APA yang kita tahu tentang Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih popular disebut Sustainable Development Goals (SDGs)?
Sejauh mana kita faham? Berapa ramai agaknya yang tahu bukan hanya setakat 17 matlamat utamanya sahaja tetapi 169 sasaran yang ada di dalamnya? Apa makna semua ini kepada rakyat biasa? Bagaimana nasib mereka dapat diubah melalui SDGs dan kenapa kita perlu ambil tahu?
Sebagai latar belakang, kita perlu tahu pada 25 September 2015, wakil kerajaan Malaysia ketika itu yang hadir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bersama 192 pemimpin dunia yang lain, mewakili negara masing-masing telah bersetuju mengangkat agenda SDGs agar pada 2030, dunia dapat melihat pembangunan yang lebih bersifat inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Dalam konteks kita rakyat biasa, apa yang perlu kita faham adalah segala usaha untuk membangunkan negara harus memberi keutamaan tentang kesejahteraan kehidupan kita yang ada kaitan dengan alam sekeliling. Maknanya, kalau kita jaga alam sekeliling kita, alam akan menjaga kita.
Sebagai contoh, sumber makanan kita datang daripada sumber alam iaitu hasil bumi dan lautan. Bayangkan apa akan berlaku jika kita tidak menjaga alam. Jika laut dan sungai dicemari, mana mungkin kehidupan di laut dan sungai boleh terus hidup. Maknanya, kita akan kepupusan sumber makanan laut.
Soal ini bukan hanya perlu kita fikirkan di Malaysia atau ia hanya masalah Malaysia sahaja sebab Malaysia juga adalah negara yang mengimport makanan dan bergantung kepada negara-negara lain.
Setiap tahun kita membelanjakan hampir 14 bilion dolar Amerika Syarikat untuk mengimport bahan makanan bagi menentukan rakyat di Malaysia ada bahan makanan untuk dibeli. Tetapi, jika ada makanan, namun rakyat tiada duit membeli pun menjadi masalah juga.
Jadi, SDGs ada kaitan dengan banyak perkara yang berkait-kait tetapi matlamat akhirnya adalah semua negara dalam dunia mempunyai impian dan harapan sama yang perlu kita jaga secara bersama kerana kita berkongsi hidup di atas muka bumi ini untuk semua manusia hidup dengan selesa dan aman.
Sekiranya sebuah negara menghadapi masalah alam sekitar, ia akan menyumbang kepada masalah lain yang boleh berkait dengan negara-negara jiran yang lain.
Sebab itu, penting untuk satu persetujuan dicapai di Perhimpunan Agung PBB dengan semua pemimpin negara bersetuju bahawa ada beberapa matlamat asas yang perlu tiap-tiap negara tangani agar semua negara akan dapat dilihat lebih setara dalam konteks pembangunan mampan ini.
Selain menjaga kemampanan lingkungan dan alam, SDGs juga mempunyai matlamat berkaitan usaha untuk menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di setiap negara anggota PBB. Begitu juga matlamat untuk menentukan tiada rakyat kelaparan dan memastikan kehidupan rakyat semua negara berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
SDGs juga ingin menjamin pendidikan menyeluruh dan mencapai kesamarataan antara lelaki serta wanita. Semua itu ada kaitan antara satu dengan lainnya dan saya berharap pembaca akan mencari maklumat tambahan untuk memahami kesemua 17 matlamat yang digariskan di bawah SDGs.
Tidak semua matlamat itu perlu dirisaukan oleh kita di Malaysia kerana dalam beberapa hal, kita jauh lebih baik dari negara-negara lain di dunia. Namun, tidak bermakna untuk kita tidak langsung memberi tumpuan kepada usaha yang ingin dicapai secara bersama melalui SDGs.
Saya ingin mengemukakan tiga soalan terakhir. Apa makna semua ini kepada rakyat biasa? Bagaimana nasib mereka dapat diubah melalui SDGs dan kenapa kita perlu ambil tahu? Saya berharap dalam setiap tindak-tanduk pemimpin dan orang-orang yang diberi amanah serta tanggungjawab untuk memimpin negara ini, mereka perlu fikirkan dan menjawab soalan-soalan ini setiap kali mereka berbincang tentang pembangunan negara atau tentang apa sekalipun yang akhirnya nanti meninggalkan kesan kepada rakyat.
Matlamat Pembangunan Mampan atau SDGs adalah usaha membantu pemimpin untuk memimpin dengan nurani supaya mereka tidak beraja di mata dan bersultan di hati. Moga bumi ini akan terus ada penghuninya lagi.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca