SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan beberapa larangan berkempen yang tegas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan pada 20 November ini.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpandangan, kempen mengikut kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara tidak perlu lagi diadakan.
"Dalam keadaan Covid-19 ini, SPR perlu tetapkan beberapa larangan berkempen yang tegas seperti ceramah terbuka dilarang sama sekali, ceramah tertutup yang melibatkan orang ramai tidak boleh dan berkempen dari rumah ke rumah ini patut diteliti adakah perlu atau tidak.
"Bagi saya tidak perlu sebab kita boleh berkempen secara digital atau media sosial seperti e-mel, internet, poster, ‘WhatsApp group’ dan sebagainya. Ini semua cara berkempen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Wan Ahmad menambah, pihak berwajib perlu menggalakkan budaya berkempen menerusi media sosial atau digital.
"Di Melaka ini, saya kira pengundinya mungkin lebih daripada 95 peratus ada telefon dalam tangan. Jadi kempen secara digital patut diberi perhatian,” jelasnya.
Selain itu, Wan Ahmad menegaskan, berkumpul di pusat pengundian juga sewajarnya dilarang.
"Proses meraih undi ini perlu dilarang. Meraih undi inilah yang menyebabkan orang berkumpul di bilik gerakan parti dan di pondok panas luar pusat mengundi. Ini tempat orang berkumpul,” katanya.
Menurutnya, penetapan larangan ini bagi mengelakkan penularan Covid-19 apabila dilaksanakan pilihan raya.
"Sebab apa, kalau kita benarkan parti-parti politik berkempen secara berkumpul atau mengumpulkan penyokong dan sebagainya, ini satu risiko yang tinggi.
"Walaupun kita tahu vaksinasi sudah melebihi 90 peratus, tetapi masih ada mereka yang antivaksin dan orang yang belum menerima vaksin yang mungkin datang dari luar Melaka,” jelasnya.
Katanya, perkara yang paling penting adalah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR perlu dipatuhi dan tidak boleh mengambil mudah.
"Di negara luar yang banyak mengendalikan pilihan raya di zaman Covid-19 ini, semua mengamalkan SOP yang ketat. Tidak ada peliknya adakan pilihan raya semasa Covid-19 ini.
"Lebih 80 negara saya rasa di dunia ini mengadakan pilihan raya. Ada pilihan raya Presiden, pilihan raya Parlimen, pilihan raya kerajaan tempatan di lebih 80 negara,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca