SHAH ALAM - Bukan sekadar ancam nyawa sendiri tetapi individu yang enggan divaksin atau belum menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal membebankan sistem kesihatan negara ketika fasa endemik. Ini kerana virus Covid-19 di dalam badan individu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bukan sekadar ancam nyawa sendiri tetapi individu yang enggan divaksin atau belum menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal membebankan sistem kesihatan negara ketika fasa endemik.

Ini kerana virus Covid-19 di dalam badan individu yang tidak dilindungi vaksin berisiko tinggi untuk bermutasi dan menghasilkan varian baharu sekali gus memberi ancaman terhadap orang lain yang lengkap vaksinasi.

Pakar Virologi daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, individu yang tidak mendapat imuniti daripada vaksin Covid-19 akan membolehkan virus tersebut terus bereplikasi secara meluas di dalam tubuh mereka apabila dijangkiti."Kalau di dalam tubuh mereka yang telah divaksin, replikasi virus ini akan mengalami rintangan daripada sistem imunisasi individu tersebut.

"Jadi bila tidak divaksin, virus dapat bereplikasi dengan lebih meluas, maka kemungkinan dan kebarangkalian untuk wujudnya mutasi juga akan bertambah.

"Oleh itu, nanti kita juga akan balik kepada masalah asal yang kita hadapi sekarang apabila negara menghadapi penularan varian baharu seperti Delta,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut beliau, di samping kewujudan varian Delta yang kini merupakan virus dominan dalam penularan Covid-19 di Malaysia, isu kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) juga dibimbangi akan menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Risiko

"Jadi saya rasa di situ ada risiko dari segi mampukah kita memastikan sistem kesihatan awam ini terus terkawal seperti sekarang dan tidak mengalami bebanan yang tinggi pada masa akan datang.

"Varian Delta yang lebih mudah menular dan menyebabkan komplikasi teruk masih boleh menjangkiti mereka yang tidak divaksin,” katanya.

Pada masa sama, Dr Yahya berkata, jumlah individu yang difahamkan masih tidak mendaftar mendapatkan vaksin Covid-19 juga agak tinggi dan ia juga boleh memberikan risiko kepada kumpulan yang sememangnya tidak dibenarkan untuk mendapatkan vaksin.

"Angka 1.3 juta (mereka yang belum mendaftar untuk vaksinasi Covid-19) adalah jumlah yang besar. Kita kena lihat juga ada populasi yang tidak boleh divaksin seperti atas faktor umur dan kesihatan.

"Jadi kalau enam peratus yang sepatutnya mendaftar tetapi tidak mendaftar itu, campur dengan pelajar sekolah rendah yang saya rasa agak ramai juga, jumlahnya akan jadi lebih besar,” ujarnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar.

"Kita mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang Persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi saya menggalakkan adalah undang-undang sektoral,” katanya.

Kenyataan Khairy itu dipercayai susulan kumpulan antivaksin kian lantang menyuarakan tidak puas hati mereka walaupun Malaysia kini sudah melepasi sasaran 90 peratus penduduknya diberikan imunisasi Covid-19.

Apabila kerajaan melaksanakan langkah lebih tegas dengan mewajibkan vaksinasi sebagai syarat untuk kakitangan kerajaan termasuk guru bekerja semula, ada antara penentang vaksin ini memetik peruntukan perlembagaan negara bahawa tindakan itu mencabul hak asasi mereka, iaitu kebebasan memutuskan hal-hal berkaitan perubatan mereka.

Malah, seorang anggota tentera memfailkan saman terhadap Angkatan Tentera Malaysia atas alasan diskriminasi, selepas dia dipecat kerana ingkar arahan pada Ogos lalu apabila enggan divaksin.

Setakat 30 September lepas, hampir 17,000 kakitangan awam didapati tidak mendaftar untuk divaksinasi, manakala setakat 5 Oktober lalu, lebih 1.3 juta orang dewasa di Malaysia belum menerima suntikan vaksin Covid-19, kebanyakan daripada mereka juga tidak mendaftar.

Klik di sini untuk terus membaca