SHAH ALAM - Sektor perladangan kelapa sawit negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM39 bilion sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada tahun lalu akibat kekurangan pekerja terutama untuk kerja-kerja penuaian hasil.
Presiden Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA), Jeffrey Ong berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM26 bilion kerugian dialami tahun ini ketika harga komoditi itu sedang tinggi di pasaran dunia.
Katanya, kekurangan pekerja menyebabkan jumlah hasil tuaian terhad hinggakan ada buah kelapa sawit yang membusuk dan rosak di pokok.
"Mengikut kelazimannya buah kelapa sawit dituai dua kali sebulan tetapi disebabkan kekurangan pekerja, kerja tuaian dilakukan dua atau tiga kali dalam tempoh dua bulan.
"Buah sawit yang sudah masak sepatutnya dipetik atau dipotong dalam tempoh 15 hari, kalau tidak buah itu akan rosak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Media Sabtu lalu melaporkan kerajaan terpaksa membawa masuk 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan susulan rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang walaupun ditawarkan gaji lumayan.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini menyebabkan syarikat terutama yang mengusahakan ladang sawit mengalami kekurangan pekerja khususnya kerja-kerja menuai berikutan rakyat tempatan menganggap pekerjaan itu sukar dilakukan.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, kaedah penuaian yang masih dilakukan secara konvensional menyebabkan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja.
Justeru itu, kebergantungan sektor itu masih kepada tenaga kerja asing dari Indonesia dan Filipina.
Menurutnya, sektor perladangan kelapa sawit di negara ini yang berkeluasan 5.88 juta hektar memerlukan kira-kira 736,111 pekerja ladang iaitu secara purata seorang pekerja bagi lapan hektar ladang.
Kata beliau, industri perladangan sudah kekurangan 36,000 pekerja sebelum PKP 1.0 dikuatkuasakan dan ia melonjak kepada 75,000 pekerja ketika ini ekoran semakin ramai pekerja asing kembali ke negara asal dalam tempoh 19 bulan terakhir.
Klik di sini untuk terus membaca