TEBING Barat yang merupakan wilayah Palestin yang dijajah Israel sejak tahun 1967 masih menggunakan wang tunai dalam pelbagai urusan jual-beli dan pelbagai jenis urusan perniagaan.
Penggunaan wang tunai atau wang kertas secara meluas menyebabkan ia dianggap sebagai 'raja' di wilayah tersebut.
Di wilayah Palestin, tiga mata wang utama digunakan iaitu shekel Israel, dolar Amerika Syarikat (AS) dan dinar Jordan seperti yang termaktub dalam perjanjian Protokol Paris dan Hubungan Ekonomi pada tahun 1994.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel.
Menurut Artikel 4 perjanjian tersebut, penduduk Palestin dikehendaki menggunakan mata wang shekel Israel sebagai salah satu daripada mata wang yang digunakan di kawasan yang dijajah Israel.
Mata wang Israel itu turut digunakan untuk semua pembayaran termasuk dalam urusan rasmi.
Bagaimanapun, wang kertas shekel itu kini sukar untuk diterima oleh bank-bank Israel sehingga menyebabkan kesukaran dalam kalangan penduduk dan ahli perniagaan Palestin di wilayah yang dijajah rejim Zionis.
Seorang pemilik kedai, Tasir Freij yang memiliki sebuah kedai perkakasan di Ramallah memberitahu AFP bahawa beliau kini terpaksa membayar komisen sebanyak dua peratus untuk memasukkan wang kertas di sebuah bank.
Ini adalah kerana bank tersebut pada mulanya enggan untuk menerima wang kertas.
"Ini adalah satu krisis dan kami berasa kesannya," katanya kepada AFP.
Kebanyakan wang kertas shekel dibawa oleh pekerja-pekerja Palestin yang bekerja di Israel yang mana gaji mereka dibayar dengan menggunakan mata wang tersebut secara tunai dan ia juga beredar di Palestin dari penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Undang-undang penjajah Israel pula melarang urus niaga dalam jumlah yang besar dilakukan dalam bentuk mata wang shekel dengan alasan bahawa ia mampu mengelakkan amalan pengubahan wang haram.
Ia juga mengehadkan jumlah wang kertas shekel yang perlu dipulangkan dari bank-bank Palestin ke Israel.
Namun, berikutan perkembangan dunia digital, bank-bank Israel tidak lagi mahu menggunakan wang kertas yang banyak digunakan dalam urus niaga di Tebing Barat.
Wang kertas shekel itu juga tidak banyak beredar dalam ekonomi Israel ekoran penggunaan bayaran secara digital yang semakin banyak digunakan.
Pembayaran secara digital juga semakin meluas digunakan di Israel sehinggakan ia mengambil urus niaga yang pada kebiasaannya menggunakan mata wang kertas dan duit syiling.
Bank-bank Israel juga menggunakan alasan keselamatan sebagai antara sebab ia enggan menerima wang kertas daripada penduduk Palestin.
Alasan keselamatan itu ialah wang tunai shekel boleh digunakan untuk pemindahan wang yang digunakan bagi tujuan penggubahan wang haram selain mendanai aktiviti-aktiviti untuk menentang rejim Zionis.
Justeru, bank-bank di Palestin berusaha menggalakkan para pelanggannya supaya tidak memasukkan wang kertas dalam jumlah yang besar ke dalam bank.
Namun, cara itu akan mengehadkan pula peluang institusi perbankan memberikan pinjaman kewangan kepada pelanggan-pelanggannya kerana kekurangan wang kertas.
Sehubungan itu, Gabenor Pihak Berkuasa Kewangan Palestin (PMA), Firas Melhem memberitahu AFP bahawa mengehadkan penggunaan wang kertas shekel itu telah menjadi satu masalah yang membimbangkan sehingga menyebabkan bank-bank dan sektor perniagaan 'pening kepala'.
Bank-bank dan sektor perniagaan di Palestin berasa sebegitu disebabkan oleh tindakan Israel yang memperkenalkan peraturan baharu tersebut.
Melhem juga berkata, jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dengan segera, pasaran ekonomi di Palestin akan menjadi seperti 'tempat pembuangan untuk mata wang kertas shekel.'
Terdapat juga desakan dari beberapa pakar Palestin supaya mata wang Israel tidak lagi digunakan dan sebagai gantinya mata wang dinar Jordan, mata wang dari negara lain atau mewujudkan sendiri mata wang Palestin sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bagi menyelesaikan masalah itu, pihak PMA juga sedang mendesak Bank Israel supaya menerima balik wang kertas shekel di Palestin.
Pihak PMA itu juga sedang mengkaji kemungkinan mengeluarkan satu mata wang digital yang merupakan dianggap sebagai satu simbol penentangan terhadap kebebasan kewangan dari Israel.
Kajian penggunaan wang digital itu juga sedang dilakukan tetapi masih tiada keputusan dibuat namun ia dijangka digunakan dalam sistem pembayaran di Palestin dan kemungkinan juga dengan Israel. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca