SHAH ALAM - Transisi kuasa di Afghanistan yang menyaksikan kemunculan semula kerajaan Taliban bukan sahaja memberi impak kepada lebih 39 juta penduduknya, bahkan juga hubungan republik itu di peringkat antarabangsa.
Menurut Pensyarah Kajian Strategik & Anti-Keganasan Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam, di sebalik persoalan, sama ada rakyat Afghanistan sedia atau tidak menerima pemerintahan Taliban 2.0, satu perkara yang pasti adalah penubuhan kerajaan interim itu mempunyai impak terhadap geopolitik serantau.
Mohd Mizan berkata, impak langsung penubuhan kerajaan Taliban 2.0 sudah pasti memberi tempias kepada negara jiran terdekat iaitu Pakistan.
Jelas Mohd Mizan, secara dasarnya Pakistan dilihat akan berbaik dengan kerajaan baharu Afghanistan demi membina satu hubungan yang memberi manfaat kepada negaranya.
"Mungkin ramai tidak mengetahui, Pakistan menampung tidak kurang enam juta pelarian Afghanistan dan hal ini pastinya memberi beban kepada kerajaan Pakistan selain impak sosial, ekonomi dan sebagainya.
"Oleh itu, Pakistan dilihat lebih senang untuk bersahabat dengan Afghanistan demi kepentingan negara. Pada masa sama, adalah satu kelebihan sekiranya Afghanistan berada di pihak Pakistan yang diketahui berseteru dengan India,” katanya.
Menariknya, India pula melihat kewujudan Taliban 2.0 akan membangkitkan sentimen ekstremis di negara itu sekali gus mencetuskan kemungkinan serangan terhadap India.
Berbeza pula situasi dengan China yang tanpa membuang masa menghulur salam persahabatan dengan Afghanistan.
"China melihat kebangkitan kesan Taliban 2.0 kepada perjuangan Uighur yang dikatakan banyak mendapat perlindungan dan latihan di Afghanistan. China bimbang sekiranya tidak bersahabat dengan Afghanistan maka akan berlaku serangan terhadap negaranya,” kata Mohd Mizan lagi.
Begitu juga Turki yang melihat keperluan untuk bersahabat dengan Afghanistan bagi mengelakkan peluang ekonomi terlepas ke tangan pihak lain yang berhasrat menguasai Laluan Sutera antara Asia dan Barat.
Namun katanya, bagi negara Barat yang melabel Taliban sebagai pengganas yang bertanggungjawab terhadap pelbagai serangan keganasan seluruh dunia, kemunculan Taliban 2.0 adalah sukar diterima.
Bagi Malaysia sendiri, kita mungkin boleh terlebih dahulu menilai situasi semasa di Afghanistan sebelum membuat keputusan berhubung kerajaan baharu negara itu.
"Secara peribadi saya berpendapat kita boleh mengiktiraf Taliban 2.0 dengan beberapa syarat, contohnya, mereka harus menubuhkan kerajaan yang diplomatik dan membuat sistem pemilihan adil,” katanya.
APABILA TALIBAN BUAT COMEBACK
Episod pengunduran penuh tentera Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dari Afghanistan pada 31 Ogos lalu bukan sekadar menandakan tamatnya campur tangan ketenteraan AS selama dua dekad malah turut membuka ruang Taliban kembali berkuasa.
Beberapa minggu selepas membuat 'comeback', Taliban tampil mengumumkan penubuhan kerajaan interim dengan barisan Kabinet diketuai Mullah Mohammad Hassan Akhund sebagai Pemangku Perdana Menteri dan Mullah Abdul Ghani Baradar sebagai Pemangku Timbalan Perdana Menteri Pertama.
Kini, dunia bakal menyaksikan era pemerintahan Taliban 2.0 yang bukan sahaja menjanjikan sebuah kerajaan inklusif mewakili pelbagai lapisan rakyat Afghanistan tetapi juga kemakmuran dan pembangunan di sana.
Namun di sebalik ‘penjenamaan semula’ dan janji yang diungkapkan, fokus sebenar adalah sama ada kerajaan Taliban 2.0 yang dilihat berdepan pelbagai cabaran getir termasuk meraih semula kepercayaan rakyat dan mampu membawa perubahan.
Kerajaan Taliban versi 2021 atau Taliban 2.0 berbeza dengan Taliban sebelum ini kerana dikatakan membawa perubahan dan pembaharuan dari segi pemikiran politik.
Ciri keterbukaan seperti ini memperlihatkan polisi dalam negara yang bersifat sederhana, seimbang antara keterbukaan dan mengekalkan nilai-nilai Islam dalam polisi.
Bukan itu sahaja, tidak seperti Taliban asal yang banyak dilaporkan menindas hak asasi rakyatnya terutama wanita, Taliban versi 2.0 ini menjanjikan kebebasan pendidikan walaupun mengasingkan lelaki dan wanita.
Klik di sini untuk terus membaca