SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan Pakatan Harapan (PH) perlu meneliti banyak faktor penting sebelum memutuskan sama ada empat bekas wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka baru-baru ini, layak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket gabungan itu.
Pandangan itu diutarakan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron membayangkan kesediaan mereka untuk bertanding semula pada PRN Melaka atas tiket PH.
Tiga lagi bekas ADUN yang bersama dengan Idris dan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar pada 4 Oktober lalu adalah bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Jelas Khalid lagi, Amanah secara dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan lompat parti yang dibuat oleh empat bekas ADUN berkenaan sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri dipimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, beliau berpandangan dalam keadaan tiada lagi pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, sebarang pertimbangan justifikasi membenarkan empat bekas ADUN berkenaan kembali bertanding atas tiket PH perlu ditangani dengan sebaik mungkin.
"PH melalui mesyuarat Majlis Presiden PH perlu meneliti dan mengkaji banyak faktor dahulu sebelum memutuskan sama ada mereka ini (4 bekas ADUN) layak untuk bertanding atas tiket PH atau tidak.
"Sekiranya tindakan mereka adalah untuk menghalang salah guna kuasa kerajaan negeri dan sebagainya, justeru kita tidak boleh membenarkan mereka terkorban tanpa membantu mereka.
"Segalanya bergantung kepada analisis dan fakta terhadap faktor sentimen rakyat terhadap tindakan mereka, pandangan masyarakat terhadap pendirian PH serta kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru sekiranya mereka tidak diberikan tempat," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi kurang senang beberapa pemimpin PH terhadap kemungkinan koalisi itu bakal membenarkan empat bekas ADUN bebas diketuai Idris untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket PH.
Pada Ahad malam, bekas ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong dari DAP mengkritik majlis anjuran PH yang meraikan empat bekas ADUN susulan mereka dianggap bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan negeri Melaka pimpinan UMNO-Bersatu.
Secara sinis, Chee Leong menyifatkan perbuatan meraikan empat bekas ADUN berkenaan yang dianggap sebagai pengkhianat rakyat Melaka itu, sebagai lawak kerana mereka seolah-olah disambut sebagai pahlawan.
Susulan tindakan Idris dan Nor Azman menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan kerajaan campuran UMNO-Bersatu terbubar, keahlian UMNO mereka digugurkan atas alasan cuba bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.
SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pilihan raya negeri manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.
Mengulas lanjut, Khalid turut menegaskan Majlis Presiden PH juga perlu dengar penjelasan lanjut daripada keempat-empat bekas ADUN itu sendiri mengenai justifikasi tindakan mereka selain meneliti pandangan kepimpinan PH Melaka.
Jelas beliau, segala pertimbangan berkenaan berkemungkinan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang bakal diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan satu keputusan muktamad dibuat.
"Memandangkan hari penamaan calon adalah pada 8 November hadapan, PH masih mempunyai masa untuk memutuskannya dan saya yakin satu keputusan terbaik akan dikemukakan atas persetujuan kolektif," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli turut mengesahkan satu mesyuarat di peringkat kepimpinan tertinggi PH akan diadakan pada Rabu atau Khamis ini bagi memutuskan penentuan isu pembahagian kerusi pilihan raya negeri Melaka membabitkan parti-parti dalam koalisi itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada Amanah akan membeli laluan kepada empat bekas ADUN bebas untuk mempertahankan kerusi DUN mereka menggunakan tiket PH kerana perkara itu belum diputuskan parti.
"Perkara ini belum dibincangkan di peringkat PH dengan kita dijangka akan memutuskan penentuan isu pembahagian kerusi PRN Melaka pada esok atau lusa.
"Soal sama ada Amanah bakal bertanding pada empat kerusi yang disandang empat bekas ADUN bebas pun belum diputuskan lagi. Maaf, saya tidak dapat mengulas lanjut," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca