PADA 28 Mei 2018, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melancarkan kempen "BeatPlasticPollution” untuk mengurangkan penggunaan plastik selaras dengan objektif Pembangunan Mampan dan Perjanjian Perubahan Iklim Paris dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Pada tahun 2021 juga, dunia meraikan Hari Hak-Hak Pengguna dengan bertemakan "Menangani Pencemaran Plastik”.
Dunia memberikan tumpuan khusus kepada plastik kerana ia membawa banyak keburukan dan meninggalkan kesan negatif bukan sahaja terhadap alam sekitar malah kesihatan manusia.
Penduduk seluruh dunia dianggarkan menggunakan 1 trilion beg plastik setiap tahun, dengan rakyat Jepun menggunakan 100 beg plastik setahun manakala setiap rakyat Malaysia pula menggunakan 300 beg plastik sekali guna setahun, satu jumlah yang sangat tinggi.
Daripada keseluruhan sisa pepejal yang dijana, 16% adalah terdiri dari sisa plastik dan sebahagian besarnya adalah merupakan sisa beg-beg plastik.
Pada tahun 2020 sahaja, rakyat Malaysia menggunakan 148,000 tan metrik pembungkusan plastik untuk makanan manakala penggunaan pembungkusan plastik per kapita tahunan adalah 16.78 kilogram.
Natijahnya beg plastik membawa banyak keburukan kerana ia diperbuat dari bahan petroleum dan penghasilan plastik memerlukan berjuta-juta gelen minyak yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain seperti minyak pengangkutan ataupun untuk menghasilkan tenaga elektrik.
Beg plastik juga mengambil masa 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan secara semula jadi!
Malah, kandungan dalam beg plastik bersifat karsinogenik yang akan mengganggu hormon dan DNA manusia yang menyebabkan manusia mudah mendapat penyakit kanser.
Pembuangan beg plastik turut mencemarkan keindahan alam sekitar dan menyebabkan longkang-longkang dan parit-parit tersumbat yang mengakibatkan banjir.
Beg plastik juga adalah bahan cemar utama di tapak pelupusan sampah dan mengganggu gugat ekosistem marin.
Menyedari keburukannya, banyak negara di dunia turut melarang penggunaan beg plastik.
Republik Korea misalnya menggunakan beg plastik yang perlu dibayar, manakala Hong Kong mula mengenakan cukai mesra alam terhadap beg plastik.
Jepun, India dan Bangladesh pula telah menggubal undang-undang melarang penggunaan beg plastik.
Di Malaysia, praktis terkini mengenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik sebagai "caj pencemaran” sekiranya menginginkan beg plastik ketika membeli barangan.
Pengenaan caj ini berpandukan prinsip 'user-pay-principle' yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna.
Di negara ini, penggunaan beg plastik di kedai-kedai runcit masih merupakan masalah besar.
Ironinya, beg plastik menjadi pilihan kerana ia ringan, mudah dibawa ke mana-mana, tahan lasak, sangat kukuh dan lebih ekonomi berbanding beg pelbagai guna.
Meskipun memahami pentingnya menjaga alam sekitar, tetapi setelah sekian lama, ramai juga yang mula mempersoalkan kempen tanpa beg plastik.
Bukan bayaran 20 sen itu yang dipersoalkan, sebaliknya ramai yang keliru bilakah kempen ini akan berakhir sebenarnya?
Apakah selama-lamanya pengguna terpaksa membayar untuk mendapatkan beg plastik jika membeli-belah?
Ada juga yang mempertikaikan ke manakah perginya wang pembelian beg plastik sebanyak 20 sen itu iaitu sama ada ia benar-benar digunakan untuk tabung kebajikan dan kempen alam sekitar!
Sepatutnya, pengguna di negara ini perlu sedar mereka sebenarnya memainkan peranan penting melalui usaha yang sedikit melalui penolakan penggunaan beg plastik yang diganti dengan membawa beg sendiri ketika membeli belah.
Dengan usaha sekecil ini, mereka memberi sumbangan yang bermakna terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan kesihatan mereka.
Lantaran itu, kita harus menyokong sepenuhnya kempen ini, bukan mempertikai atau mahu ianya ditamatkan!
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca