SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya lebih mudah dilaksanakan pada tahun ini sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan PRN Sarawak juga bersesuaian diadakan pada tempoh sama. Menteri di Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya lebih mudah dilaksanakan pada tahun ini sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan PRN Sarawak juga bersesuaian diadakan pada tempoh sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hal ini kerana pelaksanaan PRN sebelum 31 Disember 2021 membolehkan SPR mengguna pakai senarai pengundi lama yang belum disertakan dalam kemas kini senarai pengundi baharu yang akan didaftarkan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Undi18 dikuatkuasakan kelak.

Katanya, meskipun SPR berkemungkinan perlu mengambil sedikit masa untuk menyempurnakan program latihan menguruskan proses pilihan raya kepada pegawai suruhanjaya itu susulan terhalang akibat krisis Covid-19 sebelum ini.

Namun, Wan Junaidi berpandangan kalau perkara itu dirancang sebaiknya, beliau yakin SPR mampu menyelesaikannya dengan jangkaan pelaksanaan PRN Melaka sepatutnya lebih mudah berbanding PRN Sarawak.

"Soal kesesuaian PRN Melaka dan Sarawak diadakan tahun ini, saya yakin tiap-tiap negeri mempunyai organisasi dan set-up SPR tersendiri yang sepatutnya sudah bersedia pada bila-bila masa.

"Namun oleh kerana ada mengatakan PRN termasuk Sarawak sepatutnya diadakan pada Januari tahun hadapan, ia akan mendatangkan sedikit masalah kepada SPR kerana senarai pengundi baharu itu belum lagi bersih dan lengkap.

"Hal ini kerana pelaksanaan Undi18 dijangka dikuatkuasakan tahun hadapan bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

"Tetapi kalau diadakan sebelum 31 Disember, saya cukup yakin SPR boleh menggunakan senarai pengundi lama, seterusnya lebih mudah mengadakan PRN Melaka berbanding PRN Sarawak,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi bahawa kabinet berhasrat mengadakan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak serentak pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun spekulasi itu dinafikan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nantha Linggi yang menegaskan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya negeri.

KABINET BELUM BINCANG

Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut mengesahkan kenyataan Alexander Nantha bahawa sebarang cadangan pelaksanaan PRN Melaka dan Sarawak secara serentak dalam masa terdekat tidak pernah dibincangkan secara mendalam dalam kabinet.

Bagaimanapun, beliau mengakui sekiranya Sarawak sudah dirasakan bersedia untuk mengadakan PRN pada tahun ini, maka situasi sama juga terpakai untuk PRN Melaka.

"Yang membezakan situasi negeri Sarawak dan Melaka adalah meskipun mandat rakyat dan penggal pentadbiran kerajaan negeri Sarawak sudah tamat pada 7 Jun lalu, hayat DUN negeri itu masih berterusan sehingga proklamasi darurat ditamatkan atas titah Yang di-Pertuan Agong kelak.

"Selain itu, kerajaan negeri Sarawak masih mempunyai majoriti sokongan ADUN negeri itu berbanding kerajaan negeri Melaka.

"Justeru, saya tidak nampak ruang untuk PRN Melaka akan ditangguhkan lagi berbanding PRN Sarawak kerana keputusan pembubaran DUN negeri itu sudah diperkenan Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca