SEKALI lagi kita menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW. Buat sebahagian besar daripada kita, sambutan Maulidur Rasul ialah hari cuti. Sementelah banyak di antara negeri kini sudah memasuki fasa tiga dan fasa empat, ia bererti kita... Klik di sini untuk terus membaca

SEKALI lagi kita menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW. Buat sebahagian besar daripada kita, sambutan Maulidur Rasul ialah hari cuti. Sementelah banyak di antara negeri kini sudah memasuki fasa tiga dan fasa empat, ia bererti kita bebas merentas daerah, malah boleh merentas negeri. Pendek kata ramai yang ambil ‘cuti tampal’ untuk balik kampung atau berjalan-jalan.

Molek sangat selepas bernyanyi lagu Balik Kampung dalam perjalanan, kita teruskan pula dengan nasyid Thola al Badru Alaina dan berselawat untuk Rasulullah SAW. Setiap selawat kita kepadanya akan ALLAH jawab sepuluh kali. Demikian hadis riwayat Muslim.

Pelbagai keajaiban terjadi mengiringi kelahiran Rasulullah SAW. Berhala di Kaabah runtuh, tiang-tiang seri di istana Parsi bergegar lalu berkecai dan api sembahan kaum Majusi yang bernyala lebih 1,000 tahun terpadam.

Inilah petanda yang ALLAH SWT tunjukkan pada lahirnya seorang pemimpin Rahmatan Lil Alamin atau Pembawa Rahmat ke Sekalian Alam. Dialah insan terbaik di sepanjang zaman, di sepanjang abad dan kurun, daripada Nabi Adam AS sehinggalah ke manusia terakhir yang lahir sebelum datangnya kiamat.

Beruntung sekali kita yang menjadi kekasihnya. Rasulullah SAW sedih mengenangkan kita sebagai umatnya di akhir zaman. Malah baginda begitu rindu kepada kita kerana mengagung dan patuh kepada ajaran yang dibawanya serta sanggup mati membelanya meskipun kita tidak pernah melihat Baginda. Malah, Rasulullah SAW hendak melihat kita semua. Demikianlah catatan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

MERINDU RASULULLAH

Inilah hubungan spiritual yang lahir di antara kita dan Rasulullah SAW. Beruntunglah seandainya kita dapat menjiwai perasaan ini. Merugilah sekiranya Nabi Muhammad SAW hanya sekadar nama yang hanya kerap disebut tatkala berselawat tanpa diiringi dengan rasa rindu ingin bertemu.

Pada hari ini, betapa ramai di antara kita yang naik gila apabila disebut nama seseorang selebriti. Gayanya ditiru, persembahannya ditonton, media sosialnya diikuti, setiap statusnya ditatap, dikomen dan dikongsi. Ada yang ambil tahu riwayat hidupnya, makanan kegemarannya, pakaian kesukaannya, segala senyum dan tawanya sentiasa terbayang di ambang mata.

Namun imej selebriti itu akan tenggelam bila muncul selebriti baharu yang lebih hensem, cantik dan merangsang segala deria. Orang inilah yang menjadi pengganti yang disukai dan digilai sebelum muncul wajah baharu lain.

Ramai yang lebih kenal selebriti daripada mengenali Nabi SAW kerana mereka muncul di mana-mana pada bila-bila masa. Sebab itulah mereka yang disayangi dan dicinta meskipun mereka hanya bekerja sebagai penghibur semata-mata. Sebaliknya, Nabi SAW hanya muncul ketika berselawat atau disebut penceramah yang hanya ditonton ketika Maulidur Rasul semata-mata. Di waktu lain Nabi SAW tiada. Pakaiannya, tabiatnya, kegemarannya, perilaku, cara ibadah dan peribadi baginda yang molek diikuti kerana ia sunnah, lagi mendapat pahala tidak menjadi sesuatu yang trendy.

Mengapa? Yang pasti penampilan Rasulullah SAW itu belum dapat memikat kerana mereka yang arif untuk mempamerkan kehebatan Baginda seperti para dai.

Mereka tidak dapat melawan kekuatan arus promosi manusia lain yang tidak sehebat mana pun kerana sering bertukar ganti dan bermusim kepopularannya. Sedangkan Rasulullah SAW adalah insan sempurna yang mempunyai peribadi sehebat al-Quran.

Tak kenal maka tak cinta. Tak diperkenal maka tak dipuja.

* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca