BEBERAPA minggu lalu ketika kekecohan politik di Melaka, umum dan media didedahkan kepada satu rakaman audio yang didakwa perbualan telefon pemimpin nombor satu negara dengan bekas Ketua Menterinya. Pelbagai spekulasi dibuat mengenai isi... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA minggu lalu ketika kekecohan politik di Melaka, umum dan media didedahkan kepada satu rakaman audio yang didakwa perbualan telefon pemimpin nombor satu negara dengan bekas Ketua Menterinya.

Pelbagai spekulasi dibuat mengenai isi perbualan telefon tersebut. Sebahagian besar ialah berkaitan isu politik negeri dari siapa yang sebenarnya menjadi pengkhianat, siapa dalang di sebaliknya sehinggalah kepada perebutan kereta rasmi yang kononnya amat diperlu untuk membantu rakyat.

Apa yang paling menakutkan sebenarnya bukanlah polemik yang melanda kerajaan negeri tetapi bagaimana kononnya perbualan seorang Perdana Menteri dengan begitu mudah boleh dirakam dan kemudian didedahkan kepada umum.

Apakah tahap keselamatan komunikasi elektronik sebenar negara dan adakah agensi risikan keselamatan elektronik nasional masih berfungsi?

Intipan atau rakaman terhadap perbualan telefon bukanlah sesuatu yang baru.

Pada suatu masa dahulu telefon hanya diguna pakai bagi tujuan perbualan suara antara dua pihak.

Dengan peningkatan teknologi telekomunikasi dan informasi, talian telefon hari ini turut menghantar faksimili, data elektronik, e-mel, foto, video dan pelbagai lagi dalam masa sebenar.

Kemudahan yang diberi sistem yang diklasifikasikan sebagai ‘telematics’ (gabungan antara telekomunikasi dan teknologi maklumat) hari ini menjadikan ia sebagai magnet kepada agensi-agensi risikan untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini dari musuh.

Pada 2014, seorang bekas kontraktor agensi risikan elektronik Amerika Syarikat di kenali sebagai NSA (National Security Agency) mendedahkan bahawa telefon pemimpin tertinggi Jerman, Angela Merkel telah dipintas dan diintip oleh agensi tersebut.

Pada tahun yang sama, Turki digemparkan dengan pendedahan di media sosial mengenai perbualan antara pegawai-pegawai tinggi di kementerian luar mengenai isu Syria.

Satu siasatan telah diadakan oleh pihak risikan Turki atau MIT dan rentetan dari insiden tersebut, telefon bimbit tidak lagi dibenar diguna pakai di bangunan kementerian tersebut.

Pada 2018, dunia pula dikejutkan dengan pendedahan bahawa perisian pengintipan atau ‘spyware’ yang dihasilkan oleh firma Yahudi, NSO Group telah diguna dengan meluas bagi tujuan memintas dan mengintip perbualan serta komunikasi elektronik pelbagai pihak di peringkat global.

Kira-kira 1000 individu dari 50 negara dikenal pasti telah menjadi mangsa intipan melalui telefon pintar mereka. Ini termasuklah dari keluarga-keluarga diraja, 65 eksekutif firma ternama global, 85 aktivis hak asasi manusia, 189 pengamal media dan wartawan serta 600 ahli politik dan pegawai kerajaan merangkumi beberapa presiden serta perdana menteri.

Mengambil iktibar dari pengintipan elektronik dilakukan baik kawan mahupun lawan, agensi risikan elektronik Jerman telah mengubahsuai telefon pintar Blacberry Q10 milik Angela Merkel. Mereka telah memasang peranti ‘crypto-chip’ buatan firma Secusmart yang menjadikan telefon tersebut kalis intip.

Kerajaan Perancis sejak dari 2013 telah mengarahkan agar pegawai tinggi kerajaan tidak lagi menggunakan telefon pintar atau komputer tablet komersial dan bertukar kepada telefon ‘Teorem’ dihasilkan oleh firma tempatan terkemuka Thales yang mempunyai ciri-ciri perisian keselamatan terkini.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula mengambil langkah lebih selamat, iaitu tidak atau mengelak dari menggunakan telefon pintar.

Walaupun demikian dalam keadaan tertentu apabila terpaksa membawa telefon bimbit, beliau akan menggunakan telefon khusus buatan Rusia jenis MTS-Glonass 945.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan kerahsiaan sistem telefon, terdapat pelbagai firma khusus dalam bidang peranti dan perisian yang bakal menjadikan telefon komersial menjadi kebal dari intipan dan pemintasan. Antaranya adalah Bittium, Solarin, KiPhone-A, Purism Librem 5 dan pelbagai lagi.

Tentunya harga telefon ini agak mahal, namun ia tidak dapat dibandingkan dengan nilai atau harga maklumat berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.

Jika kita mahu sistem yang lebih selamat, sistem peranti atau perisian buatan tempatan untuk menjadikan telefon pemimpin negara lebih kebal seperti dilaksanakan oleh Perancis dan Rusia.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca