JENGKA - Walaupun sudah lanjut usia, namun seorang warga emas di Felda Jengka 24 di sini masih mengerah keringat bagi menguruskan ladang sawitnya.
Zakaria Senapi, 69, berkata, lima tahun lalu dia pernah menggunakan khidmat buruh untuk menguruskan ladang sawitnya, namun kini terpaksa menguruskan sendiri kerana kekurangan tenaga buruh.
"Kalau ikutkan anak-anak, mereka tidak benarkan saya uruskan lagi ladang sawit tapi apa pilihan yang saya ada memandangkan anak-anak juga bekerja di Pahang,” katanya kepada Sinar Harian.
Zakaria yang berasal dari Sanglang, Kedah dan memasuki tanah rancangan itu pada tahun 1987 berkata, dia akan ke ladang seawal jam 7 pagi dan akan pulang ke rumah jam 11 pagi.
"Biasanya lepas waktu Asar saya akan kembali ke ladang sawit untuk siapkan kerja-kerja yang tertangguh.
"Bila berusia, jumlah buah yang mampu dikait juga tidak banyak seperti sebelum ini.
"Kalau dulu dapat kait 50 hingga 60 tandan tapi sekarang mungkin dalam 30 tandan sehari,” kata bapa kepada empat anak ini.
Zakaria berharap masalah buruh dapat diatasi segera dan dia bersedia menggunakan khidmat itu kelak.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud menyifatkan masalah kekurangan tenaga buruh perlu diatasi secepat mungkin berikutan ia berlaku di seluruh Felda.
Beliau yang juga Exco Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka (Biro Sosial) turut menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kemasukan tenaga buruh di sektor perladangan.
Klik di sini untuk terus membaca