SETELAH Malaysia dikenali dunia dengan trend wakil rakyat lompat-melompat parti dan jatuh-menjatuhkan kerajaan tidak sampai sepenggal tempoh pentadbiran negara. Kini, politik tanah air dijangkiti penyakit barah baharu yang berleluasa... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH Malaysia dikenali dunia dengan trend wakil rakyat lompat-melompat parti dan jatuh-menjatuhkan kerajaan tidak sampai sepenggal tempoh pentadbiran negara.

Kini, politik tanah air dijangkiti penyakit barah baharu yang berleluasa selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu fenomena kebocoran audio percakapan pemimpin utama negara menerusi panggilan telefon dan aplikasi sosial kepada umum.

Lebih menarik, pemimpin-pemimpin utama negara yang menjadi mangsa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan 'biashe-biashe', bahkan membabitkan tokoh-tokoh utama parti politik daripada blok kerajaan dan pembangkang, bekas Perdana Menteri, Ketua Pembangkang Dewan Rakyat bahkan Perdana Menteri sendiri.

SIRI AUDIO BOCOR

Bermula dengan pendedahan audio perbualan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama beberapa individu termasuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkait rapat kes dana 1MDB pada tahun 2019.

Negara kemudiannya digemparkan pula dengan penularan audio perbualan di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Terkini, giliran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi mangsa apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin seolah-olah mengesahkan audio perbualan tular Naib Presiden UMNO itu dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron adalah 'sahih' selepas mesyuarat MKT pada Khamis malam.

Bercakap kepada media, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia kemudiannya mendedahkan semua ahli MKT UMNO kesal dengan penularan audio berkenaan dan bertekad untuk menyiasat perbuatan itu agar ia tidak berulang lagi.

Parti-parti lain seperti Pas juga tidak terkecuali menerima tempias apabila terdapat penularan audio percakapan dipercayai salah seorang pemimpin utama Pas yang didakwa merancang untuk menjatuhkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Hakikatnya, budaya begini bukanlah satu perkara baharu di Malaysia, bahkan sudah bertapak sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mahathir selaku Perdana Menteri keempat lagi.

Banyak pihak berpendapat pendedahan audio perbualan telefon atau rakaman video ini dipercayai sebagai usaha pihak tertentu untuk 'membunuh karektor dan karier politik' seseorang pemimpin dan organisasi, selain cubaan mewujudkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Tidak terkecuali, ada juga segelintir pihak yang mendakwa perbuatan merakam audio perbualan telefon ini adalah sebahagian aktiviti pengintipan atau pintasan panggilan telefon oleh agensi keselamatan negara secara haram dengan menggunakan perantian terkini yang canggih.

Satu lagi teori dikemukakan oleh Zahidi sendiri menerusi kenyataan media Khamis malam adalah terdapat kemungkinan syarikat-syarikat komunikasi yang bersubahat merakam dan menularkan audio percakapan pemimpin-pemimpin politik berkenaan kepada umum atas arahan pihak tertentu.

Justeru, sejauh mana kebenaran dakwaan dikemukakan dan selamatkah sistem komunikasi serta maklumat negara daripada dicerobohi pihak perisikan negara asing?

TIDAK ADIL AGENSI PERISIKAN DIKAITKAN

Bagi pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim, pada zaman teknologi serba canggih kini, adalah tidak adil untuk semua pihak mengaitkan aktiviti penularan rakaman audio percakapan individu berpengaruh dengan perbuatan intipan oleh mana-mana agensi keselamatan negara.

Jelas beliau, agensi keselamatan yang mempunyai unit perisikan seperti polis, tentera dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai etika perkhidmatan tinggi dengan sebarang tujuan pengintipan adalah atas faktor menjaga keselamatan dan kedaulatan negara semata-mata.

"Adalah tidak adil agensi perisikan seperti polis cawangan khas (SB) serta pegawai perisikan tentera (MIO) sering dikaitkan dengan aktiviti memintas perbualan pemimpin politik dan individu penting negara.

Kegagalan Malaysia untuk memperkukuhkan sistem komunikasi dan keselamatan siber menyebabkan negara terdedah kepada ancaman kedaulatan daripada negara asing.

"Ini kerana agensi keselamatan ini perlu melalui prosedur ketat untuk melaksanakannya dengan mereka diamanahkan untuk tidak sesekali menyebarkan rakaman pengintipan perbualan telefon atau aplikasi sosial kepada umum.

"Bagi saya, perbuatan sebegini sudah menjadi barah yang mampu mengancam keselamatan negara dan pada masa kini, sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan sistem komunikasi yang tinggi mampu melakukannya,” katanya kepada Sinar Premium.

Pandangan Shahul Hamid turut diakui seorang lagi penganalisis pertahanan dan perunding keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor yang menegaskan perkembangan teknologi komunikasi dan multimedia yang pesat pada masa kini menyebabkan aktiviti pengintipan dan pintasan alat komunikasi bukan lagi dianggap perkara sukar.

Jelas beliau, teknologi pengintipan atau ‘tapping’ adalah jauh lebih sukar dilakukan pada zaman dahulu kerana pengintip perlu memotong kabel telefon individu yang mahu diintip terlebih dahulu sebelum disambung dengan peranti pengintipan yang canggih serta menelan kos tinggi.

TEKNOLOGI GELOMBANG RADIO SENJATA AMPUH

"Namun, sekarang kita hanya perlu mengetahui frekuensi gelombang radio (wavelength) aplikasi sosial atau alat komunikasi individu yang mahu diintip, sebelum menggunakan aplikasi atau peralatan khas intipan bagi memintas 'wavelength' alat komunikasi individu berkenaan.

"Pada zaman serba moden ini, teknologi gelombang radio adalah serampang dua mata dengan aplikasi media sosial mampu menjadi senjata ampuh sesuatu pihak untuk menembak serta menjatuhkan musuh secara ‘curi-curi’,”katanya.

Muhammad Fuad tidak menolak kemungkinan syarikat-syarikat komunikasi turut bersubahat dalam perbuatan merakam dan menyebarkan audio perbualan individu penting atas arahan pihak tertentu.

Hal ini kerana beliau menegaskan syarikat-syarikat komunikasi sememangnya mengetahui frekuensi ‘wavelength’ setiap pelanggannya dengan inisiatif penghantaran bil penggunaan telefon setiap bulan adalah bukti mereka ‘mengintip’ kadar penggunaan alat komunikasi pelanggan secara rasmi.

"Namun kita tidak pasti adakah trend kebocoran audio percakapan pemimpin sejak kebelakangan ini merupakan kerja syarikat komunikasi kerana mereka juga perlu mematuhi etika ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kebimbangan saya kalau panggilan telefon Perdana Menteri yang merupakan pemimpin utama negara sendiri pun boleh dipintas dengan mudah, jadi di mana tahap kualiti sistem keselamatan siber dan perlindungan maklumat kerahsiaan negara?

KETELUSAN SYARIKAT KOMUNIKASI

"Bagi saya, SKMM kena lihat balik ketelusan syarikat-syarikat komunikasi dalam menjaga kerahsiaan panggilan telefon pelanggan masing-masing dan wajib mengambil tindakan segera terhadap petualang menyebarkan rakaman audio perbualan pihak lain secara haram,” katanya.

Dari sudut kedaulatan negara, trend kekerapan pihak tidak bertanggungjawab membocorkan audio perbualan pemimpin utama negara secara tidak langsung menggambarkan kelemahan sistem komunikasi dan keselamatan siber negara yang tidak begitu diambil peduli kerajaan sehingga kini.

Muhammad Fuad

Banyak pihak berpendapat hal ini disebabkan kepimpinan politik negara terlalu sibuk memikirkan kelangsungan hayat politik masing-masing sejak tiga hingga empat tahun lalu sehinggakan mereka lupa untuk menitikberatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

"Di Eropah, sekitar tahun 2013, apabila Canselor Jerman, Angela Markel dan beberapa pemimpin Turki menyedari panggilan telefon mereka diintip musuh.

"Agensi perisikan negara masing-masing kemudiannya mencadangkan pemimpin negara itu menggunakan khidmat telefon khas dilengkapi sistem ‘encrypted secured line’ dengan kosnya melebihi RM20,000 bagi setiap telefon.

"Saya fikir agensi keselamatan negara perlu mempunyai anjakan paradigma untuk mengukuhkan sistem komunikasi dan keselamatan siber pada masa hadapan susulan benteng pertahanan Malaysia kini dianggap semakin mudah dicerobohi musuh daripada pelbagai sudut,” katanya.

INTIPAN PERLU KEBENARAN PEGUAM NEGARA

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan pihak berkuasa perlu melalui prosedur ketat untuk mendapatkan kebenaran Peguam Negara terlebih dahulu sebelum menjalankan kegiatan intipan terhadap sesuatu pihak.

Jelas beliau, sekiranya Peguam Negara tidak memberikan kebenaran, sebarang proses pengintipan dijalankan sesebuah agensi keselamatan adalah tidak sah dengan hukuman berat bakal menanti kepada anggota yang terlibat.

"Justeru, agensi keselamatan bukan boleh main rekod dan intip perbualan telefon mana-mana individu secara suka-suka tanpa mendapatkan kebenaran Peguam Negara.

Trend kebocoran audio percakapan pemimpin negara yang ditularkan kepada umum sejak kebelakangan ini mungkin indikator sistem komunikasi dan keselamatan siber negara berada pada tahap paling lemah.

"Bagi saya, perbuatan membocorkan audio perbualan individu lain tanpa kebenaran adalah tidak betul, satu pencabulan terhadap hak peribadi seseorang serta wajib dihentikan serta-merta.

"Ini semua adalah perbuatan yang mampu merosakkan pentadbiran dan imej negara di mata dunia. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mendedahkan audio percakapan pemimpin yang tular sejak kebelakangan ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca