SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkeyakinan pembentukan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat masih berpeluang cerah diteruskan di peringkat negeri melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berpandangan kerjasama yang mungkin dimeterai antara BN dan PN kelak bukanlah bersifat rasmi, sebaliknya lebih menyerupai persefahaman dicapai pada PRN Sabah tahun lalu.
Jelas beliau, PN menerusi Bersatu dan Pas masih berusaha ke arah itu dan yakin mempunyai masa untuk merealisasikannya susulan pendirian rasmi BN dan UMNO berhubung status kerjasama PRN Melaka masih belum diputuskan lagi.
"Bersatu dan Pas masih berusaha memastikan kerjasama terjalin dengan UMNO di peringkat kerajaan Pusat akan dibawa ke peringkat PRN Melaka dengan kita berkeyakinan peluang itu masih cerah.
"Tetapi saya tidak nampak usaha kerjasama itu (BN-PN) secara rasmi, sebaliknya perbincangan lebih ke arah memastikan persefahaman pertembungan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana berlaku pada PRN Sabah tercapai," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan pendirian parti itu dan BN untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada PRN Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat.
Ditanya kemungkinan pertembungan tiga penjuru masih akan berlangsung sekiranya satu persefahaman dicapai antara BN dan PN sebagaimana berlaku pada PRN Sabah, Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Negara berpandangan senario itu adalah mustahil.
"Pandangan saya, apabila BN dan PN sudah bersetuju untuk tidak bertembung antara satu sama lain, maka persefahaman itu pastinya meliputi keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
"Mustahil persefahaman itu hanya terpakai di DUN Ayer Keroh, tetapi bagi DUN Pengkalan Batu pula pertembungan tiga penjuru tetap berlaku,"katanya.
Kenyataan Razali itu secara teorinya adalah bertentangan dengan situasi sebenar yang berlaku pada PRN Sabah, 26 September tahun lalu.
Ironinya, episod pertembungan BN dengan sekutunya termasuk PN bukan perkara asing pada PRN Sabah memandangkan senario itu terbukti berlaku membabitkan sejumlah 17 kerusi DUN daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri itu.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad menegaskan Pas masih konsisten berpandangan formula terbaik untuk memastikan kemenangan PN dan Muafakat Nasional (MN) pada PRN Melaka adalah dengan mengekalkan kerjasama parti komponen kerajaan negeri itu sebelum ini.
Jelas beliau, parti itu turut berkeyakinan sekiranya berlaku pertembungan lebih dua penjuru pada PRN Melaka, maka pihak paling terkesan adalah PN dan MN sendiri.
"Pas masih berusaha memastikan apa sahaja kaedah kerjasama yang akan berlaku pada PRN nanti tidak menjurus kepada pertembungan tiga penjuru.
"Kalau sebelum ini di bawah kerajaan pimpinan (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO mungkin merasakan mereka hanya sebahagian daripada kerajaan sahaja, tetapi kini kerajaan dipimpin mereka disokong pula oleh Bersatu dan Pas.
"Pas meyakini bentuk kerjasama dimeterai antara UMNO, Bersatu dan Pas di peringkat pusat adalah baik dan berharap ia mampu dijayakan di peringkat negeri bermula PRN Melaka," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca