KUALA LUMPUR - Ramai orang yang tidak faham bahawa kebebasan memilih untuk tidak divaksin tidak bermakna mereka bebas daripada akibat susulan keputusan yang mereka ambil, kata pakar.
Pakar Perundangan UiTM, Profesor Dr Haidar Dziyauddin memberitahu bahawa golongan antivaksin perlu sedar bahawa mereka tinggal dalam sebuah masyarakat, dan situasi ini menuntut mereka bertindak dengan mengambil kira tanggungjawab mereka terhadap komuniti.
"Jika mereka memilih untuk tidak divaksinasi atas alasan itu hak peribadi mereka, maka mereka perlu ingat orang lain juga ada hak masing-masing,” katanya.
Pandangan itu turut dipersetujui Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang berkata hanya mereka dengan masalah kesihatan yang serius wajar dikecualikan daripada divaksinasi.
"Jika anda tidak ada alasan kukuh, tetapi hanya semata-mata kerana tidak mahu menerima (vaksin), saya rasa anda perlu terima nasib diri dipulaukan dan dinafikan (kebebasan menerusi pasport vaksin) yang kita nikmati sekarang atau apa juga akibat lain,” katanya.
Dr Zainal turut menyifatkan pelaksanaan undang-undang mewajibkan vaksinasi sama seperti penguatkuasaan akta berkaitan merokok di tempat awam dan pemakaian tali pinggang keledar.
Klik di sini untuk terus membaca