VIRUS Covid-19 yang melanda Malaysia pada penghujung 2019 memberi impak kepada banyak sektor termasuklah industri pembinaan. Banyak projek yang sedang berjalan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi mematuhi arahan kerajaan serta... Klik di sini untuk terus membaca

VIRUS Covid-19 yang melanda Malaysia pada penghujung 2019 memberi impak kepada banyak sektor termasuklah industri pembinaan.

Banyak projek yang sedang berjalan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi mematuhi arahan kerajaan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah diperketatkan bagi mengawal wabak daripada terus tersebar.

Disebabkan penangguhan itu, terdapat kontraktor kecil yang gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos di luar jangka.

Malah, ada yang menghadapi masalah kewangan kerana pihak klien tidak dapat membayar mereka pada masa dan jumlah yang ditetapkan.

Masalah kelewatan pembayaran bagi tuntutan penyiapan kerja kepada kontraktor juga mengakibatkan ramai daripadanya berdepan masalah aliran tunai.

Dalam sesetengah situasi, kebanyakan kontraktor berjaya menyiapkan projek diberikan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan, namun isu kelewatan pembayaran masih berlaku hingga menjejaskan operasi syarikat kontraktor terbabit.

Jika dilihat kepada klausa ditetapkan sebaik sahaja kontraktor menerima tender, mereka diminta menyiapkan kerja atau projek terbabit dalam tempoh ditetapkan dan pembayaran tuntutan pula perlu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, selepas semua kerja disiapkan.

Tetapi masalah timbul apabila klausa itu tidak dipatuhi dan biasanya pembayaran tuntutan hanya dibuat antara 60 hingga 100 hari selepas kerja dilaksanakan.

Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kontraktor berkenaan, bahkan kelewatan pembayaran itu turut menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.

Realitinya, isu berkaitan dengan kelewatan pembayaran berlaku dalam semua industri seperti sektor perkhidmatan, pembuatan, perkilangan dan banyak lagi.

Namun disebabkan industri pembinaan antara sektor penting dalam pemulihan negara pasca Covid-19, maka isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor perlu diberikan perhatian serius supaya projek dapat disambung semula dengan lancar.

Daripada dapatan kajian yang dijalankan pada tahun 2020, kelewatan di dalam isu pembayaran dan kesulitan kewangan dilihat sebagai faktor utama yang secara tidak langsung telah menjejaskan projek pembinaan di Malaysia dan sekaligus akan menjejaskan kejayaan projek-projek pembangunan pada keseluruhannya.

Masalah di dalam pembayaran adalah isu sensitif yang harus ditangani serta diperhalusi dari akar umbinya untuk memastikan projek yang dibina dapat disiapkan mengikut jadual yang telah dipersetujui di antara dua pihak yang menandatangani kontrak meliputi kos pembinaan serta kualiti dan tahap spesifikasi yang telah dipersetujui.

Selain itu, dengan mengenalpasti faktor penentu utama di dalam isu kelewatan pembayaran di peringkat awalan akan dapat mengurangkan isu pertelingkahan di antara pihak yang menandatangani kontrak.

Tujuh faktor penentu utama telah dikenal pasti sebagai penyumbang utama di peringkat awalan kepada permasalahan di dalam isu kelewatan pembayaran dan kesulitan kewangan daripada pihak klien kepada kontraktor utama.

Pertamanya, pemprosesan bagi perubahan kerja yang perlahan dan penangguhan dalam melaras bagi perubahan kerja. Keduanya kekurangan dana untuk membiayai kerja, perselisihan faham berkenaan penilaian kerja yang dibuat di antara pihak yang menyetujui kontrak, kelewatan di dalam pentaksiran dan persijilan bayaran kemajuan di tapak binaan.

Seterusnya pemprosesan bayaran yang menggunakan prosedur birokratik di dalam satu-satu organisasi, kekurangan kapasiti di dalam pengurusan klien juga turut menyumbang kepada permasalahan ini serta terlalu ramai orang yang terlibat dalam proses persijilan interim.

Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat dalam proses pembayaran sama ada di pihak kerajaan dan swasta perlu melihat isu ini dengan menyeluruh bagi membantu menyelesaikan masalah pembayaran supaya ia tidak menjadi barah dalam industri pembinaan negara.

* Dr Siti Suhana Judi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Klik di sini untuk terus membaca