WHISKY Timah bukan konspirasi untuk menghina Islam, mengelirukan umat Melayu-Muslim atau untuk mengajak Muslim minum bersama.
Mari kita kupas isunya. Pertama, namanya Timah adalah nama galian, bukan wanita, bukan singkatan Fatimah seperti penjelasan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Sebab itu, diletakkan gambar seorang lelaki dan bukan wanita Melayu.
Kedua, lelaki tersebut berjanggut lebat tetapi dia bukan dan tidak disamakan sebagai seorang Muslim. Namanya, Tristram Charles Sawyer Speedy atau Captain Speedy, pembantu Residen British di Larut, Perak yang menjaga keamanan untuk pembijihan timah oleh Orang Kaya Mantari Ngah Ibrahim dan sebagainya. Captain Speedy memperkenalkan arak ke Malaysia.
Ketiga, nama Timah dan bukan Captain Speedy digunakan untuk menunjukkan kelainannya. Arak-arak Jepun juga bernama tempatan seperti Suntory and Nikka. Kenapa projek perumahan selalu bernama Inggeris tetapi arak bernama Melayu? Kerana pengusaha dan pelanggannya lain.
Sebagai jenama baharu, Whisky Timah sebenarnya mungkin lebih terkenal di luar Malaysia dari di Malaysia. Jadi, tiada sebarang konspirasi untuk memabukkan Muslim. Sebaliknya, ia menjadi terkenal di tanah air kerana bantahan yang bertubi-tubi sekarang.
Bantahan itu memang bermotivasikan politik untuk menjatuhkan nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Senator Idris Ahmad dan partinya Pas.
Menteri sebelum ini, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (tidak berparti) dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (Amanah) juga selalu dikecam kerana tidak mengislamkan Malaysia sepenuhnya. Bukan seperti Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia yang menjaga semua umat agama, Menteri Hal Ehwal Agama di Malaysia menjaga umat Muslim sahaja.
Bagaimana Menteri Hal Ehwal Agama boleh mengawal arak apabila Muslim di bawah jagaannya memang dilarang oleh undang-undang untuk meminum arak? Untuk menyalahkan Menteri Hal Ehwal Agama – tak kira parti mana atau tidak berparti pun – untuk segala yang berlaku di Malaysia kerana tak cukup Islam, caranya adalah mewujudkan persepsi Menteri Hal Ehwal Agama seolah-olah berkuasa seperti Perdana Menteri atau Ayatollah Shia yang menjadi Pemimpin Agung di Republik Iran.
Ia cara licik untuk melagakan Menteri Hal Ehwal Agama dan Perdana Menteri supaya salah seorang mesti menjadi watak jahat.
Memimpin masyarakat majmuk memerlukan kebijaksanaan dan keterangkuman. ‘Bagiku agamaku, bagimu agamamu’ bukan sekadar mengenai akidah tetapi juga amalan dalam kehidupan.
Apa yang haram untuk umat Islam mungkin haram, makruh ataupun halal untuk orang lain. Kita tidak boleh mengguna pembaris sendiri untuk mengukur tepi kain orang lain.
Jika kilang Whisky Timah yang beroperasi secara sah di sisi undang-undang ditutup semata-mata kerana sentimen politik yang tiba-tiba terjadi, beranikah pelabur datang ke Malaysia? Kalau mahu diharamkan semua pengeluar alkohol di Malaysia, sedangkan tuak, langkau, liheng dan montokud adalah minuman warisan penting untuk komuniti Kadazan-Dusun-Murud dan Dayak, bukankah ia menganaktirikan Sabah dan Sarawak dalam Keluarga Malaysia?
Sememangnya, parti-parti selalu bersuara lantang semasa jadi pembangkang dan lembut selepas menjadi kerajaan kerana menyedari susahnya memerintah negara. Kematangan sebegini harus disambut baik dan bukan dibalas dengan serangan untuk memaksa mereka kembali ke jalan yang lama.
*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca