PANDEMIK yang berlaku menyaksikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan mengalami penyusutan pendapatan. Keadaan bertambah kritikal terutama kepada mereka yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang teliti serta... Klik di sini untuk terus membaca

PANDEMIK yang berlaku menyaksikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan mengalami penyusutan pendapatan. Keadaan bertambah kritikal terutama kepada mereka yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang teliti serta tidak mempunyai simpanan untuk dana kecemasan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka menerima lebih 44,000 panggilan sepanjang 2020 membabitkan isu kesihatan mental. KKM menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut memaklumkan menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah.

Lantaran daripada itu, terdapat segelintir rakyat Malaysia mengambil jalan pintas dengan menyertai pelbagai skim pelaburan cepat kaya sebagai alternatif untuk menjana pendapatan.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sepanjang tahun 2019 hingga Jun lalu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327.9 juta.

PDRM juga melaporkan bagi tempoh Mac hingga Oktober 2020 sebanyak 266 kes bunuh diri dicatatkan di mana 25 peratus disebabkan oleh masalah bebanan hutang. Kajian global mengenai literasi kewangan dalam kalangan orang dewasa oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun 2020 menunjukkan bahawa skor literasi kewangan rakyat Malaysia berada pada tahap sederhana, di mana skor diperoleh iaitu (59.7%) sedikit rendah berbanding purata di negara anggota OECD (62%).

Sekiranya isu literasi kewangan tidak ditangani dengan baik, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara malah turut memberi kesan kepada kualiti kehidupan dan kesejahteraan isi rumah Malaysia.

Inisiatif literasi kewangan dilihat sebagai strategi terbaik untuk mensejahterakan Keluarga Malaysia. Ia selaras dengan hasrat Rancangan Malaysia Ke-12 yang diumumkan baru-baru ini untuk menggalakkan agenda literasi kewangan dalam semua lapisan masyarakat bagi menyokong sistem kewangan yang mampan dan inklusif.

LITERASI KEWANGAN

Konsep Keluarga Malaysia telah diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersifat inklusif, dekat dengan rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta kasih sayang semua ahli keluarga besar negara. Konsep itu diambil susulan keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Dalam konteks literasi kewangan, didikan sempurna merujuk kepada proses bagaimana ibu bapa mempersiapkan ahli keluarga mereka untuk menguruskan kewangan peribadi secara cekap dan berhemat. Ini dapat disokong melalui inisiatif kerajaan dengan penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network) atau lebih dikenali sebagai FEN. FEN telah membangunkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 dengan matlamat untuk meningkatkan literasi kewangan serta membentuk sikap dan perilaku yang berhemat dalam kalangan rakyat.

Bagi menjayakan hasrat ini, FEN telah memperkenal dan menganjurkan Bulan Literasi Kewangan atau Financial Literacy Month (FLM) peringkat kebangsaan yang berlangsung sepanjang bulan Oktober 2021 ini. FLM dianjurkan oleh FEN bermula tahun 2020 dan telah menarik lebih daripada tujuh juta interaksi.

Penulis difahamkan bahawa FLM tahun ini memberi penekanan kepada khidmat nasihat kewangan dan panduan kepada rakyat terutamanya yang terkesan akibat Covid-19. Pelbagai sumber maklumat serta aplikasi pendidikan kewangan oleh FEN dan rakan strategik disediakan melalui www.fenetwork.my. FLM 2021 ini juga sesuai untuk semua peringkat usia. Pelbagai program akan diadakan seperti siri webinar berkenaan pengurusan wang dan hutang, melindungi diri daripada penipuan kewangan serta program celik kewangan di peringkat sekolah.

Malah sejak awal bulan ini, rakyat sudah mula dihidangkan dengan pelbagai program seperti Forum Perdana bertajuk Duit Kita Cari, Beras Kita Beli dan acara tahunan InvestSmart secara maya. FLM 2021 akan diakhiri dengan acara kemuncak pada 29 hingga 31 Oktober 2021 yang menawarkan pengisian seperti program Klinik Khidmat Nasihat Kewangan secara maya bersama 22 institusi perbankan di Malaysia.

Sehubungan itu, penulis ingin menyarankan agar rakyat mengambil manfaat dengan terlibat secara aktif dalam program FLM 2021 yang telah dirancang dan diatur.

* Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri ialah Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca