh pelaksanaannya pada Isnin (18 Oktober).

Namun, persoalan sama ada PRN akan diadakan atau tidak masih menjadi tanda-tanya kerana kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengisytiharkan darurat di Melaka, sekali gus memberi ruang PRN negeri itu ditangguhkan sementara.

Bagi negeri Sarawak, walaupun proklamasi darurat di seluruh negara dibatalkan pada Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk menyambung perintah darurat bagi negeri berkenaan bermula 2 Ogos hingga 2 Februari tahun hadapan.

Keputusan itu membolehkan tiada keperluan pilihan raya negeri diadakan dengan penggal DUN Sarawak yang sepatutnya tamat 6 Jun lalu, masih berkuat kuasa kerana status darurat.

Untuk rekod, Melaka mempunyai sejumlah 28 kawasan DUN dengan jumlah pengundi berdaftar hampir 500,000 orang, manakala Sarawak pula memiliki sejumlah 82 DUN dengan jumlah pengundi berdaftar mencecah dua juta orang.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menegaskan alasan pelaksanaan dua PRN negeri serentak mampu menjimatkan perbelanjaan pilihan raya oleh kerajaan juga tidak relevan kerana kos perbelanjaan PRN setiap negeri masih sama sekalipun diadakan serentak.

Selain itu, beliau turut bimbang kes jangkitan harian Covid-19 yang tinggi di Sarawak turut meningkatkan risiko tercetusnya gelombang penularan pandemik sebagaimana PRN Sabah tahun lalu.

"Banyak pihak berpandangan pelaksanaan dua PRN serentak memudahkan urusan SPR selain menjimatkan duit kerajaan. Bunyinya macam senang, tetapi urusan pelaksanaan dua PRN negeri yang memiliki ciri berbeza adalah amat membebankan.

"Lebih baik SPR fokus dahulu kepada pelaksanaan PRN Melaka untuk selesaikan krisis politik negeri itu yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Tidak adil kepada SPR untuk melaksanakan dua PRN serentak dalam masa singkat, lebih-lebih lagi kes jangkitan Covid-19 di Sarawak masih lagi tinggi dan dibimbangi akan mencetuskan gelombang penularan baharu," katanya.

Cadangan pelaksanaan PRN Melaka dan Sarawak secara serentak dalam masa terdekat dianggap tidak bersesuaian dan rumit untuk dilaksanakan SPR.

TIDAK MUSTAHIL

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir mempunyai pandangan berbeza dan menegaskan tidak mustahil dua PRN Melaka dan Sarawak diadakan serentak sebelum hujung tahun ini.

Jelas beliau, proses pelaksanaan dua PRN serentak pastinya akan memudahkan SPR untuk melaksanakan persiapan dan perancangan lebih rapi berbanding PRN diadakan secara berasingan.

Ujarnya lagi, pelaksanaan pilihan raya sewaktu pandemik Covid-19 juga bukan satu perkara luar biasa kerana proses itu sudah dilaksanakan oleh lebih 80 negara sejak tahun 2020.

"Tiada masalah untuk SPR bersiap sedia bagi mengadakan dua PRN serentak kerana berdasarkan perkembangan di peringkat parti dan Sarawak sendiri, saya difahamkan mereka sudah banyak bergerak dan seolah-olah menggambarkan PRN negeri itu akan berlaku serentak dengan PRN Melaka.

"Cuma paling penting SPR dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu merumuskan satu SOP pelaksanaan pilihan raya yang terperinci dan rapi dengan mengambil iktibar daripada SOP diperkenalkan suruhanjaya pilihan raya di luar negara yang berjaya menyempurnakan proses pilihan raya dengan baik.

"Kalau ikut perkiraan saya, PRN serentak di Melaka dan Sarawak boleh diadakan sebelum penghujung bulan November atau pada awal bulan Disember. Cuma saya fikir SPR perlu memendekkan tempoh berkempen kepada minimum 11 hari selain pertimbangan penambahan hari mengundi bagi kawasan pedalaman," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca