KITA mungkin pernah terlihat berita di akhbar atau media digital berkaitan penemuan rangka manusia di lokasi jenayah, di belakang deretan kedai, di rumah usang yang tiada penghuni, di kawasan bencana mahupun di tengah hutan. Kadangkala,... Klik di sini untuk terus membaca

KITA mungkin pernah terlihat berita di akhbar atau media digital berkaitan penemuan rangka manusia di lokasi jenayah, di belakang deretan kedai, di rumah usang yang tiada penghuni, di kawasan bencana mahupun di tengah hutan.

Kadangkala, penemuan tersebut hanya dapat mengesan tengkorak tanpa tulang rangka yang lain dan tiada peninggalan milik mangsa seperti pakaian atau apa-apa barangan peribadi untuk tujuan siasatan.

Bagi kes-kes bencana seperti kebakaran besar, letupan ataupun bencana pesawat terhempas yang mengakibatkan bentuk fizikal asal manusia tidak dapat dikenalpasti, salah satu bukti yang masih boleh digunakan untuk pengecaman adalah bentuk gigi manusia.

Ini adalah kerana kedudukan gigi di dalam mulut yang terlindung dan elemen paling kuat dalam badan manusia terdapat pada gigi.

Selain itu, gigi ialah salah satu sumber pengenalan untuk kita mengetahui umur mangsa. Secara saintifik, bentuk, bilangan dan kedudukan gigi manusia berubah mengikut umur. Anggaran umur manusia boleh dikenalpasti berdasarkan kepada gigi susu dan gigi kekal yang telah ada.

Sebagai contoh, semua gigi susu kanak-kanak di bawah umur 6 tahun biasanya tumbuh di atas rahang.Germa gigi kekal yang terbentuk di dalam rahang pula berbeza kedudukannya mengikut tahun.

Untuk mengenal pasti umur orang dewasa, penelitian dan pengecaman boleh dilakukan berdasarkan kepada perubahan struktur dalaman tisu keras gigi, tahap hakisan gigi dan paras serta struktur tulang gigi.

Untuk tujuan mengenal pasti jantina pula, penelitian boleh dilihat kepada ciri- ciri yang terdapat pada tulang rahang dan gigi. Bentuk rahang wanita selalunya agak kecil dan tirus berbanding lelaki. Gigi lelaki pula lebih besar secara amnya dan mempunyai batas dan sudut yang tajam.

Setiap permukaan gigi mempunyai nama dan elemen tertentu. Sebagai contoh, bahagian gigi yang biasanya berfungsi untuk menggigit dikenali sebagai oklusal. Permukaan oklusal ini mempunyai elemen yang dikenali sebagai kuspa, batas, alur dan lain-lain. Semua elemen ini menyumbang kepada keunikan setiap bentuk gigi.

Semasa anda berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan, satu carta gigi akan digunakan. Ini bertujuan untuk menunjukkan status keadaan gigi termasuklah variasi dan rawatan pergigian yang telah diberikan seperti tampalan, mahkota dan jambatan. Boleh dikatakan setiap carta yang dicatatkan adalah unik kepada individu tersebut.

Maka, rekod ini akan digunakan untuk mengenal pasti atau membuat pengesahan identiti bagi kes-kes forensik.

Anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor gigi secara berkala bagi memastikan kesihatan gigi yang optimum dan maklumat gigi yang sentiasa dikemas kini.

Ini selaras dengan kempen pemeriksaan gigi oleh Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu "Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi!”

Pihak berkuasa seperti polis memerlukan kerjasama pelbagai kepakaran termasuklah kepakaran odontologi forensik. Lebih-lebih lagi situasi yang melibatkan jasad atau mayat yang tidak boleh dikenalpasti identitinya mahupun usianya disebabkan oleh kekurangan dokumen atau keadaan jasad yang tidak sempurna (mayat reput).

Maka, peranan pengamal Odontologi Forensik (Pakar Forensik Pergigian) adalah amat diperlukan. Odontologi Forensik merujuk kepada pengaplikasian ilmu sains pergigian yang digunakan dalam proses perundangan.

Maklumat dental postmortem dan antemortem akan dibandingkan untuk mengenalpasti identiti jasad yang dirujuk. Di samping itu, maklumat unik yang terdapat pada gigi mangsa, keadaan pertumbuhan abnormal gigi, imej radiograf bahagian muka serta anatomi dental juga boleh digunakan sebagai sumber identifikasi seseorang.

*Dr Nor Atika Md Ashar ialah Pakar Odontologi Forensik, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca