TIDAK mudah menterjemahkan emosi hanya dengan kata-kata tanpa bantuan ekspresi muka dan bahasa badan. Lebih tidak mudah lagi untuk menggambarkan suasana hanya dengan lontaran dialog dan tone suara tanpa sokongan visual, tidak kira apa juga... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK mudah menterjemahkan emosi hanya dengan kata-kata tanpa bantuan ekspresi muka dan bahasa badan. Lebih tidak mudah lagi untuk menggambarkan suasana hanya dengan lontaran dialog dan tone suara tanpa sokongan visual, tidak kira apa juga bentuknya.

Tetapi mereka mampu melakukannya. Mereka boleh menyebabkan kita terpaku, tidak bergerak ke mana-mana. Boleh menjadikan kita gembira, berdebar-debar malah mungkin juga menangis teresak-esak hanya dengan mendengar dialog yang mereka lontarkan. Begitulah hebatnya mereka, insan-insan yang bergelar pelakon drama radio.

Budak-budak sekarang mungkin tidak tahu apa yang saya maksudkan. Jika ditanya pada 10 orang adakah mereka biasa mendengar drama radio, mungkin sebelas orang akan menggelengkan kepala.

Ia berbeza dengan budak-budak zaman saya dahulu, yang sanggup duduk menopang dagu di tepi radio bagi mengikuti siaran drama yang disiarkan. Pada waktu begitu, kalau ada ayam berkokok atau kambing mengembek di tepi rumah, nahaslah haiwan-haiwan tersebut. Silap-silap kena kejar keliling kampung!

Seingat saya drama radio pertama yang menarik minat saya ialah yang dialognya seperti berikut:

Soalan: "Boleh saya tahu di mana rumah No 5 Persiaran 1?”Jawapan: "Oh rumah besar dua tingkat tu! Di sebelah kanan masjid di depannya mini market.”Ya, drama pendek 15 minit No 5 Persiaran 1, yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9.30 pagi. Drama itu mula ke udara pada tahun 1974 dan bertahan selama 13 tahun.

Begitu berkesannya drama yang berkisar tentang keluarga Encik Aman itu sehingga adakalanya saya perasan yang diri saya adalah Amir, anak bongsu dalam keluarga tersebut. Tetapi saya memang begitu. Kalau dengar drama purba, saya selalu berasa seolah-olah sayalah heronya.

Selain No 5 Persiaran 1, ada beberapa lagi drama bersiri yang disiarkan di radio yang popular di kalangan pendengar. Antaranya Kebun Pak Awang dan Fajar Di Bumi Permata. Tidak kurang popularnya ialah Permatang Jingga, Keluarga Cikgu Zaini dan Setitik Peluh Segunung Intan. Semua drama-drama itu ada peminatnya tersendiri.

Sama jugalah macam program-program radio yang lain. Semuanya mempunyai kumpulan peminat, yang apabila rancangan berkenaan disiarkan, langsung tidak boleh dibawa berunding. Seorang kawan saya peminat carta lagu popular tergamak tidak membukakan pintu rumah apabila saya dan kawan-kawan lain berkunjung ke rumahnya semasa dia mengikuti rancangan itu di radio.

Sebagai pembalasan kami ‘sorok’ seliparnya, sebelah di atas pokok durian, sebelah lagi baling ke parit yang kebetulan arusnya agak deras.

Saya tidak ingat semua, tetapi ada sangat banyak program-program radio yang begitu melekat di hati pendengar. Dan yang paling popular di antaranya adalah yang berupa rancangan lagu-lagu permintaan, di mana pendengar boleh meminta juruhebah menyiarkan sebarang lagu dan lagu itu pula ditujukan kepada seseorang dengan kata-kata atau ucapan tertentu.

Pernah juga saya terjebak dengan rancangan lagu permintaan seperti itu. Saya tidak ingat nama rancangannya, tetapi ia agak ‘jiwang-jiwang’ sedikit. Waktu itu permintaan lagu tidak dibuat melalui telefon, sebaliknya menggunakan poskad atau surat biasa. Maka bersusah payahlah saya meminta lagu Rindu Bayangan dan lagu itu ditujukan kepada seseorang. Lepas sekeping, sekeping lagi poskad yang dihantar, tetapi tiada satu pun tersiar.

Beberapa minggu kemudian, selepas saya mula give-up, seorang kawan memberitahu yang ‘malam tadi aku dengar radio, kau ada buat lagu permintaan ya, tuju pada si polan tu?”

Macam hendak pengsan saya apabila mendengar kata-kata itu. Kecewa tidak tergambar. Terasa teramat sangat ruginya sebab tidak berpeluang mendengar nama saya disebut oleh juruhebah dan lagu yang saya minta pula disiarkan untuk didengari ramai. Hendak dengar siaran ulangan memang mustahillah sebab kebanyakan rancangan radio, apatah lagi rancangan lagu permintaan, tidak diulang siar.

Dan kekecewaan saya menjadi berganda apabila si’polan’ yang saya tujukan lagu itu pun tidak mendengar siaran tersebut. Dia hanya tahu mengenainya selepas diejek oleh kawan-kawan di sekolah.

SIARAN LANGSUNG

Bagi yang meminati sukan, radio juga menjadi tempat sandaran bukan sahaja untuk mengikuti laporan harian atau mingguan, tetapi juga untuk menikmati siaran langsung. Sama ada siaran langsung perlawanan bola sepak, perlawanan sepak takraw, ia tetap mengujakan walaupun kita hanya ‘melihat’ dengan telinga.

Demikianlah hebatnya pengulas-pengulas yang membuat ulasan selari itu. Mereka ‘menggambarkan suasana’ kepada pendengar hanya dengan kata-kata sebagaimana pelakon-pelakon drama radio juga.

Di radio juga ada segmen agama, segmen pertanian, segmen masak-memasak dan sebagainya. Pendek kata ia memenuhi selera setiap kalangan pendengar. Tidak sedikit budak-budak sekolah rendah yang berkejar balik ke rumah untuk mengikuti siaran ke sekolah-sekolah atau mendengar celoteh Kak Yong.

Pak cik dan mak cik peminat pantun pula kadangkala tersenyum seorang diri mengikuti usikan Chuari Selamat atau Karim Mohamad di rancangan Berbalas Pantun.

Demikianlah hebatnya pengaruh radio pada zaman itu. Walaupun ketika itu telah ada televisyen, namun minat khalayak terhadap radio tidak berkurang. Sifat radio yang hanya menggunakan bateri sel kering cap Badak dan mesra pengguna memudahkan ia dibawa ke mana-mana. Radio transistor misalnya boleh dibawa ke kebun, ke dusun, ke bendang, ke belakang reban atau ke perdu pokok rambutan.

Pada masa dahulu, sebelum bercambahnya radio swasta, satu-satunya saluran radio berbahasa Melayu ialah Radio 1 atau Rangkaian Nasional. Bagi siaran berbahasa Inggeris pula disediakan Rangkaian Biru, manakala Rangkaian Merah untuk Bahasa Tamil dan Rangkaian Hijau untuk Bahasa Cina. Kesemuanya di bawah RTM.

Pada masa yang sama dari RTM, ada pelbagai rangkaian lain seperti Asyik FM (Orang Asal) dan KL FM (Radio Ibu Kota) di samping siaran-siaran berasingan untuk setiap negeri. Jika dicampur dengan jumlah stesen radio swasta dan radio dalam talian, jumlahnya mungkin hampir sama banyak dengan bintang di langit.

Mungkin saya agak skeptikal. Tetapi jauh di sudut hati saya berkata, biar berapa banyak pun stesen dan siaran radio muncul, sukar untuk ia memaku hati peminat seperti pada masa dahulu. Sudah tidak ramai yang sudi menjadi peminat tegar sebab masing-masing sibuk dengan hal kehidupan. Yang banyak cuma peminat jenis touch and go. Budaya mendengar radio pun hanya dari dalam kereta.

Sesuailah dengan kehidupan sekarang yang semakin sinonim dengan budaya pakai dan buang. Apa-apa pun asal jangan sampai buang emak bapa sudahlah. #dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca