SHAH ALAM - Kerajaan didakwa membuat keputusan 'flip-flop' serta tindakan penguatkuasaan terpilih terhadap golongan rakyat memilih tidak divaksin Covid-19 setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November hadapan.
Dakwaan itu dikemukakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan susulan SPR pada sidang media di peringkat awal meletakkan syarat vaksinasi penuh bagi membolehkan seseorang pengundi berdaftar, dibenarkan mengundi pada PRN Melaka.
Jelas beliau, susulan keputusan terkini SPR yang seolah-olah berubah pendirian, PPIM sudah menerima banyak aduan daripada golongan antivaksin yang menyuarakan kekecewaan dengan sikap kerajaan yang seolah-olah membuat keputusan hanya berlandaskan kepentingan politik.
"Dalam isu SPR berubah pendirian terhadap pengundi tidak divaksin, kami melihat kerajaan terlalu flip-flop, sekejap kata tidak boleh mengundi dan sekejap kata boleh.
"Dengan PPIM menerima banyak aduan berkenaan perkara itu, kerajaan seharusnya merujuk semula dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh suka-suka memberi kebenaran atau melarang untuk mengundi.
"Kerajaan kena membetulkan segera perkara ini disebabkan rakyat Malaysia, sama ada antivaksin atau provaksin, kini sudah nampak kerajaan hanya memberi kelonggaran kepada kumpulan antivaksin hanya berlandaskan perkara berkepentingan politik," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pilihan raya negeri manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.
SPR sebelum itu mensyaratkan pengundi pilihan raya negeri adalah lengkap vaksin Covid-19 iaitu 14 hari selepas dos kedua untuk vaksin jenis dua dos dan 28 hari selepas dos vaksin jenis satu dos.
Bagaimanapun, Pengerusi suruhanjaya itu, Datuk Abdul Ghani Salleh kemudiannya mengeluarkan kenyataan pengundi yang tidak divaksin turut dibenarkan untuk mengundi susulan keputusan awal SPR dibidas beberapa pemimpin politik pembangkang.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas kerajaan negeri pimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada UMNO tumbang ekoran tidak lagi mendapat kepercayaan empat wakil rakyatnya.
Mengulas lanjut, Nadzim yang selama ini lantang memperjuangkan hak rakyat Malaysia memilih tidak divaksin, juga mengemukakan kebimbangan golongan pengundi 'antivaksin' akan membalas dendam terhadap kerajaan dengan memboikot PRN serta pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.
Jelas beliau, kegagalan kerajaan mewujudkan satu RUU khas bagi mewajibkan rakyat Malaysia mengambil vaksin Covid-19 juga melihatkan negara seolah-olah tidak berpendirian tetap dalam usaha menjadikan proses vaksinasi adalah perkara mandatori.
Sementara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bersetuju pandangan Nadzim bahawa sebarang keputusan tidak membenarkan pengundi tidak divaksin untuk mengundi pada PRN Melaka akan melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Jelas beliau, sekiranya ketetapan itu dikuatkuasakan, ia secara jelas mencabuli Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 119 (3).
"Syarat mengundi cuma boleh dihadkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya oleh SPR berhubung vaksin.
"Kalau hendak buat juga syarat berkenaan, kerajaan perlu meminda bahagian tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan menambah syarat-syarat baharu mengenai larangan atau hilang kelayakan mengundi bagi pemilih.
"SPR tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan syarat seperti ini yang tidak berdemokrasi dan menidakkan hak pengundi," katanya melalui satu sedutan video di laman Facebook peribadinya pada Ahad.
Perkara 119 (1) Perlembagaan memperuntukkan, warganegara ini yang telah mencapai umur 18 tahun pada tarikh kelayakan, bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya, didaftarkan sebagai pemilih berhak mengundi dalam pilihan raya.
Hal itu melainkan jika individu berkenaan hilang kelayakan jika ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal, menjalani hukuman penjara atau disabitkan atas suatu kesalahan melebihi 12 bulan sebelum dan pada tarikh kelayakan seperti diperuntukkan Perkara 119 (3) Perlembagaan.
Klik di sini untuk terus membaca