TANAH MERAH - Sedar kesusahan yang dialami masyarakat setempat, Zaimah Awang, 41, yang juga Pengerusi Persatuan Belia Felda Kemahang 3, tampil membantu kaum wanita di kampung berkenaan dengan mengajar cara-cara berbakti kepada ladang kelapa... Klik di sini untuk terus membaca

TANAH MERAH - Sedar kesusahan yang dialami masyarakat setempat, Zaimah Awang, 41, yang juga Pengerusi Persatuan Belia Felda Kemahang 3, tampil membantu kaum wanita di kampung berkenaan dengan mengajar cara-cara berbakti kepada ladang kelapa sawit yang ditinggalkan generasi terdahulu.

"Pada awalnya, mereka hilang punca pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula. Produk dan perkhidmatan mereka seperti menjahit terhenti tiba-tiba.

"Maka saya mulakan langkah dengan mengusahakan satu blok ladang seluas 230 ekar (93 hektar). Saya ajak mereka turun ke ladang dan buat apa yang mereka boleh buat, daripada tuai buah sawit sampai ke kutipan hasil.

"Saya terpaksa bawa ke ladang kerana itulah saja caranya untuk saya bantu mereka memandangkan dalam PKP, cuma pertanian yang dibenarkan beroperasi. Saya pesan kepada mereka, kerja di ladang bukan mudah tapi masing-masing mahu mencuba. Saya tahu mereka semangat kental.

"Pada mulanya hanya satu blok, namun kini kami sudah mengusahakan enam blok yang rata-ratanya melibatkan pekerja perempuan di kampung kami. Inilah kekuatan yang ada pada kami, semuanya ada tanggungjawab masing-masing dan saya bantu apa yang boleh saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaimah berkata, kecekalan, ketabahan, kesabaran dan kerajinan menjadi kunci utama kepada pekerja walaupun rata-rata mereka sudah berkeluarga.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga memberitahu, untuk setiap blok, dia memerlukan lebih lima orang buruh untuk menuai melibatkan tanah seluas lebih 12 hektar sehari.

Norsyzwani gigih mengangkat buah kelapa sawit di ladang milik datuknya di Felda Pasoh 4, Jelebu.

Katanya, ia dilakukan dengan baik oleh mereka yang terlibat sehingga ada yang sanggup bekerja sehingga jam 8 malam.

"Untuk pasukan mengutip pelepah atau pasukan pencuci ladang, kita sediakan 20 orang. Mereka akan bersihkan semua ladang mengikut jadual ditetapkan.

"Bukan mudah kerana adakala terjumpa haiwan liar. Pelbagai dugaan dan cabaran menanti mereka tidak termasuk terpaksa mengangkat buah sawit yang mencecah berat sehingga 25 kilogram setandan.

"Apa yang mereka lakukan semuanya sama sahaja dengan kudrat lelaki. Bagaimanapun, kita ada pekerja lelaki, bukan semuanya wanita. Cuma kelebihan wanita adalah mereka boleh bertindak mengganti tugas-tugas kaum lelaki.

"Alhamdulillah, gaji yang diberikan juga berpatutan dengan mereka. Sekurang-kurangnya tampung perbelanjaan keluarga di rumah,” kata Zaimah yang merupakan generasi kedua bekerja di ladang berkenaan.

GADIS KECIL MOLEK BUKTIKAN KERJA LADANG TAK SUSAH

Tanggapan bekerja di sektor perladangan sesuatu yang susah adalah tidak benar.

Itu yang dibuktikan seorang gadis, Norsyzwani Norazman, 20, yang bekerja di ladang kelapa sawit milik datuknya di Felda Pasoh 4, Jelebu.

Menurut gadis kecil molek ini, bekerja di ladang mudah dilakukan jika mempunyai minat mendalam.

Menurutnya, sejak berumur 15 tahun lagi, dia telah didedahkan dengan kehidupan di ladang.

"Kerja di ladang ini seronok, bebas dan tidak terikat dengan masa, serta tidak ada tekanan. Saya akan ke ladang dua minggu sekali untuk mengutip buah sawit sebelum dihantar ke kilang untuk diproses.

Walaupun berhujan dan berpanas, namun itu bukan halangan kepada buruh-buruh wanita di Felda Kemahang 3 menjalankan kerja-kerja ladang mereka sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, sejak lima tahun membantu dan bekerja di ladang kelapa sawit ini, banyak pengalaman yang saya peroleh. Yang penting kita seronok bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsyzwani berkata, jika seseorang tahu bagaimana untuk mengendalikan kerja-kerja mengangkat buah kelapa sawit, mereka tidak akan rasa terbeban.

Malah, katanya, jika badannya yang kecil dengan berat 40 kilogram boleh mengangkat buah kelapa sawit, tidak mustahil orang lain juga boleh melakukan perkara sama.

"Bagi saya minat merupakan salah satu faktor penting yang menyebabkan saya boleh bertahan bekerja di ladang sehingga ke hari ini.

"Jangan anggap kerja di ladang susah kerana jika kita sudah biasa membuat kerja berat, ia bukan masalahnya,” ujarnya.

11 TAHUN JADI MANDUR LADANG

Cadangan daripada kakaknya supaya menerima tawaran bekerja sebagai mandur di ladang kelapa sawit selepas berhenti kerja di sebuah kilang disambut dengan hati terbuka.

Marlina Shamsuri, 42, tidak menyangka sudah 11 tahun dia bergelar mandur di sebuah ladang sawit di Felda Jengka 24.

Mengakui agak kekok dengan pekerjaan tersebut pada awalnya, namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

"Alhamdulillah, saya sudah dapat menyesuaikan diri walaupun kerja ini dikelilingi ramai lelaki,” katanya.Menceritakan rutin tugasnya, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, ia bermula jam 6.45 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Ahad.

"Selepas melakukan pemeriksaan barisan, saya masuk ke ladang memantau aktiviti pemotongan buah sawit oleh pekerja ladang selain memastikan hanya buah yang benar-benar masak dihantar ke kilang,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca