TELUK INTAN - Golongan yang tidak bekerja atau sedang menganggur terutama lelaki muda perlu mengambil peluang bekerja dalam sektor perladangan kerana keadaan sudah tidak seperti dahulu.
Bagi seorang pekerja Seri Intan Estate, di sini, Muhammad Zahid Azhar, 25, peluang bekerja dalam sektor perladangan harus direbut kaum lelaki demi mendapatkan pengalaman apatah lagi gaji yang ditawarkan agak lumayan.
Menurutnya, tidak seperti bekerja di pejabat, pelbagai kemudahan disediakan oleh majikan di sektor perladangan seperti kediaman dan barang keperluan untuk kebajikan pekerja.
"Sebenarnya banyak kemudahan bekerja di ladang. Tanggapan bahawa kerja ladang ini susah perlu diubah kerana cara dan suasana kerja tidak seperti dahulu. Sekarang sudah kurang guna tenaga badan kerana teknologi semasa membantu mempercepat dan memudahkan kerja-kerja menuai buah kelapa sawit,” katanya kepada Sinar Harian.
Semalam akhbar ini melaporkan kisah kaum wanita yang bekerja keras di ladang-ladang sawit di negara ini ketika ramai pemuda tidak sanggup berpanas dan melakukan kerja berat malah ada yang lebih rela menganggur.
Muhammad Zahid berkata, kehadiran wanita dalam sektor perladangan bukanlah satu ancaman namun wajar dijadikan sebagai motivasi kepada golongan lelaki untuk turut menceburi bidang tersebut.
Menurutnya, bekerja di sektor perladangan lebih memberi manfaat kepada anak muda daripada menunggu kerja atau mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan akademik masing-masing.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid mencadangkan kerajaan merangka satu program khusus untuk anak muda bertujuan menyemai minat bekerja di sektor berkenaan.
Menurutnya, golongan muda mesti diyakinkan bahawa kerja ladang merupakan kerjaya yang mempunyai masa depan cerah kerana hasil pertanian menjadi semakin penting susulan pertambahan penduduk negara dan dunia.
"Saya rasa kagum walaupun mengakui tercabar berikutan golongan wanita kini sudah mula berani memerah keringat di ladang demi mencari rezeki,” katanya.
Jangan tolak rezeki
Seorang lagi pekerja ladang, M Thiruvarasu, 31, berpendapat individu yang enggan bekerja di sektor perladangan disifatkan seolah-olah menolak rezeki.
"Pendapatan bulanan bagi seorang pekerja ladang boleh melebihi RM3,000 sebulan termasuk elaun dan kerja lebih masa.
"Perbelanjaan juga dapat dijimatkan dengan pelbagai kemudahan yang disediakan majikan seperti tempat tinggal, kenderaan, duit minyak dan sebagainya,” ujarnya.
Kata Thiruvarasu, orang tempatan khususnya golongan muda tidak harus melepaskan peluang itu kepada pekerja asing.
Sementara itu, Mohd Azrul Shah Awang, 35, dari Felda Jengka 24, Maran, Pahang kagum dan menghormati wanita yang terbabit dalam sektor tersebut.
"Namun rasa tercabar itu memang ada bila tengok wanita mampu buat kerja-kerja berat yang selama ini dikuasai kaum lelaki."Tapi saya berharap mana-mana rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 supaya ambil peluang kerana sektor perladangan kini kekurangan buruh,” ujar.
Bagi Mohd Farid Fadzil,30, dia turut kagum dengan wanita yang kini sudah membuktikan kemampuan bekerja di ladang.
"Ini membuktikan wanita di negara ini layak digelar wanita besi. Saya akui tercabar tapi dalam sama menghormati kemampuan mereka,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca