IPOH - Kerajaan perlu mempromosikan sektor perladangan sebagai satu kerjaya menarik termasuk memberi pengiktirafan kepada pekerja ladang sebagai barisan hadapan jaminan keselamatan makanan negara sekali gus menarik minat warga tempatan bekerja dalam sektor berkenaan.
Pengerusi Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, usaha itu wajar dilakukan di samping mewujudkan insentif khas kepada mereka yang mahu menyertai sektor tersebut.
Menurutnya, cadangan itu sama seperti pemberian elaun sara hidup bulanan yang diberikan kepada golongan nelayan.
"Selain itu, pihak majikan juga mesti memainkan peranan untuk mempromosi sektor perladangan ini sebagai kerjaya, bukan semata-mata kerja sampingan sebaliknya sebagai kerjaya jangka panjang.
"Kerajaan juga seharusnya bekerjasama dengan institut latihan kemahiran dan majikan untuk mengadakan kempen secara besar-besaran ke arah memupuk minat dan menarik seberapa ramai golongan muda menyertai sektor perladangan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Nordin menggesa kerajaan supaya tidak terburu-buru untuk membawa masuk hampir 40,000 pekerja asing untuk sektor perladangan ketika ini.
Katanya, kerajaan perlu sensitif terhadap peluang pekerjaan yang sangat diperlukan oleh rakyat tempatan ketika ini kesan penularan Covid-19.
Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sepatutnya merujuk Kementerian Sumber Manusia dan institusi latihan yang berasaskan kemahiran dalam bidang kritikal seperti perladangan dan pertanian terlebih dahulu bagi mengetahui situasi sebenar sama ada rakyat tempatan berminat bekerja dalam sektor perladangan atau sebaliknya.
Menurutnya, kementerian itu tidak wajar membuat kesimpulan bahawa rakyat negara ini tidak berminat bekerja dalam sektor perladangan kerana kenyataan tersebut tidak tepat.
"Kita tidak boleh menjadikan kekurangan tenaga kerja ini sebagai alasan untuk membawa seberapa ramai pekerja asing ke Malaysia kerana ia akan membawa pelbagai implikasi lain.
"Antaranya, rakyat tempatan tidak diberi peluang sepenuhnya untuk menyertai sektor perladangan ini.
"Kedua, pembaziran dari segi ekonomi kerana pekerja asing ini akan membawa keluar berbilion ringgit dari Malaysia selain membawa pelbagai masalah sosial di negara kita,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mendedahkan bilangan penganggur dalam negara meningkat sedikit kepada 778,200 orang pada bulan Julai.
Nordin menambah, untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenal program latihan kemahiran berasaskan industri kelapa sawit dan ladang pertanian di peringkat sekolah.
"Kerajaan juga boleh mengubah suai kaedah latihan kemahiran sedia ada dengan memberi latihan kepada pekerja sebelum tempatkan dengan majikan (train and place) dan bukan menempatkan pekerja dengan majikan untuk dilatih (place and train),” cadang beliau.