SHAH ALAM - Kerajaan perlu berbuat sesuatu terhadap individu yang tetap enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi menghindari mereka daripada bercampur dengan orang ramai. Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu berbuat sesuatu terhadap individu yang tetap enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi menghindari mereka daripada bercampur dengan orang ramai.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, golongan yang enggan mendapat vaksin mungkin kecil jumlahnya.

Disebabkan itu, beliau mencadangkan agar mereka yang enggan menerima vaksin diberikan nasihat terlebih dahulu oleh orang yang mereka percaya sebelum apa-apa tindakan diambil.

"Kalau mereka tidak mahu terima vaksin, kita kena tahu sebab apa. Jadi, orang yang nak memberitahu maklumat kepada mereka ini bukan doktor, saintis atau ahli politik.

"Tetapi minta orang agama atau orang yang dihormati daripada komuniti untuk beri nasihat kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada golongan yang enggan menerima vaksin wajar dikecualikan daripada mendapat keistimewaan seperti yang diperoleh individu lengkap vaksin apabila negara memasuki fasa endemik nanti.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berpendapat pemberian vaksin tidak harus dipaksa.

"Kita tidak mahu paksaan. Kita nak tahu sebab apa mereka tidak mahu vaksin. Jadi untuk beri nasihat agar mereka ini divaksin ialah orang yang mereka percaya,” katanya.

Ujarnya, golongan kecil yang enggan mendapatkan vaksin ini sepatutnya dimaklumkan mengenai kemudaratan atau masalah yang bakal dihadapi jika enggan divaksin.

Beliau menambah, kerajaan juga harus mengenal pasti golongan mana dan mengapa mereka tidak suka divaksin.

"Jika sudah tahu sebab, kita cuba beri jawapan untuk keraguan mereka adakah disebabkan tidak halal atau mereka mempunyai penyakit dan sebab-sebab lain.

"Mungkin mereka mendapat maklumat daripada WhatsApp yang tidak sahih. Justeru kita beri maklumat yang betul kepada mereka,” kata beliau.

Mengulas isu sama, Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sanjay Rampal berbeza pendapat dengan Dr Ismail sambil menyatakan mereka yang menolak vaksinasi harus dibenarkan bebas bergerak semasa endemik.

Namun begitu, beliau memberi amaran mereka yang enggan divaksin perlu menanggung sendiri akibat daripada tindakan mereka.

"Mereka yang tidak divaksin berkemungkinan akan menjadi sebahagian besar pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana sakit yang teruk.

"Risiko mereka terkena penyakit dan kematian juga tinggi berbanding mereka yang diberi vaksin,” terangnya.

Tambah Dr Sanjay, mereka yang tidak divaksin seharusnya tidak boleh bergantung kepada imuniti orang lain bagi melindungi diri sendiri.

"Kejadian jangkitan Covid-19 yang masih tinggi memaksa kita terus melihat wabak berskala besar secara berkala dalam masyarakat,” katanya.

MASIH BOLEH DIPUJUK

Kerajaan disaran memberi tumpuan kepada kumpulan ‘ragu vaksin’ bagi memastikan negara boleh mencapai kadar maksimum penduduk yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum memasuki fasa endemik.Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, kumpulan yang ragu-ragu masih boleh dididik dan diyakinkan melalui penyampaian maklumat yang betul dan sahih berbanding kumpulan ‘menolak vaksin’.

"Buat waktu ini, antara perkara yang kita perlu pertimbangkan adalah kita asingkan antara kumpulan ‘ragu’ dengan ‘menolak vaksin’.

"Ragu terhadap vaksin ialah kumpulan individu yang belum bersedia divaksin kerana masih ada keraguan.

"Kumpulan menolak vaksin pula ialah golongan yang apa pun kita cakap, mereka tidak akan mengubah fikiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Firdaus berkata, tidak banyak langkah yang boleh dilakukan untuk mengubah pendirian kumpulan yang menolak vaksin Covid-19.

"Disebabkan vaksin Covid-19 itu bukanlah sesuatu yang diwajibkan dan ia masih secara sukarela, jadi tidak banyak yang kita boleh lakukan kecuali kita mewajibkan pelaksanaan vaksinasi Covid-19 ini untuk semua orang,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Firdaus berkata, langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka yang telah divaksin adalah satu langkah yang baik.

Menurutnya, kelonggaran seperti rentas daerah, rentas negeri, kebenaran makan di restoran dan sebagainya menunjukkan kerajaan memberi kelebihan kepada penerima vaksin sekali gus mendorong masyarakat untuk mengambil vaksinasi.

"Ia adalah satu langkah yang baik, maksudnya ada insentif untuk mereka yang belum menerima vaksin melihat bahawa vaksin ini membenarkan sebahagian individu kembali kepada norma lama dan aktiviti biasa.

"Kita tidak mendiskriminasi sesiapa, ia masih pilihan mereka tetapi jika mereka tak nak (terima vaksin) maka kita akan beri vaksin kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca