SHAH ALAM - Seorang bekas Ahli Dewan Negara daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengajak rakyat Melaka untuk memilih menjaga keselamatan diri berbanding mengambil bahagian untuk mengundi sekiranya pilihan raya negeri itu muktamad... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang bekas Ahli Dewan Negara daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengajak rakyat Melaka untuk memilih menjaga keselamatan diri berbanding mengambil bahagian untuk mengundi sekiranya pilihan raya negeri itu muktamad dilaksanakan dalam masa terdekat.

Peguam kanan dan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, saranan itu disuarakan beliau susulan berpandangan rakyat Melaka tidak wajar disusahkan dengan keputusan politik berkepentingan peribadi oleh pihak tertentu.

Jelas beliau, Yang Dipertua Negeri Melaka juga sepatutnya mengkaji dan menarik semula keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat pada 4 Oktober lalu susulan krisis politik Melaka adalah disebabkan sikap pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

"Dalam Enakmen Undang-Undang Negeri Melaka, terdapat kelompongan yang boleh digunakan Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri Melaka) untuk mengkaji semula pembubaran DUN kerana proses pelaksanaannya juga menimbulkan keraguan.

"Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari esok (Isnin) memutuskan pilihan raya negeri (PRN) Melaka perlu diadakan, saya tidak teragak-agak akan mengajak rakyat untuk memilih menjaga keselamatan diri berbanding mengambil bahagian (mengundi) dalam pilihan raya.

"Rakyat tidak perlu disusahkan dengan keputusan politik tidak bertanggungjawab dan saya berpandangan biarlah PRN Melaka diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU) setelah tempoh penggal pentadbiran lengkap pada tahun 2023," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi kabinet mempertimbangkan pelaksanaan PRN Melaka dan PRN Sarawak secara serentak dalam masa terdekat.

Di Melaka, PRN negeri itu mesti diadakan pada 3 Disember hadapan iaitu tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu dengan SPR dijangka akan mengumumkan tarikh pelaksanaannya pada Isnin (18 Oktober).

Namun, persoalan sama ada PRN akan diadakan atau tidak masih menjadi tanda-tanya kerana kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengisytiharkan darurat di Melaka, sekali gus memberi ruang PRN negeri itu ditangguhkan sementara.

Bagi negeri Sarawak, walaupun proklamasi darurat di seluruh negara dibatalkan pada Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk menyambung perintah darurat bagi negeri berkenaan bermula 2 Ogos hingga 2 Februari tahun hadapan.

Keputusan itu membolehkan tiada keperluan pilihan raya negeri diadakan dengan penggal DUN Sarawak yang sepatutnya tamat 6 Jun lalu, masih berkuat kuasa kerana status darurat.

Mengulas lanjut, Yusmadi turut berpandangan kedua-dua PRN Melaka dan Sarawak perlu ditangguhkan untuk satu tempoh masa bersesuaian meskipun kadar vaksinasi negara sudah melebihi tahap 90 peratus ketika ini.

Jelas beliau, hujah capaian imuniti berkelompok membolehkan proses pilihan raya selamat diadakan hanyalah merupakan hujah 'atas kertas; kerana sehingga kini, dunia membuktikan tiada satu negara pun yang berjaya menguruskan proses pilihan raya sewaktu pandemik dengan baik.

"Apabila mengambil kira risiko keselamatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengutamakan keselamatan rakyat. Untuk tujuan itu, kedua-dua PRN Melaka dan Sarawak perlu dijelaskan alasan penangguhannya supaya rakyat tidak menafsirkan hasrat itu sebagai kepentingan politik.

"Dengan negara sendiri pernah mencatatkan rekod buruk penularan Covid-19 sewaktu pelaksanaan PRN Sabah tahun lalu, saya berpandangan biarlah tempoh pentadbiran negara yang masih berbaki difokuskan untuk memulihkan semula negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat yang terkesan akibat krisis Covid-19," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca